Pemimpin jahat terus berkuasa jika rakyat baik tak keluar mengundi

“SESIAPA di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Peduli Tetapi Tidak Mengundi.

Terdapat banyak perkara yang berlaku di luar kemampuan kita.

Saban hari kita mengeluh tentang pelbagai isu ekonomi yang membelenggu negara, di samping bimbang tentang masa depan generasi muda, kesan daripada pelbagai isu sosial dan politik yang melanda negara.

Realitinya, kebimbangan ini telah lama berlarutan, dan mungkin akan berterusan sekiranya generasi muda tidak mengambil peranan untuk menyelamatkan Malaysia.

Menurut SPR, sehingga suku kedua 2017, sebanyak 3.7 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pengundi, kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun.

Manakala kajian yang dijalankan oleh firma Kajidata terhadap 1,000 belia berumur 21 hingga 35 tahun mendapati, 88% golongan belia mengambil peduli tentang isu semasa dan isu politik di sekeliling mereka, namun lebih 51% masih belum membuat keputusan untuk menyokong kerajaan ataupun pembangkang di dalam pilihan raya yang akan datang.

Dapatan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tahap kesedaran politik di kalangan generasi muda adalah tinggi, namun tahap partisipasi politik berada di paras yang rendah, antaranya disebabkan oleh ketidakyakinan mereka terhadap parti politik yang boleh membawa perubahan dalam negara.

Jika situasi ini berlarutan, bukan sahaja jumlah pengundi yang masih belum mendaftar akan terus meningkat, malah peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian juga akan turut terjejas.

Di sinilah pentingnya partisipasi politik yang tinggi di kalangan generasi muda.

Setiap Undi Adalah Berharga.

Lanjutan daripada itu, soalan yang mudah tetapi sukar untuk dijawab akan menyusul: Mengapa generasi muda perlu terlibat dengan politik dan apakah manfaatnya kepada mereka?

Antara jawapan yang biasa dikemukakan adalah ianya merupakan hak setiap warganegara berumur 21 tahun ke atas, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, pilihan raya yang berlangsung setiap lima tahun juga merupakan ruang terbaik untuk rakyat memilih pemimpin dan kerajaan berdasarkan prestasi dan janji yang dikemukakan.

Namun, jawapan yang lebih tepat untuk anak muda adalah, pilihan raya merupakan medan terbaik untuk mengubah ‘status-quo’ di dalam negara. Idea segar dan kepimpinan berjiwa muda mampu menjadi pemangkin kepada perubahan lebih besar dalam negara, berbanding rejim yang telah memerintah dalam tempoh yang lama.

Selain itu, setiap isu yang dihadapi generasi muda biasanya tidak dipedulikan oleh kerajaan. Justeru, partisipasi dan representasi politik yang tinggi di kalangan generasi muda akan membuka mata semua pihak, seterusnya mewakili suara generasi muda untuk membawa perubahan di dalam negara.

Maka di sinilah pentingnya golongan belia untuk segera mendaftar sebagai pengundi apabila mencecah usia 21 tahun. Di samping mengambil peduli terhadap prestasi dan janji setiap parti politik dalam menjuarai kebajikan rakyat, anak muda disarankan agar tidak sesekali melepaskan peluang berharga untuk mengundi pada hari pengundian kelak.

Lebih penting, kita tidak mahu situasi yang sama berulang di mana ‘pemimpin yang jahat’ akan terus berkuasa apabila ‘rakyat yang baik’ tidak keluar mengundi untuk melakukan perubahan. Inilah mesej yang pernah diungkapkan oleh William E. Simon kepada pengundi di Amerika Syarikat, “Bad politicians are sent to Washington by good people who don’t vote”.

Semoga ianya tidak berlaku di Putrajaya. Undi anak muda adalah penentunya.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Pusat

The post Pemimpin jahat terus berkuasa jika rakyat baik tak keluar mengundi appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian