(VIDEO) Kenyataan peguam Mesir perkosa gadis berpakaian dedah aurat cetus kemarahan

KAHERAH, 13 Safar 1439H, Khamis – Seorang peguam Mesir mencetuskan kontroversi dan kemarahan apabila berkata, memperkosa dan melakukan gangguan seksual terhadap wanita yang berpakaian mendedahkan adalah ‘tugas negara’.

Nabih al-Wahsh, seorang peguam konservatif yang terkenal, membuat kenyataan dalam satu debat menerusi saluran televisyen Mesir, Alassema, ketika berbincang mengenai draf undang-undang pelacuran di negara itu.

Beliau mencetuskan kemarahan selepas mendakwa bahawa wanita yang memakai pakaian mendedahkan seperti seluar jeans yang koyak, patut diperkosa.

“Adakah anda boleh menerima gadis berjalan-jalan dengan memakai pakaian yang sebahagiannya menunjukkan paha?

“Saya berkata, apabila gadis itu berjalan dan berpakaian sedemikian, mengganggunya adalah tugas patriotik dan memperkosanya adalah tugas nasional,” katanya menjerit ke arah tiga ahli panel debat itu.

Komen itu dibuat hanya beberapa minggu selepas satu undian mendedahkan Kaherah bakal menjadi bandar raya berbahaya kepada wanita.

Nabih berkata, wanita sepatutnya menghormati diri mereka sendiri supaya orang lain menghormati mereka.

“Melindungi moral adalah lebih penting daripada melindungi sempadan,” katanya.

Majlis Kebangsaan Wanita Mesir (NCW), sebuah pertubuhan kerajaan, berkata mereka akan memfailkan aduan terhadap stesen televisyen itu dan Nabih kepada Majlis Tertinggi Media.

Ketua NCW, Maya Morsi, yang mengecam kenyataan Nabih itu berkata, gangguan seksual tiada kaitan dengan pakaian wanita.

“Wanita dan kebebasan mereka hendaklah dihormati dan mereka mesti dilindungi di jalanan,” katanya.

Mempertahankan kenyataannya kemudian, Nabih berkata, jika anak perempuannya sendiri memakai seluar jeans yang koyak di belakang, dia juga layak diganggu dan diperkosa.

Nabih berkata, beliau menganggap berpakaian seperti itu sebagai ‘jemputan’ untuk dirogol.

Gangguan seks menjadi isu utama di negara itu dengan laporan Badan Kesaksamaan Gender Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 menunjukkan 99 peratus wanita Mesir pernah melalui pengalaman gangguan seksual.

Nabih menjadi tajuk berita utama tahun lalu apabila menyerang seorang ulama liberal ketika debat menerusi sebuah stesen televisyen.

Debat di saluran televisyen Mesir, LTC, bertukar menjadi ganas dengan Nabih menggunakan kasutnya untuk memukul ulama liberal itu. – Agensi

The post (VIDEO) Kenyataan peguam Mesir perkosa gadis berpakaian dedah aurat cetus kemarahan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian