Najib pujuk masyarakat Cina undi BN, dakwa Tun M, Lim Kit Siang ibu segala hipokrasi

 

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1439H, Ahad — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu MCA meningkatkan usaha untuk memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan sekurang-kurangnya 15 kerusi Parlimen berbanding tujuh kerusi ketika ini.

Katanya tambahan kerusi Parlimen itu perlu bagi memastikan masyarakat Cina terus mempunyai suara dalam kerajaan majmuk Barisan Nasional (BN) serta keperluan dan kepentingan mereka terjaga.

“MCA adalah satu parti komponen dan rakan setia kepada Barisan Nasional. Sekarang MCA ada tujuh saja Ahli Parlimen. Jika kita mempunyai 15 kerusi Parlimen, kita akan menjadi lebih kuat dalam kerajaan.

“Kita tanya kepada suara masyarakat Cina, apa yang mereka mahu. Adakah mereka mahukan perwakilan Cina yang kuat dalam kerajaan? Atau anda mahukan perwakilan yang lemah. Itu adalah pilihan anda,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-64 di Wisma MCA di sini hari ini.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan BN telah berusaha untuk memenuhi permintaan masyarakat Cina selama ini dan BN juga telah berjaya menyediakan keamanan dan kestabilan yang membolehkan rakyat di negara ini terus maju dan makmur.

Justeru, Najib memberitahu masyarakat Cina bahawa memilih BN adalah keputusan terbaik dalam memastikan kepentingan dan keperluan mereka terus terjamin.

Tegasnya, masyarakat Cina harus sedar bahawa DAP pada hakikatnya tidak akan mampu membentuk kerajaan walaupun telah memenangi 38 kerusi Parlimen pada PRU13.

“Ini adalah realiti. Jangan bazirkan waktu anda pada sebelah pihak yang lain. Semua itu adalah hipokrasi. Adakah anda fikir Lim Kit Siang (pemimpin veteran DAP) sayang Dr Mahathir. Tun Mahathir dan Lim Kit Siang adalah ibu kepada segala hipokrasi,” katanya sambil diiringi sorakan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

Sambil mempersoal peranan pembangkang, Najib berkata apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang kepada rakyat Malaysia pada masa ini hanyalah lebih kepada mengutuk, mencaci dan mencerca habis-habisan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN serta membuat pusingan-U ke atas kenyataan mereka sendiri.

Katanya ini berbeza sekali dengan apa yang dilakukan kerajaan BN, yang telah berjaya membawa kemajuan sebenar untuk rakyat dan negara Malaysia.

“Kita sebagai kerajaan, kita telah menyampaikannya kepada rakyat,” kata perdana menteri.

Mengambil contoh kelulusan kerajaan untuk membina 10 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baharu dan penempatan semula enam buah lagi, Najib berkata ia tiada kaitan dengan PRU, sebaliknya ia dilaksanakan mengikut keperluan serta permintaan dari semasa ke semasa.

“Ini bukan perkara berkaitan dengan PRU. Saya telah melakukannya sebelum ini, saya telah meluluskan (pembinaan) sekolah Cina pada masa yang lepas. Kita semak semula dari semasa ke semasa. Ini mengenai keperluan masyarakat,” katanya.

Tegasnya kelulusan terhadap SJKC baharu itu dibuat dengan peruntukan, dan bukannya seperti yang dituduh oleh DAP.

Menyentuh Bajet 2018, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata BN bukanlah sebuah parti yang menjanjikan bulan dan bintang sebaliknya ia sebuah parti yang melaksanakan perkara dijanjikan dengan mengambil kira kepentingan setiap kumpulan masyarakat di negara ini.

“Apabila saya merangka bajet, saya mengambil banyak waktu untuk memahami apa yang diinginkan rakyat. Apa yang dikehendaki setiap masyarakat. Apa yang dikehendaki golongan miskin. Apa yang orang kelas menengah inginkan. Apa golongan wanita dan belia mahu. Sebab itu kita keluar dengan bajet yang mendapat maklum balas positif daripada semua peringkat,” katanya.

Perdana Menteri berkata masyarakat Cina menerima banyak manfaat dan peruntukan dalam Bajet 2018, termasuk penyediaan dana pinjaman perniagaan kecil dan sederhana (PKS) sebanyak RM50 juta yang disalurkan melalui Koperasi Jaya Diri Malaysia Bhd (Kojadi).

Perdana Menteri turut memberi jaminan kepada perwakilan MCA bahawa BN di bawah kepimpinannya akan terus memberi peluang yang adil dan sama rata kepada masyarakat Cina dalam semua aspek terutamanya bidang ekonomi.

Sambil menekankan bahawa kesemua kekayaan yang dimiliki perlu dikongsi bersama, Najib mahu MCA terus bergerak bersama BN dalam semangat negara pelbagai bangsa.

“Inilah sebabnya Malaysia berjaya. Tolong jangan ketepikan semangat ini (pelbagai kaum),” katanya, dan menegaskan bahawa negara kini menuju sasaran menempatkan Malaysia dalam kedudukan negara ke-20 tertinggi menjelang 2050.

Seramai 1,526 atau 65.9 peratus daripada 2,317 perwakilan pusat menghadiri perhimpunan tahunan itu.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha Agung Datuk Seri Ong Ka Chuan serta barisan kepimpinan yang lain. – Bernama

The post Najib pujuk masyarakat Cina undi BN, dakwa Tun M, Lim Kit Siang ibu segala hipokrasi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian