Mapim kesal Sidang Asean tidak sentuh isu Rohingya

BANGI, 26 Safar 1439H, Rabu – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan rasa kesal apabila Sidang Kemuncak Asean Ke-13 di Filipina baru-baru ini, tidak menyentuh mengenai penderitaan etnik Rohingya di Myanmar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan kenyataan yang didraf tuan rumah persidangan itu, mereka langsung tidak menyebut mengenai lebih 600,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

“Ini adalah suatu kenyataan yang sangat melanggar semangat keharmonian dan kestabilan di Asean. Malah ia mengkhianati kesepakatan melindungi hak manusia yang dicapai antara anggota pertubuhan tersebut sebelum ini.

“Adakah ini suatu kompromi untuk memastikan Myanmar tidak memboikot persidangan tersebut di atas penganiayaan ratusan nyawa Rohingya yang dizalimi oleh negara itu?.

“Apakah Asean kini sedang ditundukkan oleh kehendak Myanmar dalam suatu isu yang jelas sedang mendapat perhatian dunia?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga kecewa kerana tidak ada seorang pun pemimpin anggota Asean dalam ucapan mereka menyentuh mengenai isu Rohingya.

“Malah, Setiausaha Agung PBB, Guteres menggesa Myanmar menerima semula etnik Rohingya untuk pulang ke perkampungan mereka di wilayah Rakhine.

“Jika alasan yang diberi oleh Aung San Suu Kyi keganasan di Myanmar dianggap urusan dalam negara dan prinsip Asean adalah tidak campur tangan dalam urusan dalam negara, maka jelas Asean sudah tunduk kepada hipokrasi pemenang Keamanan Nobel itu,” keluhnya.

Azmi berkata, setiap pemimpin Asean sepatutnya peka dengan perhatian dunia yang kini memberi fokus kepada suatu operasi penghapusan etnik di Myanmar terbesar di dunia.

“Tidak mungkin ini boleh dianggap urusan dalaman Myanmar sehingga tidak boleh dikritik oleh masyarakat dunia amnya dan Asean khususnya.

“Jika Asean ditegakkan atas nama kesatuan dan kestabilan komuniti Asean, kenapa suatu operasi ‘genosid’ dan penghapusan etnik yang terang-terangan berlaku di Myanmar tidak mendapat perhatian dalam Sidang Kemuncak Asean Ke-13 tersebut?

“Asean kini boleh dianggap hanya badan yang mandul dan tidak boleh mempertahankan hak manusia dan membela hak etnik minoriti di rantau ini seperti yang disepakati sebelum ini,” katanya.

Justeru, Azmi mendesak supaya Asean menyatakan sikap tegas dengan tindakan tentera Myanmar menindas etnik Rohingya, dan bertindak sesuai dengan undang-undang antarabangsa terhadap hak minoriti.

“Jika ini tidak boleh ditunjukkan oleh Asean maka kewujudannya tidak ada erti kepada golongan minoriti dan ia bertukar menjadi sebuah forum retorik semata-mata dan hanya bertumpu kepada kepentingan golongan majoriti yang berkuasa,” katanya.

The post Mapim kesal Sidang Asean tidak sentuh isu Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?