Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 13 Safar 1439H, Khamis – Polis menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan memproses bahan itu dalam enam serbuan di sini dan merampas pelbagai jenis dadah dipercayai bernilai RM32.4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata seramai lapan suspek berusia antara 27 dan 58 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Johor Bahru iaitu di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram; Kampung Kong Kong Laut, Masai serta Permas Jaya di Pasir Gudang, bermula 1.30 pagi hingga 7.45 pagi.

Katanya, daripada kesemua mereka itu, enam daripadanya lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan seorang lagi perempuan warga Vietnam.

“Seorang daripada mereka merupakan ahli kimia yang mempunyai pengetahuan tentang ramuan dadah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohmad berkata, polis turut merampas sejumlah dadah terdiri daripada 51,750 pil disyaki ekstasi, 227.6 kg serbuk dadah juga disyaki ekstasi dan 10.51 gram dadah disyaki syabu dalam serbuan itu.

Selain itu, turut dirampas 713 kg pelbagai jenis bahan kimia, peralatan untuk memproses dadah, dua butir peluru hidup dan empat batang besi senjata mekanikal serta menyita pelbagai harta berjumlah RM590,000 termasuk pelbagai mata wang bernilai RM350,000 dan tujuh kenderaan iaitu Mercedes Benz E280, Toyota Hilux, Land Rover, Toyota Vios, Perodua Alza dan Nissan Vanette.

Sementara itu, Mohmad turut mendedahkan sebuah bangsal di ladang kelapa sawit di Masai dijadikan makmal memproses dadah terutama ekstasi, sebelum ia diedarkan untuk pasaran tempatan, Singapura serta Indonesia.

Kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif dadah itu kini direman seminggu bermula 31 Okt bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

 

The post Sindiket edar dadah antarabangsa tumpas di Johor Bahru appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian