Seminar Fiqh Wanita – Wanita dan Pengurusan Stres

 

KOTA BHARU 28 Okt. – Dalam mendepani keadaan masyarakat yang semakin mencabar, seramai 72 peserta dari daerah ini telah menghadiri Seminar Fiqh Wanita dengan topik ‘Wanita dan Pengurusan Stres’ di Masjid Sultan Muhammad II.

Para peserta didedahkan dengan pengurusan stres menerusi ceramah dan sembang santai bersama doktor dan ustazah. Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat daripada golongan muda hinggalah golongan emas.

Pengarah program seminar, Ustazah Asfihani Mat Zain yang juga merupakan seorang pendidik berkata, pendedahan berguna dalam program ini memberi panduan kepada masyarakat untuk mengurus tekanan, seterusnya mampu memberikan tumpuan dalam menjalankan tanggungjawab mereka di rumah mahupun di tempat kerja.

“Program ini bertujuan untuk berkongsi panduan-panduan pengurusan stres yang berkesan. Hal ini kerana, kegagalan dalam menanganinya akan memberi kesan negatif kepada pelbagai pihak termasuklah dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara,” katanya lagi.

Dalam sesi pertama program, Dr. Siti Norfazihan Najid, doktor dalam bidang psikiatri turut menekankan akibat sekiranya stres ini tidak dikawal sebaiknya, ianya boleh memberi impak kepada mental seseorang.

“Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2011 mendapati 1 daripada 10 orang pelajar Malaysia disahkan mengalami masalah mental, dan selepas lima tahun, kajian terbaharu KKM pada 2016, mendapati nisbah itu meningkat kepada 1 daripada 5 pelajar,” sambungnya lagi.

Ustazah Asmahriah Wan Ibrahim, Ketua Wanita Isma Cawangan Kota Bharu yang merupakan salah seorang penceramah juga berkata, program seperti itu amat perlu dan bertepatan dengan cabaran yang masyarakat kita hadapi sekarang.

Beliau turut berkongsi kandungan Surah Al-Baqarah ayat 30, di antaranya Allah memberitahu kepada malaikat bahawa Allah akan menciptakan khalifah (wakil Allah) di bumi. Allah telah memilih manusia menjadi khalifah untuk menguruskan urusan muka bumi.

Tambahnya lagi, “Sebesar mana pun masalah yang kita hadapi, cubalah tanganinya dengan cara yang terbaik dan kita tidak perlu lari daripada ujian kerana Allah menguji hambaNya bersesuaian dengan kemampuannya.”

Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Dunia ini adalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat”. Janganlah kita bersikap lemah dan bersedih hati kerana kitalah yang paling tinggi darjatnya dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain.

Panelis kedua, Dr. Izyan Syazwani Khairuddin menyarankan, apabila kita kita berhadapan dengan tekanan atau masalah, cuba berhenti sekejap dan berfikir dengan tenang. Penstrukturan semula gaya berfikir ini sebenarnya jelas diajar dalam Islam, iaitu bersangka baik. Cara begini boleh mengurangkan stres dan mengelakkan konflik.

Program ini mendapat respon yang positif daripada para peserta. Kami berharap program yang dianjurkan oleh Wanita Isma Kota Bharu dengan kerjasama I- Medik Kelantan dan Masjid Telipot seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan.

i-Medik Kelantan berkesempatan membuka booth pemeriksaan kesihatan percuma kepada peserta sepanjang program ini berlangsung.

Terima kasih diucapkan kepada Syarikat Muda Osman cawangan Kota Bharu kerana berbesar hati menaja hadiah cabutan bertuah.

Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai- ramai antara penceramah dan peserta.

 

 

Noor Suhidayah bt Mohd Nor

AJK Biro Komunikasi dan Multimedia Kota Bharu

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian