23 sekeluarga terbunuh serangan Amerika di Syria
DEIR EZ-ZOR (SYRIA), 26 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Serangan udara pesawat tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) membunuh 23 orang awam – semuanya daripada satu keluarga – di sebuah perkampungan dikuasai kumpulan militan Daesh di sini, semalam.
Pemantau Hak Asasi Manusia (SOHR) berpangkalan di London, mengesahkan sekurang-kurangnya 23 orang awam, termasuk lapan kanak-kanak dan enam wanita, terbunuh dalam serangan waktu senja dilakukan pesawat diketuai AS yang menyasarkan perkampungan dikuasai Daesh di pinggir Sungai Euphrates.
Kumpulan pemantau itu yang mendapatkan laporan terus di tempat kejadian, melaporkan, pegawai tentera AS memberi jaminan akan menyiasat serangan yang dikatakan mengenai orang awam.
Pasukan tentera yang disokong AS, terutama Tentera Demokratik Syria (SDF) ketika ini sedang bertempur dengan kumpulan bersenjata untuk mengambil alih kawasan berkenaan yang masih dikuasai Daesh.
Jurucakap tentera AS, Kolonel Ryan Dillon menegaskan bahawa pihaknya menggunakan standard yang ketat untuk sasaran dan mengambil langkah luar biasa bagi melindungi orang awam.
“Daesh semakin lemah, tetapi masih menjadi ancaman,” katanya.
Selepas 2014, perang menentang Daesh dilancarkan oleh pelbagai pakatan AS, Russia, Syria dan Iraq, menyebabkan kumpulan militan itu hilang penguasaan di beberapa wilayah di Syria dan Iraq.
Sejak 2014 juga, pakatan tentera AS mengakui secara tidak sengaja membunuh 801 orang awam menerusi 28,000 serangan udara di seluruh Syria dan Iraq.
Bagaimanapun, jumlah kematian orang awam dianggarkan lebih tinggi selepas ada kritikan mengenai siapa yang AS anggap ‘orang awam’ ketika perang. – Agensi
The post 23 sekeluarga terbunuh serangan Amerika di Syria appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan