TH kekal bayaran haji walaupun kos sebenar meningkat

BANGI, 18 Safar 1439H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengekalan bayaran haji sebanyak RM9,980 kepada setiap jemaahnya bagi 2018, walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus berbanding musim yang lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, pihaknya menanggung subsidi haji hampir RM400 juta, susulan peningkatan kos sebenar haji daripada RM19,550 kepada RM22,450 tahun depan.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengekalan bayaran haji telah dilaksanakan sejak tahun 2009, adalah inisiatif kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat khususnya umat Islam negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kos yang tidak membebankan.

Johan berkata, peningkatan tanggungan subsidi itu adalah tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan agar lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kos yang tidak membebankan.

“Subsidi haji yang akan diberikan kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah sebanyak RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji, manakala jemaah haji hanya perlu membayar sebanyak RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menjelaskan bahawa bayaran haji itu adalah yang terendah di Asia Tenggara dengan kemudahan perkhidmatan disediakan secara percuma oleh TH ketika menunaikan ibadah itu.

“Demi kebajikan serta keselesaan jemaah haji, pelbagai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan oleh TH di Tanah Suci dan Tanah Air ditambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan seperti perkhidmatan kesihatan, kaunseling, bimbingan dan kewangan.

“Kerajaan yang sentiasa cakna dalam memartabatkan syiar Islam memberikan sokongan yang berterusan kepada TH melalui kerjasama kukuh dimeterai dengan pelbagai agensi kerajaan lain sejak penubuhannya bagi memudahkan rakyat dalam melaksanakan ibadah haji,” kata kenyataan itu.

Katanya, TH juga telah memulakan proses penghantaran surat tawaran menunaikan haji secara berperingkat bermula Isnin lalu.

Sehubungan itu, bakal haji yang berada dalam penggiliran kuota haji bagi tahun 1439H/2018M dan 1440H/2019M dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat peribadi seperti alamat dan nombor telefon masing-masing dengan segera.

The post TH kekal bayaran haji walaupun kos sebenar meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian