Polisi larang bertudung: Ramai graduan perhotelan, hospitaliti bakal menganggur

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Safar 1439H, Jumaat – Pelaksanaan polisi larangan bertudung dalam sektor perhotelan khususnya pekerja kaunter depan (front desk) akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada graduan bidang itu.

Biro Kajian dan Informasi Strategik Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Amalina Annuar berkata, polisi itu dilihat bakal menyebabkan ramai graduan perhotelan menganggur, termasuk kesukaran menjalani latihan industri.

“Kita juga akan lihat di satu keadaan lagi, di mana hari ini ramai graduan yang susah mendapat pekerjaan, maka mereka ini (graduan perhotelan) terpaksa menerima tawaran hotel yang mempunyai polisi larangan itu.

“Jadi apabila diterima bekerja di hotel yang mengenakan polisi sebegitu, maka keadaan itu mendesak mereka untuk membuka tudung. Nak atau tidak ianya perlu kerana itu adalah SOP hotel.

“Di sini jelas memperlihatkan bahawa mereka ini di diskriminasi,” katanya dalam forum Sudut Pandang Larang Bertudung: Hak Asasi dan Diskriminasi Wanita Islam di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Amalina berkata, pelaksanaan standard operasi (SOP) dan polisi berkenaan dilihat mencabar Perlembagaan Persekutuan negara, kerana banyak percanggahan dan tidak selari.

Tegasnya, operator hotel meskipun bertaraf antarabangsa sepatutnya mewujudkan SOP yang mengikut dan selari dengan status quo negara dan masyarakat.

“Dalam kerangka Malaysia, ia adalah sebuah negara Islam, di mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam. Malah, Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan.

“Maka, SOP mesti seiring mengikut kerangka atau status quo masyarakat dan negara, tidak boleh pukul rata. Kenapa kita di diskriminasi? Pada saya mudah, kerana kita terlupa nak pertahan hak-hak yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Tegasnya, kerajaan juga mungkin terlalu bertoleransi dengan pihak perhotelan antarabangsa sehingga lupa mengenengahkan dan mengingatkan mereka berkenaan hak-hak rakyat di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya lebih serius campur tangan dalam isu sebegini, supaya hak wanita muslim di negara ini tidak ditindas.

“Saya juga mohon supaya kita tidak tunduk dengan SOP mereka, sedangkan kita ada pegangan sendiri, di mana percaya bahawa hijab itu satu tuntutan dalam agama. Kenapa kita mahu tunduk dengan tuntutan manusia.

“Pada para wanita yang berada dalam bidang perhotelan, istiqamahlah,” katanya.

The post Polisi larang bertudung: Ramai graduan perhotelan, hospitaliti bakal menganggur appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian