Sejumlah 0.03 peratus daripada 4.7 juta murid pernah cuba dadah

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1439H, Isnin – Sejumlah 0.03 peratus daripada 4.7 juta murid sekolah dikenal pasti terlibat mencuba dadah sehingga 31 Julai lalu, namun kumpulan itu tidak dikategorikan sebagai penagih dadah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata daripada jumlah itu, 75.68 peratus murid mengambil dadah jenis methamphetamine, kanabis (16.73 peratus), opiat (5.17 peratus), amphetamine (2.23 peratus) dan ketamin (0.19 peratus).

“Kementerian Pendidikan ingin menegaskan bahawa jumlah yang dinyatakan merupakan bilangan murid yang mencuba dadah dan tidak dikategorikan sebagai penagih. Mereka masih mengikuti pembelajaran dan aktiviti sekolah seperti biasa tetapi perlu mengikuti pemantauan dan bimbingan terancang oleh kaunselor sekolah.

Mengapa kita tidak kata mereka ini penagih sebab seorang penagih, penjual atau yang menyimpan dadah sememangnya sudah dirujuk dengan kes polis di bawah kes jenayah atau dadah, tidak lagi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) mengenai bilangan terkini penagih dadah dalam kalangan pelajar sekolah serta jenis dadah yang diambil, selain langkah yang diambil bagi membendung gejala itu.

Chong berkata, pelajar yang dikenal pasti berisiko tinggi terlibat dengan dadah akan menjalani ujian air kencing dan sekiranya didapati positif dadah, mereka akan diberi kaunseling selama tiga bulan oleh kaunselor sekolah.

Murid berkenaan sekali lagi akan menjalani ujian air kencing selepas tiga bulan dan sekiranya didapati masih positif dadah, akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihkan murid berkenaan, katanya.

Menurut Chong, pihak kementerian mengambil pelbagai pendekatan dalam usaha membanteras gejala dadah dalam kalangan murid sejak 1986 iaitu pendekatan pendidikan pencegahan dan intervensi secara implisit dan eksplisit di semua sekolah rendah dan menengah.

“Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) dilaksanakan di dalam dan luar kelas menerusi kurikulum, kokurikulum serta pembangunan sahsiah.

“Antara inisiatif jawatankuasa PPDa yang dilaksanakan di sekolah adalah seperti Mesej 5 minit, Sambutan Minggu Anti Dadah, Bilik atau Laluan PPDa, Pengajaran PPDa dalam subjek Kesihatan dan Program Skim Lencana Anti Dadah (SLAD),” katanya.

Katanya, PPDa juga mengadakan kerjasama dengan AADK selain Kementerian Kesihatan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dalam aktiviti yang dijalankan bagi membendung gejala itu. – Bernama

 

The post Sejumlah 0.03 peratus daripada 4.7 juta murid pernah cuba dadah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian