Tiada penyakit, wabak dilaporkan di Pulau Pinang, Kedah: Dr Subramaniam

PUTRAJAYA, 21 Safar 1439H, Jumaat – Tiada jangkitan penyakit, wabak dan kes berisiko dilaporkan di kawasan yang dilanda banjir di Pulau Pinang dan Kedah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri, Dr S.Subramaniam.

Sehingga semalam, katanya, sejumlah 403 daripada 1,111 mangsa banjir diperiksa bagi mendapat rawatan oleh 50 anggota pasukan perubatan yang merangkumi 32 pasukan kesihatan dan 18 pasukan perubatan yang bertugas semasa dan selepas banjir.

“Tiada wabak penyakit dilaporkan pasukan kesihatan yang membuat kerja di kawasan dilanda banjir. Juga tiada kes berisiko tinggi bagi mereka yang sedang hamil, selepas bersalin dan hemodialisis di kawasan terjejas banjir itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Subramaniam memberitahu bahawa operasi perkhidmatan di dua fasiliti kesihatan iaitu Klinik Desa Lahar Yooi dan Klinik Pergigian Perai, yang masih terjejas akibat banjir, masing-masing dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Dua dan Klinik Kesihatan Seberang Jaya.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Mak Mandin dan Aras 1 Hospital Pulau Pinang yang terjejas banjir serta Klinik 1Malaysia Taman Seri Delima yang terputus hubungan pada 5 Nov lalu pula sudah beroperasi semula.

Kementerian Kesihatan juga menjalankan aktiviti pemeriksaan di pusat-pusat pemindahan bagi mengesan pembiakan nyamuk, kehadiran tikus dan lalat serta meningkatkan tahap keselamatan mutu air minum dan makanan selain menjalankan aktiviti kesedaran pendidikan kesihatan.

“Kita juga menjalankan aktiviti kebersihan sekeliling dan sanitasi kawasan selepas banjir. Saya ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir atau yang berisiko banjir supaya hendaklah sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan-arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal.

“Ini dapat mengelak sebarang kesulitan dan mengelak daripada berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak makan makanan yang tidak dimasak dan hanya minum air yang dimasak atau air mineral sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak supaya tidak bermain air banjir kerana dikhuatiri mengalami penyakit berjangkit seperti cirit birit, taun, demam kepialu dan leptospirosis (penyakit kencing tikus). — Bernama

The post Tiada penyakit, wabak dilaporkan di Pulau Pinang, Kedah: Dr Subramaniam appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian