ismakualaterengganu

Ramasamy ganti Hannah tak tutup agenda Kristianisasi DAP

SEMALAM , 18 November, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 15 November m...

SEMALAM, 18 November, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 15 November menggantikan salah seorang ahli tambahan CEC yang dilantik oleh Mesyuarat CEC pada 12 November, iaitu Hannah Yeoh Tseow Suan, dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.

Pengumuman ini, bagi saya, agak mengejutkan kerana masih terbayang lagi dalam fikiran saya betapa, berdasarkan kepada rakaman video, individu yang mengumumkan senarai penuh lantikan ahli CEC pada 12 November ini, termasuk mengumumkan perlantikan Hannah Yeoh sebagai salah seorang daripada 10 ahli tambahan CEC, ialah Hannah Yeoh sendiri.

Kurang munasabah hanya selepas tiga hari barulah Hannah Yeoh memilih untuk menolak lantikan ini atas alasan mahu menumpukan masa dan perhatian kepada komitmen-komitmen sedia ada sedangkan beliau boleh sahaja menolak terus lantikan itu pada waktu itu, apatah lagi beliau sendiri kelihatan begitu ceria sekali sewaktu mengumumkan lantikan itu.

Portal berita Tanjak menyebut di dalam analisanya bahawa perubahan ini mungkin berpunca daripada tulisan saya pada 12 November yang berkata lantikan sekurang-kurangnya 7 daripada 10 orang ahli tambahan CEC DAP dari kalangan penganut agama Kristian akan memperkuatkan lagi dakwaan bahawa DAP memang mempunyai agenda Kristianisasi.

Saya tidak pasti akan ketepatan analisa portal berita Tanjak ini, tetapi jika penggantian Hannah Yeoh dengan Dr P Ramasamy bertujuan untuk melemahkan dakwaan bahawa DAP memang mempunyai agenda Kristianisasi, maka tujuan ini jelas tidak tercapai kerana Hannah Yeoh hanyalah seorang daripada begitu ramai pemuka Kristian di dalam CEC DAP.

Tanpa Hannah Yeoh sekalipun, ahli tambahan CEC DAP masih didominasi oleh penganut agama Kristian, iaitu Stephen Wong Tien Fatt, Thomas Su Keong Siong, Dr Ong Kian Ming, Yeo Bee Yin, Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang (walaupun beliau dilihat cenderung kepada Kristian, agama anutan Wong Kah Woh pula tidak dapat dipastikan).

Itu belum lagi dicampur dengan ramai lagi daripada 20 ahli CEC DAP yang dipilih dalam Kongres Khas DAP di IDCC Shah Alam, Selangor, pada 12 November, yang menganut agama Kristian, khususnya pemimpin tertingginya, iaitu Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP, sendiri yang pernah secara terbuka mengisytiharkan keKristianan beliau.

Ada yang berhujah bahawa pemilihan atau perlantikan pemimpin DAP hanya diasaskan kepada kebolehan memimpin sahaja, tetapi soalnya apakah ini bermakna bahawa pemimpin Melayu Islam seperti Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, Datuk Yeop Adlan Che Rose atau Dr Abdul Aziz Bari tidak berkebolehan sehingga tidak dilantik ke CEC?

Jika penggantian Hannah Yeoh dengan Dr P Ramasamy bertujuan untuk melemahkan dakwaan bahawa DAP adalah sebuah parti orang Cina, tujuan ini juga tidak tercapai kerana Hannah Yeoh hanyalah seorang daripada begitu ramai pemuka Cina di dalam CEC DAP. Bagaimana dengan 16 ahli CEC yang dipilih dan 6 ahli tambahan lain yang berbangsa Cina?

Penggantian Hannah Yeoh dengan Dr P Ramasamy ini juga tidak mampu untuk mendekatkan DAP dengan pengundi Melayu Islam kerana sikap Dr P Ramasamy, yang, melalui tulisan beliau, terkenal menyokong kuat gerakan pemisah Tamil di Sri Lanka, iaitu the Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), di dalam isu-isu Melayu Islam juga sudah sedia diketahui.

Penentangan kuat Dr P Ramasamy terhadap cubaan untuk melaksanakan syariat Islam umpamanya tercatat jelas di dalam banyak tulisan beliau, malah bila Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 dibentang dan diluluskan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 dan 19 Mac 2015, reaksi beliau adalah paling keras.

Sementara Mesyuarat CEC DAP pada 23 Mac 2015 sekadar menetapkan bahawa “DAP tidak boleh bekerjasama dengan Presiden PAS” serta “akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau”, Dr P Ramasamy seawal 20 Mac 2015 lagi telah mengumumkan bahawa “for all intents and purposes, DAP has broken-up with PAS”.

Selepas Mesyuarat CEC DAP pada 15 Jun 2015 memutuskan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud, ekoran lulusnya usul pemutusan hubungan PAS-DAP di dalam Muktamar Tahunan PAS pada 6 Jun 2015, Dr P Ramasamy seawal 6 Julai 2015 lagi telah mengumumkan bahawa “no more talks about Islamic state or Hudud!” di dalam pakatan baru.

Begitu juga dengan pelbagai isu Melayu dalam mana Dr P Ramasamy dilihat sangat keras menghentam dasar-dasar kerajaan yang dilihat memberi keutamaan kepada bangsa Melayu di dalam beberapa bidang yang tertentu di mana ayat-ayat lazim yang biasa ditemui adalah ayat-ayat yang bertemakan dakwaan seperti “non-Malays will be continued to be discriminated”.

Antara isu-isu Melayu ini ialah isu yang membabitkan universiti-universiti di Malaysia di mana pada 19 Jun 2014 umpamanya Dr P Ramasamy mendakwa wujudnya “ethnic discrimination of non-Malays in universities” manakala pada 30 April 2015 Dr P Ramasamy mendakwa “universities are maintained and perpetuated as the sole preserve of Malays”.

Begitu juga dengan isu yang membabitkan pengambilan penjawat awam di Malaysia yang didakwa oleh Dr P Ramasamy sebagai mendiskriminasi bukan Melayu di mana pada 9 Mei 2015 umpamanya beliau menulis “the real reason for the lack of no-Bumi intake is the existence of racial preference for the civil service to be fully dominated by Malay-Muslims”.

Mungkin kenyataan Dr P Ramasamy yang paling segar dalam fikiran banyak pihak ialah tulisan beliau pada 10 April 2016 yang menggelarkan pendakwah Islam terkenal dari India, Dr Zakir Naik, sebagai setan (“Let us get “Satan” Zakir Naik out of this country!”) yang, walaupun diikuti dengan rasa kekesalan oleh beliau dua hari selepas itu, tetap diingati.

Apa pun, perlantikan Dr P Ramasamy ini bolehlah disifatkan sebagai kejayaan usaha beliau membodek Lim Kit Siang sebelum ini, khususnya melalui tulisan beliau pada 11 Oktober 2017 yang melambung tinggi Lim Kit Siang sebagai calon utama, mempunyai semua kualiti dan kelayakan diperlukan serta paling layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Lebih dari itu, penggantian Hannah Yeoh dengan Dr P Ramasamy ini tidak mempunyai sebarang impak signifikan ke atas hala tuju DAP mahupun ke atas penerimaan rakyat, khususnya pengundi Melayu Islam, terhadap DAP. Secara simboliknya, pertukaran ini bolehlah diibaratkan seperti menggantikan seekor harimau dengan seekor singa sahaja.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) 

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net. Artikel ini terlebih dahulu disiarkan dalam Harakah, hari ini.

The post Ramasamy ganti Hannah tak tutup agenda Kristianisasi DAP appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 7151004009529988771

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item