PRU14: MT UMNO sokong GPS perkenal calon berwibawa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Safar 1439H, Rabu – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah menyokong penubuhan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang disifatkan bertanggungjawab membantu rakyat memilih pemimpin berwibawa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

GPS menerusi Biro Gerakan Massa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dilancarkan awal Oktober lalu, yang berperanan merekod dan membentangkan maklumat mengenai pemimpin sekarang dan calon yang bertanding pada PRU14.

GPS juga berperanan untuk mengangkat calon Muslim berwibawa bagi memenuhkan kerusi di Parlimen.

Bercakap kepada Ismaweb.net hari ini, Tan Sri Ibrahim memuji dan menyambut baik penubuhan badan bebas itu, sekali gus menyifatkan ia satu usaha wajar bagi merungkai kekeliruan rakyat, khususnya pengundi muda.

“Pandangan saya ianya satu usaha yang baik, kerana saya fikirkan bahawa kita perlu kepada calon-calon yang tidak hanya boleh menang, tetapi juga disukai, bertanggungjawab, berwibawa dan mempunyai ciri-ciri tertentu sebagai seorang pemimpin dengan keupayaan serta visinya.

“Dengan adanya GPS ini, membantu membawa calon-calon pemimpin ini untuk diperkenalkan kepada rakyat di mana pengundi boleh meneliti dan membuat keputusan sama ada mahu memilih atau tidak,” katanya.

Menurut beliau, usaha GPS secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan atau mana-mana parti untuk menonjolkan calon yang berwibawa kepada rakyat.

“Sekurang-kurangnya membantu membuka mata tidak kira mana-mana parti sekalipun, untuk melunaskan apa yang dijanji mereka iaitu mempertaruhkan calon pemimpin berwibawa itu.

“Malah, tidak kira daripada parti mana sekalipun, saya yakin mereka akan pastikan ianya (calon) betul-betul berwibawa,” katanya.

Katanya, sebagai rakyat, pastinya mereka mengimpikan pemimpin yang sememangnya berkaliber untuk mentadbir urus kawasan, negeri dan negara.

“Maka, saya berpandangan bahawa calon-calon ini juga mestilah seorang berjaya menerangkan isu-isu hari ini kepada rakyat, sama ada maklumat itu sahih atau pun fitnah.

“Ramai di kalangan anak muda yang keliru. Dan kekeliruan mereka inilah menjadi kebimbangan pada kita, kerana khuatir membuat keputusan salah dan memilih calon daripada parti yang tidak sesuai dalam perkembangan pembangunan negara hari ini,” katanya.

 

The post PRU14: MT UMNO sokong GPS perkenal calon berwibawa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian