Putera Mahkota nafi operasi rasuah untuk kukuhkan kuasa

JEDDAH, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman menolak dakwaan bahawa operasi besar-besaran antirasuah sehingga penangkapan beberapa tokoh terkemuka, termasuk anak raja dan ahli perniagaan negara itu, ada kaitan dengan mengukuhkan kuasanya.

Menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai sesuatu yang lucu, beliau berkata, pendakwa raya negara itu percaya jumlah dana yang boleh diperoleh semula berikutan operasi itu adalah AS$100 bilion.

Memberitahu New York Times, beliau berkata, ramai yang kini ditahan di hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh, menyatakan taat setia kepadanya dan pembaharuan yang dicadangkan.

Sambil menambah bahawa beliau juga mendapat sokongan kebanyakan kerabat diraja, Putera Mohammed berkata, Arab Saudi mengalami penderitaan akibat terlalu banyak rasuah sejak 1980-an hingga kini.

“Kiraan yang dibuat oleh pakar Arab Saudi secara kasar mengatakan 10 peratus daripada peruntukan kerajaan telah dilencongkan melalui rasuah setiap tahun, daripada peringkat atasan hingga bawahan.

“Sejak bertahun kerajaan melancarkan perang rasuah tetapi gagal. Kenapa? Sebab ia bermula dari bawah hingga atas,” katanya.

Katanya, apabila bapanya Raja Salman yang bersih daripada rasuah memegang kuasa, mereka membuat keputusan sudah tiba masanya untuk menamatkan masalah yang memalukan dan menjejaskan reputasi negara.

“Awal 2015, salah satu daripada arahan Raja Salman kepada pasukannya ialah mengumpul maklumat mengenai rasuah di peringkat atasan. Selama dua tahun pasukan itu mengumpul maklumat paling tepat, yang akhirnya mendedahkan senarai 200 nama yang terbabit,” katanya.

Kenyataan semalam adalah pendedahan pertama dibuat Putera Mohammed sejak operasi itu dilancarkan beberapa minggu lalu.

Setiap jutawan dan putera raja yang dituduh terbabit dengan rasuah dan ditangkap, ditunjukkan bukti dan diberi peluang untuk membersihkan nama mereka, katanya.

Putera Mohammed berkata, 95 peratus daripada mereka setuju menyelesaikan kes itu, menandatangani perjanjian menyerahkan wang tunai atau saham dalam perniagaan mereka kepada Perbendaharaan Negara.

Beliau berkata, satu peratus dapat membuktikan bahawa mereka tidak bersalah, manakala empat peratus lagi menegaskan mereka tidak terbabit dengan rasuah dan bersedia untuk ke mahkamah bersama peguam mereka.

Ditanya mengenai kenyataannya untuk menjadikan Arab Saudi sebuah negara Islam lebih sederhana dan bertoleransi, beliau berkata:

“Jangan menulis bahawa kami ‘menafsir semula’ Islam. Kami mengembalikan Islam ke landasan asal. Dan, caranya yang terbesar adalah mengikut amalan Nabi Muhammad SAW dan (kehidupan) di Arab Saudi sebelum 1979.” – Agensi

The post Putera Mahkota nafi operasi rasuah untuk kukuhkan kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian