ismakualaterengganu

Apabila ultra kiasu dan Melayu gagap Quran bersatu…

TIDAK semena-mena idea Pegawai Pendidikan Daerah (PPD Kuantan) agar semua sekolah di daerah Kuantan wajib menganjurkan solat berjemaah sebe...

TIDAK semena-mena idea Pegawai Pendidikan Daerah (PPD Kuantan) agar semua sekolah di daerah Kuantan wajib menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar Islam pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri mereka, menjadi heboh satu Malaysia, seolah-olah sudah korup isu.

Setiap hari hari pemberita akhbar dan laman web ultra kiasu akan mencari tokoh-tokoh tertentu untuk ditemubual agar menjadi sensasi.

Niat busuk hati pemberita tersebut sangat jelas. Mereka tidak mencari yang pro untuk ditemubual tetapi yang kontra. Jawapannya sudah sedia diketahui. Apakah kita masih buta melihat bagaimana musuh-musuh Islam ultra kiasu ini? Jahat sungguh mereka ini.

Paling kurang pujilah sedikit, kalau tidak banyak, inisiatif orang mengajak orang lain kepada kebaikan seperti solat berjemaah. Membawa orang dekat dengan Tuhan. Ini tidak, mereka akan mensensasikan berita ini sehingga yang baik menjadi buruk. Sedangkan perkara buruk dan jahat mereka sengaja diamkan.

Dalam maksud, ultra kiasu takut orang menjadi baik, tetapi suka tengok orang menjadi jahat atau liar. Sepatutnya mereka disedarkan, bahawa semakin ramai orang Islam solat, semakin faham mereka kepada Islam, semakin ramai yang akan menjadi baik, semakin aman damai negara ini dan juga kehidupan. Tidak kurang, semakin mereka menghormati hak bukan Islam.

Seperti yang selalu saya perkatakan, semakin orang Melayu memahami Islam, semakin tinggi tahap toleransi terhadap bukan Islam. Ini sudah terbukti dalam sejarah, semakin orang Melayu faham Islam, semakin dekat dengan Allah, semakin mereka dapat menerima bukan Melayu yang datang berhijrah.

Semua tahu bahawa niat pegawai pendidikan itu amat murni. Solat adalah antara salah satu pengisian utama dalam membina karakter warga sekolah, khususnya murid agar dapat mencegah perkara negatif dalam mengharungi dunia yang kian mencabar. Demi kecemerlangan murid, guru-guru kita meletakkan lima fokus utama iaitu pembinaan karakter, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah. Pihak sekolah menyasarkan kira-kira 10 peratus murid lelaki beragama Islam boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, boleh membaca al-Quran dengan baik, menjadi imam, membaca doa selamat dan tahlil.

Sepatutnya ramailah yang memuji. Tidak ada kaitan langsung pun untuk mengIslamkan sekolah kebangsaan. Malangnya, ultra kiasu Melayu tumpang semangkok. NGO yang kononnya mewakili ibu bapa yang diketuai oleh Melayu, yang mungkin masih gagap bacaan Qurannya, turut bersuara.

Pergilah mengaji. Jika belum pernah pijak sejadah, pergi beli sejadah. Atau saya cadangkan bina rumah dekat surau dan masjid sebagai proses tarbiyyah. Jika kita sendiri gagal untuk mendidik anak-anak untuk bersolat, sokonglah inisiatif guru-guru untuk galakkan anak orang lain bersolat.

Jika difikirkan secara mendalam, kenapa guru-guru hendak bersusah payah menjaga anak orang supaya bersolat. Lantaklah. Tetapi inilah guru. Kadangkala terlebih jaga anak orang, sehingga terlepas pandang anak sendiri.

Sepatutnya NGO yang diketuainya berbincang dengan pihak sekolah atau sekurang-kurang bertindak seperti NGO lain, menyokong inisiatif tersebut seperti Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), yang percaya inisiatif ibadah berkumpulan dapat melahirkan sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar Islam, dan dalam jangka masa panjang, pelajar sendiri dapat menjadi pembimbing rakan sebaya.

Ini tidak, sedap-sedap saja dia menyarankan ibu bapa supaya menghantar anak-anak yang mahukan disiplin sedemikian ke sekolah agama atau tahfiz yang lebih khusus dan berkemahiran. Jika begitu keadaan, tidak perlulah kakitangan kerajaan diberikan kefahaman Islam. Biarkan kakitangan Jakim dan pejabat agama sahaja yang faham Islam. Orang lain biarkan jahil termasuk yang bercakap banyak dalam soal ini.

Bagi yang faham, kita menganggap ini fardu kifayah. Tanggungjawab yang akan dipersoalkan Allah SWT. Sebab itulah Jakim meletakkan pegawai agamanya di setiap kementerian.

Apakah kerana terlalu nak meraikan bukan Islam yang terlalu minoriti di sekolah kebangsaan maka kita terpaksa korban identiti dan prinsip kebangsaan? Apakah sekolah kebangsaan bertujuan untuk melahirkan anak-anak yang tidak kuat agama atau jahil agama? Bacalah matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sekolah agama hari ini boleh dikatakan semuanya bersifat bersepadu. Tidak mengajar subjek agama sepenuhnya. Begitu juga dengan sekolah tahfiz. Ini bukan sekolah agama dan tahfiz dalam tok kaduk dahulu. Walaupun tidak dinafikan ada sekolah agama bercorak sedemikian.

Ini bukan sekolah mana yang perlu dia belajar, tetapi soal pembangunan insan. Melahirkan pelajar yang seimbang jasmani dan rohani selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tatkala, ibu bapa gagal mensolatkan anaknya, tidakkah lebih baik ia dapat melatih dirinya di sekolah dengan inisiatif guru-guru.

Paling menyedihkan apabila ultra kiasu menemubual bekas timbalan menteri pendidikan tinggi, yang meminta dasar dikaji untuk melihat jika ia akan mendorong lebih ramai ibu bapa bukan Islam dan sesetengah ibu bapa Melayu menghantar anak ke sekolah lain kerana khuatir sekolah kebangsaan semakin menjadi sekolah agama.

Persoalan saya, sejak bila bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan apabila diberi pilihan sekolah vernakular? Pernah dibuat kajian? Janganlah buat andaian? Buruk sangat pemimpin seperti ini.

Pemimpin MCA berkata, sekolah kebangsaan berjaya menarik ramai murid bukan Melayu dan lebih baik jika fokus ditumpukan kepada pendidikan, bukannya agama sebagai tugas dan tanggungjawab utama sekolah.

Sejak bila aliran kebangsaan berjaya menarik perhatian bukan Melayu terutama orang Cina. Bila orang politik bercakap, cakap ikut sedap mulut. Bukan buat kajian pun. Rata-rata keluarga Cina menghantar anak mereka ke SJKC. Jika ada pun menghantar ke sekolah kebangsaan, hanya 10 peratus sahaja.

Saya pelik dengan pemimpin ultra kiasu ini. Bila dicadangkan sekolah satu aliran. Sibuk mempertahankan SJKC. Bila kita mahukan supaya pelajar Islam diwajibkan berjemaah, dia kata ini akan menjadikan bukan Melayu takut untuk ke sekolah kebangsaan.

Sedangkan sebenarnya tidak ada pun yang dihantar ke sekolah kebangsaan, kecuali di sekolah menengah disebabkan oleh sekolah menengah aliran vernacular tidak banyak. Inilah sifat ultra kiasu yang selalu saya utarakan agar para pembaca faham, apa sebenarnya pelabelan ultra kiasu yang selama ini saya lakukan.

Lagipun, solat berjemaah ini hanya untuk pelajar Islam. Tiada kaitan langsung pun dengan pelajar bukan Islam. Mereka boleh teruskan kerja mereka sebagai pelajar. Peliknya, pemimpin ultra kiasu ini panas punggung pasal apa?
Kenapa mahu campurtangan dalam hal ehwal orang Islam. Kecualilah sekolah tersebut mahukan pelajar bukan Islam turut serta solat berjemaah bersama. Sama juga ketika berdoa. Ketika pelajar Islam berdoa, pelajar bukan Islam berdoalah mengikut cara masing-masing. Siapa suruh angkat tangan. Bacaan doa ini tidak salah kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru, sebelum pemimpun ultra kiasu Melayu memberikan komen, fikir dahulu apa tujuan solat dan fadilat solat berjemaah. Jika jahil lebih baik diam sahaja. Mewajibkan solat berjemaah itu satu langkah yang baik. Solat berjemaah bukan solat semata-mata

Pertama, memastikan yang tidak pernah solat, sekurang-kurang bila diwajibkan solat berjemaah, sekurang-kurang kaki mengijak sejadah. Selama ini mungkin dia tidak pernah solat di rumah, disebabkan adanya ibu bapa seperti NGO tersebut. Dengan mewajibkan solat berjemaah, sekurang-kurang sekali sehari, pelajar kita tunduk sujud pada Allah yang selama ini tidak pernah dilakukan di rumah.

Kedua, solat dan solat berjemaah adalah proses tarbiyyah manusia. Jangan lihat solat berjemaah sekadar solat semata-mata. Dari sudut psikologi, solat dapat mendidik jiwa. Solat dapat mencegah diri daripada perbuatan mungkar. Melahirkan insan takut kepada Tuhan dan berakhlak mulia. Ya, benar… ada yang bersolat tetapi juga melakukan mungkar. Tetapi bilangannya agar minoriti. Sama juga isu segelintir paderi yang terlibat dalam skandal seks.

Ketiga, solat berjemaaah adalah soal latihan kepemimpinan. Dengan menjadi imam, secara tidak langsung melatih pelajar menjadi pemimpin yang berani dan berilmu. Untuk menjadi seseorang imam, pelajar tersebut mesti tahu surah wajib dan doa ringkas yang perlu dibaca.

Dengan mewajibkan pelajar ini solat berjemaah secara tidak langsung ia akan mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan dirinya. Yang mungkin selama ini dia tidak pernah solat berjamaah di rumah, kerana mendapat ibu bapa seperti yang mereka menentang tidak melakukan amalan tersebut.

Keempat, arahan yang dikeluarkan hanya untuk pelajar Islam. Tidak perlulah bukan Islam menyibuk. Ketika umat Islam berpuasa, pernahkah kita suruh pelajar bukan Islam turut berpuasa di sekolah? Kenapa ketika itu, NGO ultra kiasu tersebut tidak mengeluarkan kenyataan supaya pelajar Islam tidak perlu berpuasa kerana dengan berpuasa, ia akan mengislamkan sekolah tersebut.

Pelajar bukan Islam akan takut ke sekolah. Biarkan puasa hanya berlaku di sekolah agama dan tahfiz sahaja. Mereka yang menentang ini puasa ke atau tidak?

Kelima, kadangkala jika nak melaksanakan sesuatu kebaikan, ia tidak boleh dijadikan pilihan. Ia wajib diinstitusikan atau dijadikan undang-undang. Kita tidak paksa bukan Islam masuk Islam, tetapi bila sudah masuk, kenalah patuh kepada undang-undang Islam.

Sama juga seperti undang-undang jalan raya. Misalnya, undang-undang jalan lampu isyarat. Ia tidak boleh dijadikan pilihan tetapi mesti dikuatkuasakan. Baharu kita boleh mendisiplin pemandu jalan raya agar tidak berlaku kemalangan.

Keenam, kerana hendak menjaga hati orang Islam, banyak upacara dan perayaan orang Cina dan India turut disambut di sekolah aliran kebangsaan, seperti pesta kuih bulan, pesta tanglung, pesta ponggal dan banyak lagi pesta mereka. Orang Islam (Melayu) langsung tidak bising sambutan tersebut akan mengtanglungkan atau mengponggalkan orang Melayu. Kenapa tidak dihargai toleransi ini?

Apabila kita umat Islam nak buat sesuatu yang dilihat islamik, semua tidak boleh kerana akan berlaku proses pengislaman dan tidak menarik bukan Melayu ke sekolah. Apabila mereka berada di sekolah kebangsaan, berlaku proses pencinaan dan pengindiaan, orang Melayu tidak pula bising.

Lebih pelik lagi wartawan ultra kiasu ini tidak pula mensensasikan berita-berita seperti ini. Budaya dan cara hidup mereka boleh menular dalam sebuah negara Islam, manakala cara hidup Islam dalam sebuah negara Islam tidak boleh dan perlu disekat. Pemikiran rimba apakah ini? Banyak lagi yang boleh disenaraikan, cukup sekadar ini dahulu.

Saya amat yakin, majoriti ibu bapa bersetuju mewajibkan isu solat berjemaah ini dalam kalangan pelajar Islam. Yang tidak bersetuju ini hanya minoriti, yang tidak ada pengikut, tetapi mereka ini mempunyai payung besar. Kita tahu siapa yang memayung mereka dan orang besar di belakangnya.

Justeru, tidak perlulah dilayan. Teruskan sahaja. Yang membimbangkan saya, ultra kiasu yang menentang ini, mereka juga terlibat dalam gerakan liberal dan tergolong dalam kalangan pengikut yang bersolat mengikut getaran hati. Hati-hatilah.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Apabila ultra kiasu dan Melayu gagap Quran bersatu… appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 1898181239163961781

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item