Majlis Perbandaran Kuantan kaji cadangan tambah tulisan jawi di papan tanda jalan
Gambar hiasan
KUANTAN, 11 Rabiulawal 1439H, Khamis – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengkaji cadangan menambah tulisan jawi pada semua papan tanda jalan di bandar itu.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian mengesahkan perkara berkenaan, lapor akhbar berbahasa Cina, China Press.
Beliau berkata, cadangan itu ada dibincangkan dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan dan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Seorang sumber dipetik akhbar itu berkata, langkah itu adalah sebagai mematuhi gesaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya kerajaan menggalakkan penggunaan tulisan Jawi.
Bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat awal dan akan diputuskan selepas kajian terperinci dijalankan unit berkaitan.
Pada Mac tahun lalu, Tengku Abdullah dilaporkan meminta semua pihak merangkumi jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun dan majlis daerah di Pahang memperkasakan penggunaan tulisan Jawi menerusi setiap aktiviti.
Kerajaan negeri juga diminta memperkenalkan kembali tulisan Jawi secara berperingkat dalam urusan pentadbiran bagi mengembalikan kegemilangannya tulisan itu.
The post Majlis Perbandaran Kuantan kaji cadangan tambah tulisan jawi di papan tanda jalan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan