Mahasiswa Luar Negara perlu Ubah Pemikiran dan Sikap terhadap Pelajaran untuk Berjaya

SYDNEY, 8 Safar 1439 – Sekurang-kurangnya 100 pelajar dan rakyat Malaysia di New South Wales (NSW) menyertai majlis solat hajat perdana yang berlangsung di Malaysia Hall, dekat sini kelmarin.

Program berkenaan yang merupakan anjuran Isma Australia cawangan NSW (Isma NSW), MARA, Education Malaysia Australia dan Malaysia Hall Resident Club (MHRC) bukan sahaja bertujuan memohon rahmat dan petunjuk Allah agar para pelajar dipermudahkan ketika menjawab soalan peperiksaan malah berharap aktiviti keagamaan dan komuniti dapat disemarakkan bagi masyarakat Islam umumnya dan warganegara Malaysia yang berada di NSW khususnya melalui program seperti ini.

Program yang dimulakan dengan solat maghrib pada jam 7.20 malam diikuti solat hajat yang turut dihadiri oleh Encik Mohd Khalil Zaiyany Sumiran, Pengarah Education Malaysia Australia dan Encik Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin, Pengarah MARA Australia.

Program ini  diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Biro Tarbiah Isma NSW, Dr. Shaiful Aizad, yang juga merupakan bekas pelajar yang menuntut di salah sebuah universiti di Australia yang kini sedang berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan di Sydney.

Dalam ceramahnya berkenaan tips untuk berjaya, Dr. Aizad berkata bahawa rahsia kejayaan yang perlu diamalkan terutamanya bagi para pelajar termasuklah dengan mengibaratkan keinginan untuk berjaya itu seperti keperluan bernafas, berkorban daripada melakukan perkara yang sia-sia kepada melaksanakan aktiviti berfaedah dan sentiasa berdoa kepada Allah untuk beroleh kejayaan.

Menurut beliau lagi, semua pelajar perlu mengubah gaya fikir dengan menjadikan pelajaran sebagai satu tanggungjawab bukannya bebanan untuk melahirkan rasa minat agar konsisten dalam mengulang kaji pelajaran.

“Sememangnya tips untuk berjaya ini merangkumi tiga aspek penting iaitu gaya fikir, tindakan dan doa kepada Allah (spiritual) supaya para pelajar dapat mencapai keputusan yang lebih cemerlang berbanding semester yang sebelumnya”, katanya lagi.

Program ini diakhiri dengan jamuan makan yang ditaja oleh pihak Education Malaysia Australia dan MARA selepas solat Isya’ berjemaah. Program pada malam tersebut tamat pada sekitar jam 9 malam.

 

Nur Afifah Izzati binti Rozman
Timbalan Ketua Biro Komunikasi dan Multimedia,
Isma Australia, Cawangan New South Wales

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian