Wanita muslim India dinafikan hak pekerjaan kerana pakai tudung

NEW DELHI, 30 Safar 1439H, Ahad – Seorang pekerja sosial di India dinafikan hak untuk bekerja semata-mata kerana ketua sebuah pusat asuhan berpendapat tudung kepala yang dipakainya menampakkan beliau sebagai ‘wanita Islam’.

“Semuanya berjalan lancar, kami bertukar-tukar e-mel. Tetapi beberapa hari lalu, saya menerima e-mel yang menyatakan ‘saya minta maaf untuk memaklumkan bahawa dengan pakaian yang dipakai, anda dilihat terlalu menjadi wanita Islam’,” kata Nedal Zoya, lulusan Institut Sains Sosial Tata di Mumbai.

Cara pakaian itu merujuk kepada tudung kepala yang dipakai Nedal.

Selepas disenarai pendekkan oleh pusat asuhan Delhi bagi jawatan pekerja sosial, Nedal diminta oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pusat asuhan itu, Harish Varma, supaya membuat ujian bertulis dan menghantar gambarnya.

Varma mencadangkan Nedal menanggalkan tudung kepala sebagai satu pra-syarat bagi meneruskan proses pengambilan pekerja.

Selepas Nedal enggan berbuat demikian, Varma menghantar e-mel menyatakan terkejut untuk mengetahui bahawa ‘Nedal mengutamakan Islam konservatif berbanding kemanusiaan’.

Dalam e-mel itu, Varma juga menyatakan dia tidak membenarkan mana-mana aktiviti keagamaan di dalam pusat asuhan itu.

Nedal kemudian mendapat tahu bahawa seorang lagi wanita muslim yang berfikiran moden dan dengan pola pemikiran yang bebas mengenai agama, telah diterima untuk jawatan itu.

“Saya tidak menganggapnya sebagai penolakan. Saya tidak menganggap diri saya sebagai mangsa. Motif saya untuk mewujudkan kesedaran bahawa bukan saya seorang sahaja yang berdepan diskriminasi.

“Orang ramai, sekurang-kurangnya perlu bincangkan perkara ini supaya diskriminasi sedemikian berdasarkan agama dan penampilan boleh dipersoalkan,” kata Nedal.

Media melaporkan, Ahli Dewan Undangan Delhi, Saurabh Bharadwaj berjanji mengambil tindakan terhadap Varma sekiranya Nedal membuat aduan rasmi, kerana Perlembagaan India tidak membenarkan diskriminasi berdasarkan kepercayaan seseorang.

Varma memberitahu stesen televisyen Al Jazeera bahawa keputusan dibuat berdasarkan kelayakan untuk tugas itu dan calon yang dikehendakinya mesti seorang yang sekular.

“India adalah negara sekular dan kami tidak memberi keutamaan kepada individu berdasarkan agama mereka,” katanya.

Nedal bagaimanapun, percaya tindakan itu adalah contoh bagaimana Islamophobia semakin meningkat di India dan bagaimana ia menjejaskan masa depan komuniti muslim di negara itu. India mempunyai kira-kira 1.3 bilion umat Islam.

Sejak, Narendra Modi menduduki kerusi Perdana Menteri pada 2014, serangan penganut Hindu terhadap umat Islam di negara itu meningkat. – Agensi

The post Wanita muslim India dinafikan hak pekerjaan kerana pakai tudung appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian