Lima kesilapan terbesar pemimpin

MEMIMPIN dan menjadi ketua tidak pernah mudah. Jikalau tidak, masakan ramai orang seboleh-bolehnya mahu mengelak dari menerima kepercayaan dan tanggungjawab yang amat berat ini. Ia memerlukan kemahuan, kesungguhan dan pengalaman. Lebih dari itu, anda tidak boleh melupakan aspek kemahiran yang akan menjadi faktor penentu samada anda akan berjaya atau akan dilupa sepanjang tempoh memimpin.

Biasanya orang berkongsi to-do-list (senarai semak apa yang perlu dibuat) untuk menjadi pemimpin yang disegani. Jarang sekali orang berkongsi not-to-do list (senarai semak apa yang perlu ditinggalkan) sebagai pengajaran dan sempadan. Hari ini, izinkan saya melakukannya:

1. Tunjuk muka, tanpa hati

Biasa kita melihat pemimpin yang kerap turun padang, melihat sendiri perkembangan pengikutnya di medan, menziarahi dan mengamubil tahu setiap perkara yang berlaku. Semua majlis dan pertemuan yang berkaitan walaupun jauh beratus kilometer akan dijengah, biar hanya untuk beberapa minit.

Alhamdulillah, bagus. Tapi jangan tertinggal satu perkara yang paling penting ini iaitu menyentuh hati para hadiran yang ditemui.

Ya, sekurang-kurangnya lemparkan senyuman. Ambil inisiatif untuk turun dari pentas VIP dan bersalaman dengan mereka serta mendengar keluhan dan cerita yang pelbagai. Berikan masa kepada semua lapisan manusia, jangan hanya sibuk dengan formaliti dan VIP, apatah lagi dengan telefon pintar di sisi.

Menyentuh hati orang di sekeliling anda tanpa bertemu secara berhadapan dengan mereka (contohnya melalui mesej atau panggilan telefon) adalah lebih baik daripada anda sentiasa menunjuk muka dalam pelbagai majlis, namun tanpa hati, kesungguhan dan kemesraan untuk memenangi kepercayaan semua!

2. Harap taat dan percaya diberi

Satu lagi masalah yang kerap berlaku ialah apabila para pemimpin memimpin semata-mata menggunakan posisi atau tongkat sakti yang dimiliki. Lantas, mereka mengharapkan semua orang yang berada di bawah untuk sentiasa taat dan percaya tanpa berbelah bahagi.

Ingat, walaupun anda merupakan ketua atau bos dalam sektor awam atau entiti korporat yang beroperasi berasaskan keuntungan, anda masih perlu mempengaruhi pekerja anda dengan hati bukan gaji. Implikasinya ialah ketaatan dan kepercayaan hanya diberi, dan tidak boleh diminta.

Jika mereka tidak berjaya anda santuni, ketaatan dan kepercayaan yang ditunjukkan secara zahir itu hanyalah plastik, lakonan dan tidak kekal. Inilah prinsip kepimpinan yang perlu difahami. Anda perlu memenangi hati mereka (perasaan dan jiwa) sebelum kepala (pemikiran dan rasional)

Apatah lagi jika anda memimpin persatuan, badan NGO atau harakah Islam yang beroperasi tanpa berasaskan keuntungan. Ingat, syurga semata-mata tidak akan mampu menggerakkan manusia!

3. Pengurusan mikro, tak percaya ahli

Sesetengah pemimpin sentiasa mahu mengawal, menyelia dan memantau sekecil-kecil perkara yang wujud dalam organisasinya, walaupun terdapat ramai ketua atau orang bertanggungjawab yang sebenarnya boleh mengambil peranan tersebut.

Sungguh, ini satu barah yang amat teruk. Ia akan menyebabkan potensi ahli dan pimpinan masa depan tersekat, hilang kepercayaan ahli, suasana kerja yang kering dan dipenuhi ketakutan serta kegagalan pengurusan berkesan mengikut saluran komunikasi. Bahkan lebih teruk dari itu, si pemimpin bakal menghabiskan banyak masa memikirkan perkara rutin yang mudah dan mengesampingkan keutamaan mencorak strategi, perancangan masa panjang dan wawasan organisasinya.
Saya pernah bertemu pemimpin yang ingin berada dalam setiap kumpuan Telegram dan WhatApps yang diwujudkan oleh ahli-ahlinya, pemimpin yang ingin setiap email laporan di’cc’kan kepada inbox beliau, pemimpin yang ingin memantau secara fizikal puluhan mesyuarat dalam masa seminggu, pemimpin yang menyiapkan tugasan orang lain kerana ingin cepat serta pemimpin yang memberikan arahan teliti dan rapi dalam nada mendesak, seperti orang lain langsung tidak tahu buat kerja.

Saya juga pernah bertemu seorang Presiden dan CEO sebuah syarikat minyak dan gas multinasional yang dengan penuh rendah diri berkata:

“Saya tidak tahu”, “Saya kena rujuk kepada exco saya”, “Saya tiada data itu sekarang”, “Saya tidak sempat membalas email tersebut..” dan beberapa kenyataan lain yang membuktikan bahawa beliau membahagikan tugas, memberikan kepercayaan penuh kepada orang bawah, bersikap jujur dan telus, memberikan fokus kepada strategi jangkamasa panjang dan melonggarkan kawalannya terhadap urusan rutin dan mudah syarikat.

Uruslah secara makro, percayalah ahli bro…..

4.Terima diam sebagai setuju

Walaupun bidalan Melayu ada menyebut ‘diam tanda setuju’, tapi konsep ini tidak boleh digunakan sama sekali dalam urusan kepimpinan terutama pada zaman dimana komunikasi didominasi oleh cara maya melalui peranti elektronik.

Pemimpin yang efektif perlu memahami personaliti setiap orang ahli pasukanya. Kenalpasti siapa yang introvert, pemalu, berat mulut, reaktif dan sebagainya. Karakter-karakter ini biasanya jarang bersuara dalam mesyuarat formal, tapi tidak bermakna mereka tidak memiliki idea yang bernas, cadangan yang hebat serta solusi yang berkesan untuk menangani isu atau permasalahan yang dibincangkan.

Bahkan, boleh jadi idea dan pandangan yang terpendam dalam mereka jauh lebih baik dan bermanfaat kepada semua. Jadi, jangan terima diam sebagai setuju. Tanya dan pastikan golongan ini membuka mulut, banyakkan sesi sembang-sembang di luar formaliti kerja, minta mereka menulis pandangan, galakkan penyertaan serta puji setiap pandangan yang dinyatakan mereka.

5. Semuanya adalah wahyu

Menerima semua arahan dan penurunan daripada pemimpin atasan secara membabi buta adalah satu lagi masalah kritikal yang berleluasa dalam dunia kepimpinan. Selain segmen pasukan pakaian seragam yang memiliki paksi pengarahan dan ketaatan yang tersendiri, saya merasakan organisasi lain perlu memiliki keanjalan (flexibility), ruang perbincangan dan tolak ansur yang lebih luas. Terkadang berlaku kepincangan maklumat atau masalah komunikasi yang merencatkan hubungan dua hala antara pemimpin atasan dan pemimpin pertengahan. Kerap juga berlaku budaya pukul rata (generalisation), sasaran yang tidak realistik atau fokus yang terlalu mencapah.

Ya, sudah tentu semua ini memerlukan medium perbincangan dan toleransi, bukan pengarahan dan ketaaan semata. Ia memerlukan bukan sahaja laporan, tapi juga persefahaman. Elemen ‘wahyu’ yang tidak boleh dipertikaikan langsung perlu diminimakan dalam pengurusan dan kepimpinan.

Dunia semakin terbuka. Masyarakat semakin bijak.

Pemimpin juga perlu cepat menjejak!

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA

 
 

 

The post Lima kesilapan terbesar pemimpin appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian