ismakualaterengganu

Raja Muda Perlis bimbang kerapuhan jati diri Melayu

KUALA LUMPUR, 17 Safar 1439H, Isnin – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bimbang dengan kerapuhan jati diri dalam ...

KUALA LUMPUR, 17 Safar 1439H, Isnin – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bimbang dengan kerapuhan jati diri dalam kalangan bangsa Melayu sehingga membenarkan budaya negatif barat menghakis nilai murni masyarakat itu.

Baginda bertitah, budaya barat kini menjadi ancaman terhadap penghakisan tradisi dan budaya melalui kecelaruan pemikiran yang hadir dalam bangsa Melayu tanpa disedari.

“Usaha memperkasa jati diri semakin terhakis apabila anak jati Melayu sendiri menolak Melayunya, tidak mahu berbahasa Melayu, memperlekeh nilai dan hati budi Melayu, dan akhir ini, atas nama kebebasan bersuara, ada sanggup meninggalkan agama Islam yang sinonim dengan Melayu,” titah baginda pada “Majlis Titah Diraja” di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis itu dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, perilaku bebas persis negara barat dianggap mereka sejajar dengan peredaran zaman sehingga sanggup meniru gaya hidup barat serta menerap nilai pemikiran yang bertentangan dengan kemurnian budaya bangsa.

Begitulah gambaran betapa rapuhnya jati diri dan goyahnya iman kita apabila mendepani dunia globalisasi, titah baginda yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs.

Baginda turut menyarankan bangsa Melayu menghayati sejarah bangsa dan mencadangkan setiap keluarga menyimpan sekurang-kurangnya sebuah buku sejarah Melayu untuk rujukan.

Ini kerana penghayatan sejarah yang akan memperkasa jati diri Melayu tidak hanya bermula di sekolah tetapi juga di dalam keluarga, titah baginda.

Sempena majlis itu, Anggota Lembaga Pengelola DBP dan penyair Datuk Dr Rahman Shaari mendeklamasikan sebuah puisi, selain turut diadakan majlis pra pelancaran buku ‘Salasilah Perlis’.- Bernama

The post Raja Muda Perlis bimbang kerapuhan jati diri Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 6359697320877452954

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item