Syor wujud semula sekolah aliran Inggeris: Jangan jadi tak tentu arah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Rabiulawal 1439H, Isnin – Cadangan kerajaan untuk mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris di negara ini perlu dikaji secara menyeluruh, termasuk melihat implikasi kepada pelajar pada masa depan, terutama kesan terhadap Bahasa Kebangsaan.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tiada siapa boleh menafikan kelebihan mengetahui dan fasih berbahasa Inggeris pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, beliau tidak melihat dengan jelas langkah kerajaan memperkasakan Bahasa Kebangsaan, malah ia juga seolah-olah dipinggirkan.

“Jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

“Sekali pandang ia dilihat seperti kerajaan undur ke belakang, sedangkan sekolah Kebangsaan diwujudkan dulu adalah untuk penyatuan bangsa dan perkukuh Bahasa Kebangsaan. Apa dah jadi dengan polisi ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini, supaya sekolah aliran Inggeris diwujudkan semula di negara ini bagi mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata, kebanyakan negara di Eropah, termasuk Turki merupakan antara negara yang langsung tidak memandang keutamaan menguasai bahasa Inggeris.

Keadaan sama juga turut dilihat di beberapa negara maju lain seperti Jepun, Korea termasuk China, yang tidak meletakkan bahasa Inggeris sebagai keutamaan mereka.

“Adakah benar dakwaan kalau kita tak ada sekolah aliran Inggeris, maka kita tak boleh kuasai bahasa tersebut? Sejak dasar sekolah Kebangsaan dilaksana pada 1970, Malaysia terus maju dan berkembang. Adakah dakwaan ini benar?

“Adakah akhirnya pemerkasaan Bahasa Kebangsaan akan tersisih dan bercanggah dengan Perlembagaan? Bahasa melambangkan bangsa. Jadi bangsa apa yang kita nak wujudkan kalau bahasa pun dah tidak digunakan lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau tidak dapat membayangi apa akan berlaku kepada sekolah Kebangsaan, jika benar sekolah aliran Inggeris ini diwujudkan semula.

“Apa pulak kesan kepada pemikitan rakyat? Adakah akan terus bertuhankan Barat dan berasa hina dengan bangsa dan bahasa sendiri? Ini satu malapetaka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji secara terperinci cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris, termasuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Jangan nanti kerajaan dilihat tidak tentu arah dan seolah-olah tiada hala tuju dalam konteks pendidikan, walhal ia adalah asas penting pembentukan sebuah negara,” katanya.

The post Syor wujud semula sekolah aliran Inggeris: Jangan jadi tak tentu arah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian