Sultan murka ucapan Tun Dr Mahathir mengenai Bugis

Sultan Selangor tidak mahu isu keturunan dijadikan modal politik

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 13 Safar 1439H, Khamis –Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi amaran khususnya kepada pemimpin politik, supaya tidak mempersenda isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Peringatan itu dibuat susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa, bangsa Bugis kononnya berasal dari golongan lanun, perompak dan penjenayah pada Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, 26 Oktober lalu, Dr Mahathir menafikan beliau berkata bahawa semua orang Bugis berketurunan lanun, sebaliknya ucapan itu merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mungkin berasal daripada keturunan lanun Bugis.

Sambil meletakkan pautan klip video sedutan ucapannya di program berkenaan dalam blog beliau Khamis lalu, Dr Mahathir berkata, ucapannya ditujukan kepada Najib yang sering mendakwa beliau adalah pahlawan Bugis.

[SAYA TAK KATA SEMUA BUGIS LANUN, SAYA MERUJUK KEPADA NAJIB]

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, berkata Sultan Selangor melahirkan rasa murka dengan ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis.

“DYMM Sultan Selangor setelah berbincang dengan Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor pada 2 November (hari ini) memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan Tun Mahathir,” katanya.

Hanafisah berkata, sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun, Tun Mahathir seharusnya lebih berhat-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, dan seharusnya juga lebih mengetahui mengenai fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

Katanya, fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis adalah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahakan agama dan keamanan di seluruh kepulauan Melayu Nusantara.

“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan Tun Mahathir amat keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci serta prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru hara,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan berpandangan agar satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang bekaitan wajar diambil ke atas Tun Dr Mahathir, kata kenyataan itu.

The post Sultan murka ucapan Tun Dr Mahathir mengenai Bugis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian