Tafsiran hermeneutika liberal terhadap konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ satu ancaman di Malaysia: Resolusi Simposium MUIS

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

BANGI, 29 Safar 1439H, Sabtu – Pengaplikasian konsep “Rahmatan lil `Alamin” yang tidak didasari oleh Al-Quran & Sunnah serta tafsiran hermeneutika liberal merupakan suatu ancaman pemikiran yang serius yang sedang melanda umat Islam di Malaysia hari ini.

Ini adalah antara isi kandungan resolusi Simposium Siasah Syar’iyyah 2017 anjuran Majlis Ulama Isma (MUIS) yang diadakan di sini hari ini.

Simposium ini telah menampilkan tiga tokoh Islam terkenal Indonesia dan Malaysia iaitu Rektor Universitas Islam Sultan Agung (Unissula) Indonesia, Prof Dr Anis Malik Thoha, Director of Center for Advance Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) UTM, Prof Madya Dr Khalif Muammar dan Pensyarah USIM, Dr Ahmad Sanusi Azmi yang merupakan Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS).

Resolusi juga menetapkan bahawa segala usaha penyelewengan terhadap konsep “Rahmatan lil `Alamin”, termasuk juga sebarang tindakan mana-mana pertubuhan, gerakan atau parti politik yang tidak menguntungkan umat Islam apatah lagi melemahkan kuasa politik umat Islam, wajib ditolak dan ditegah oleh seluruh umat Islam, institusi-institusi Agama serta pihak-pihak berautoriti.

Berikut adalah teks penuh Resolusi Simposium Siasah Syar’iyyah 2017 yang bertajuk: bertajuk “Konsep Islam Rahmatan Lil `Alamin: Antara Kecelaruan Tafsiran Hermeneutika Liberal Dan Kefahaman Syarak”:

Majlis Ulama ISMA (MUIS) dengan kerjasama Biro Islamiyat ISMA telah menjayakan Simposium Siyasah Syar’iyyah 2017 bertajuk “Konsep Islam Rahmatan Lil `Alamin: Antara Kecelaruan Tafsiran Hermeneutika Liberal Dan Kefahaman Syarak” pada hari Sabtu, 18 November 2017, bertempat di Dewan Auditorium, Malaysia Genome Institute (MGI), Kajang, Selangor Darul Ehsan.

Bertitik tolak daripada Simposium ini, MUIS telah menggariskan beberapa perkara sebagai resolusi seperti berikut:

1. MUIS menginsafi bahawa sifat Rahmah yang dianjurkan oleh Islam merupakan prinsip yang bersifat universal (`alamiyyah) yang menaungi seluruh makhluk di dunia. Pembangunan konsep Rahmah ini adalah berteraskan Al-Quran, terutamanya ayat 107 daripada Surah Al-Anbiya’ yang bermaksud; “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (Rahmatan lil `Alamin)”, serta hadis-hadis Rasulullah SAW yang banyak menjelaskan keluasan Rahmah yang dibawa Islam.

2. MUIS menginsafi bahawa Al-Quran dan Al-Sunnah tidak boleh ditinggalkan semata-mata untuk memuaskan akal manusia. Segala perkara yang bersifat kekal (thawabit) yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Al-sunnah merupakan Rahmah kepada seluruh umat manusia meskipun dilihat bertentangan dengan akal oleh sebahagian manusia.

3. MUIS menginsafi bahawa asas pegangan akidah umat Islam perlu lebih diperkukuhkan lagi bagi mengelak daripada terpengaruh dengan ancaman pemikiran liberal yang mencairkan identiti & jati diri umat Islam. Pengukuhan akidah yang sejahtera dalam kalangan umat Islam mampu menjadikan Islam sebagai agama ikutan sekaligus memberi rahmah kepada seluruh manusia.

4. MUIS menyedari bahawa pengaplikasian konsep “Rahmatan lil `Alamin” yang tidak didasari oleh Al-Quran & Sunnah serta tafsiran hermeneutika liberal merupakan suatu ancaman pemikiran yang serius yang sedang melanda umat Islam di Malaysia hari ini.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, MUIS dengan tegas dan bersungguh-sungguh membuat seruan-seruan berikut:

I. Segala usaha penyelewengan terhadap konsep “Rahmatan lil `Alamin”, termasuk juga sebarang tindakan mana-mana pertubuhan, gerakan atau parti politik yang tidak menguntungkan umat Islam apatah lagi melemahkan kuasa politik umat Islam, wajib ditolak dan ditegah oleh seluruh umat Islam, institusi-institusi Agama serta pihak-pihak berautoriti.

II. Konsep Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin” hanya boleh direalisasikan sekiranya Syiar dan hukum Islam diangkat di tempat yang tertinggi dalam konteks sebuah negara. Oleh itu, sebarang pemakaian konsep Rahmah Islam perlulah dalam kerangka mengangkat Syi’ar Islam, berpandukan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan juga Qiyas.

III. Hakikat Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin” akan dapat benar-benar dirasai apabila Syariat Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh oleh umat Islam yang kuat dan bebas melaksanakan kehendak Syariat tanpa sebarang rasa takut. Justeru, membangun ummah yang kuat adalah tuntutan teratas dalam mencapai hakikat sebenar “Rahmatan lil `Alamin”. Segala usaha yang boleh melemahkan umat Islam adalah bertentangan dengan konsep Islam sebagai “Rahmatan lil `Alamin”.

IV. Semua Pendakwah & Alim Ulama, NGO-NGO Islam, institusi-institusi Agama serta pihak-pihak berautoriti perlu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang menguntungkan Islam. Institusi-Institusi Agama yang mengangkat Syi’ar Islam di Malaysia perlu dipertahan dan dibangunkan lagi agar terus komited memberikan khidmat kepada seluruh umat Islam dengan lebih efektif.

Majlis Ulama ISMA (MUIS)
18 November 2017

The post Tafsiran hermeneutika liberal terhadap konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ satu ancaman di Malaysia: Resolusi Simposium MUIS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian