PPIM kata boikot hotel larang pekerja pakai tudung

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Safar 1439H, Isnin – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa umat Islam di negara ini menggunakan kuasa sebagai pengguna memboikot mana-mana hotel yang melaksanakan polisi larangan pekerja bertudung di bahagian khidmat pelanggan atau kaunter depan.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ia selaras dengan alasan digunakan pihak hotel terbabit yang mengaitkan pelaksanaan polisi itu bakal menarik pelanggan.

“Mereka kata kononnya mahu jaga pelanggan, kerana jika meletakkan pekerja wanita bertudung didakwa berlaku kerugian pada hotel atas sebab tidak mampu menarik pelanggan.

“Maka, selepas ini pelanggan sebagai pengguna tak perlu lagi menginap di hotel yang melaksana polisi sebegitu. Pengguna perlu bijak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Malah, beliau turut menyarankan supaya kerajaan juga tidak mengadakan sebarang majlis atau mengguna khidmat hotel-hotel terbabit.

Katanya, jika tindakan berkenaan secara serius dan konsisten dilakukan oleh pengguna serta kerajaan, maka ia secara tidak langsung memberi tekanan kepada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menukar atau membatalkan polisi itu daripada terus dilaksana di Malaysia.

“Pengusaha hotel-hotel antarabangsa ini perlu tahu Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk majoriti Islam, dan agama Islam sebagai agama Persekutuan negara.

“Maka, polisi berkenaan sepatutnya tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan negara. Jika ia dilaksanakan di China atau Perancis, itu tak menjadi masalah kerana rakyatnya bukan majoriti beragama Islam.

“Pengusaha hotel sepatutnya menghormati hak dan kebebasan umat Islam di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, MAH dilaporkan mempertahan tindakan operator hotel melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

Malah, Presiden MAH, Cheah Swee Hee mendakwa setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

The post PPIM kata boikot hotel larang pekerja pakai tudung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian