Ateisme adalah Kekufuran
Ateisme (atheism) adalah salah satu manifestasi kepada kekufuran yang telah dibongkarkan berkali-kali di dalam Al Qur’an. Isu ini juga telah dibahaskan oleh para sarjana, pemikir dan pengkaji-pengkaji ugama.
Akan tetapi, bilamana isu Ateisme ini cuba dikaitkan dengan Perlembagaan sebagai satu “entiti” yang perlu dipertahankan dan diberi pengiktirafan serta hak, maka arahtuju agenda ini secara otomatis menyentuh kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan dan kepentingan umat Islam serta keharmonian hidup bernegara.
Oleh: Mohd Luttfi Abdul Khalid.
Pada mulanya, saya tidak begitu berminat untuk menulis tentang tajuk ini. Namun setelah membaca tulisan dua orang sahabat saya (dilampirkan di akhir status ini), saya rasa terpanggil untuk sekadar melengkapkan beberapa sudut sahaja daripada penulisan mereka yang cemerlang itu.
Bagaimanapun apabila isu ini menjadi satu topik hangat yang dibahaskan oleh beberapa ahli Parlimen dengan begitu ghairah sekali (passionate), saya tergerak untuk cuba memahami persoalan ini dengan lebih mendalam.
Sebagai permulaan, saya perlu senaraikan terlebih dahulu beberapa premis-premis dasar yang saya rasa setiap orang Islam akan bersetuju dengannya, sebelum melanjutkan tulisan tentang ateisme.
Premis-premis dasar tersebut adalah seperti berikut:
- Hakikat penciptaan manusia – sebagai hamba Allah dan khalifah yang bertanggungjawab untuk memakmurkan mukabumi.
- Perakuan ruh/jiwa dalam satu akujanji (Covenant) tentang Allah sebagai Rabb, Ilah dan Zat yang Paling Berkuasa.
- Penciptaan Nabi Adam (‘a.s) wewakili makhluk bernama manusia yang kedudukan dan keistimewaannya tidak diiktiraf oleh Iblis. Keizinan diberikan untuk Iblis menyesatkan manusia dan penangguhkan hukuman terhadap keengkaran Iblis.
- Manusia dilahirkan dengan diberi ilham untuk memilih antara dua jalan – jalan Fujur dan jalan Taqwa. Mana-mana jalan yang dipilih mempunyai kesan, akibat dan konsekuensi tersendiri. Pilihan antara Iman atau Kufr, Hidayah atau Hawa Nafsu.
- Para Nabi dan Rasul diutuskan untuk mengingatkan manusia tentang keempat-empat poin di atas. Respon hanya dalam dua bentuk – menerima atau menolak risalah para Rasul dan Nabi.
- Hakikat hidup sesudah mati (Hari Akhirat) telah diterangkan dengan jelas kepada manusia. Kesementaraan dunia dan adanya satu hari yang memuktamadkan segala hukuman dan balasan untuk apa yang dilakukan oleh manusia di dunia dan natijah dari pilihan antara dua jalan.
Dari beberapa rujukan yang dibuat, saya dapat menyimpulkan beberapa poin tentang Ateisme:
- Ateisme bukan satu ugama. Ia tidak memiliki setiap elemen yang mencirikan sesuatu ugama. Ia tidak berdasarkan satu akidah (keyakinan) yang lazimnya terdapat pada sesuatu ugama atau pegangan akidah.
- Ateisme bukan satu ideologi. Ia tidak mempunyai apa yang dimaksudkan dengan ideologi. Ideologi di sini bermaksud satu entiti yang terdiri daripada doktrin, mitos, keyakinan atau seumpamanya yang membimbing individu, gerakan sosial, institusi, kelas atau kumpulan-kumpulan besar. Ideologi ini pula perlu memenuhi dua syarat pula: i) Merupakan sekumpulan idea atau keyakinan, dan ii) kumpulan ini mesti membawa satu garispanduan.
- Ateisme bukan satu falsafah.
- Ateisme bukan satu sistem keyakinan (Belief system).
- Ateisme bukan satu akidah atau kepercayaan (Creed). Akidah atau kepercayaan adalah satu sistem nilai, doktrin, formula kepercayaan uagama, atau satu sistem kodifikasi keyakinan ataupun pandangan.
- Ateisme bukan satu pandangan hidup (worldview). Pandangan hidup di sini bermaksud satu tasawwur (konsepsi) atau paparan imej yang menyeluruh tentang alam semesta dan hubungannya dengan manusia.
Sesuai dengan asal usul perkataannya, Ateisme berasal dari perkataan Yunani (Atheos) yang bermaksud: Tiada/Tanpa iktikad atau kepercayaan tentang kewujudan Tuhan atau tuhan-tuhan. Ia juga satu penolakan terhadap kepercayaan/keyakinan bahawa Tuhan atau tuhan-tuhan itu wujud.
Maka Ateisme :-
- Percaya bahawa tidak ada Tuhan
- Tidak mempunyai kepercayaan kepada Tuhan
- Tidak percaya/tidak akui kewujudan Tuhan
- Tidak ada keyakinan terhadap konsep Tuhan
- Menolak Tuhan
Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, Atheisma adalah satu bentuk KEKUFURAN.
Ateisme memiliki sejarah tersendiri antara hubungan gerakan anti-Gereja dan penolakan terhadap ugama (Kristian).
Pengkaji sejarah akan mendapati bahawa di Zaman Kebangkitan Ilmu Pengetahuan (Age of Enlightenment) adalah satu fasa di dalam sejarah Eropah (antara pertengahan kurun ke 17 dan permulaan kurun ke 18) yang sangat instrumental/berpengaruh di dalam pencorakan halatuju dunia selepas itu.
Secara umumnya, Zaman tersebut merupakan satu pergerakan intelektual yang muncul khususnyanya di negara-negara Perancis, Britain dan Jerman. Ia mempelopori kemerdekaan, demokrasi dan akal sebagai nilai-nilai utama bagi sesebuah masyarakat. Ia bermula dari titik tolak bahawa akal manusia perlu dibebaskan dari belenggu kejahilan, khurafat dan kuasa mutlak negara bagi membolehkan manusia mencapai kemajuan dan kesempurnaan.
Tempoh masa ini ditandakan dengan semakin menurunnya pengaruh Gereja, urustadbir negara berpusat dan hak-hak yang lebih banyak kepada masyarakat marhain/bawahan. Dari segi politiknya, ia merupakan zaman bagi revolusi-revolusi, kacau bilau (turmoil) dan pemusnahan total terhadap tradisi-tradisi yang telah berakar umbi.
Zaman ini diwarnai dengan pertembungan antara ilmu pengetahuan dan dominasi Gereja, antara kebebasan berfikir dan penolakan ilmu-ilmu dari Gereja. Untuk menjadi seorang yang benar-benar merdeka dalam berfikir, beliau perlu membebaskan diri dari belenggu kezaliman dan ketaksuban ugama , malah bebas dari ugama dan segala apa yang lahir daripadanya.
Realiti di atas juga merupakan satu manifestasi bagi faham Liberalisma yang tidak terikat dengan Tuhan atau ugama. Sekiranya seseorang ateis “percaya” kepada satu entiti (Tuhan) sebagai pencipta alam, beliau akan meletakkannya di satu sudut yang sangat terpencil dalam entiti manusia. Beliau “percaya” bahawa undang-undang tabi’i/semulajadi (natural laws) yang menentukan bagaimana alam semesta ini akan berfungsi dan beraksi.
Tuhan bagi mereka hanya bertugas untuk menciptakan seluruh alam semesta ini dan bila sudah siap, Dia akan “berhenti” dan menyerahkan urusan pentadbiran, pengurusan dan pemakmuran alam ini kepada manusia semata-mata.
Salah seorang penggerak Ateisme adalah Richard Dawkins yang menulis buku bertajuk “The God Delusion” pada tahun 2006. Antara kata-kata beliau tentang Islam berbunyi:
“Sudah tentu anda boleh memiliki sesuatu pandangan tentang Islam tanpa perlu membaca Al Qur’an. Anda tidak perlu membaca tentang Mein Kampf untuk memberi pandangan tentang Nazisme.”
Antara ‘trend’ di kalangan kumpulan Ateis (dan juga bekas-Muslim/murtad) ialah mengutuk Islam dan menghasut umat Islam yang akan dirujuk dan di tweet kembali oleh Dawkins dan 600 ribu pengikut Twitter nya.
Apabila kita perhatikan agenda politik Ateisme yang bermula di Barat ini, kita akan dapati bahawa perjuangan untuk mengarus perdanakan gerakan Sekularisma menuntut supaya lebih banyak ruang diberikan kepada liberalism, bukan lebih banyak ruang kepada Ateisme. Semangat yang mendasari Ateisme Baru ini lebih menyerupai ugama yang bersifat evangelis daripada gerakan intelektual semata-mata.
Bukanlah satu kejadian sejarah tertentu bahawa evolusi Ateisme di zaman moden ini amat berkait rapat dengan gerakan-gerakan ke arah keadilan sosial. Malah boleh dikatakan juga gerakan-gerakan reformasi ini dalam kebanyakan kes lebih menumpu dan bersangkut kepada konflik antara kelas di dalam sesebuah masyarakat.
Pendekata, gerakan Ateisme ini atas nama apa sekalipun yang diberikan – closet atheist, militant atheist, ateisme baru, ateisme pragmatic/praktikal – semuanya menolak bimbingan/garispanduan wahyu atau keperluan untuk percaya kepada Tuhan. Kerana ini semua bukan satu keperluan kepada satu suasana hidup yang praktikal.
Saya tidak bercadang untuk membicarakan isu ini dari sudut perundangan secara khusus oleh kerana ia telah dibahas dengan baik oleh beberapa pihak yang rujukannya saya catat di hujung artikel ini. Saya lebih tertarik untuk melihatnya dari sudut lain. Cuma Artikel 11 yang dirujuk oleh Hanipa Maidin (ahli Parlimen PAN Sepang): “saya rasa ateisme ini is duly protected by Article 11 of Federal Constitution” adalah tidak terpakai (inapplicable). Dia juga menuntut supaya ateisme ditafsirkan sebagai ugama menurut undang-undang, yang juga tidak ada ‘precedent’ dalam mana-mana keputusan Mahkamah sebelum ini.
Dia cuba membuka jalan bagi ateisme bertapak sebagai satu ugama, yang diperakui dan dipertahankan oleh Perlembagaan Pesekutuan.
Sekiranya ateisme hendak diiktiraf sebagai satu ugama, maka Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Dan selepas ini, humanisme, sekularisme, dan apa sahaja isme lain akan mendapat perlindungan undang-undang sepertimana yang dinikmati oleh atheisma. Ini bukan tujuan yang tersurat mahupun tersirat di sebalik peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya berpandangan bahawa Ateisme, sepertimana juga Liberalisme, Sekularisme, Humanisme dan gerakan-gerakan masyarakat yang bersumber atau berpaksi di atas gagasan di atas, hanyalah satu nama lain bagi Kekufuran. Cuba perhatikan – semua yang di atas itu mempunyai hubungan sama ada rapat atau longgar dengan realiti masyarakat Barat yang telah melalui fasa-fasa peralihan dari taksub kepada dogma ugama Kristian (yang memonopoli ilmu tentang Penciptaan alam semesta dan ilmu pengetahuan secara umumnya) kepada penolakan mutlak terhadap penguasaan atau dominasi Gereja ke atas ilmu pengetahuan.
Justeru itu mereka di sana perlu menolak ugama Kristian sekiranya mereka ingin mencapai kemajuan di dalam bidang ilmu pengetahuan, teknologi dan pengembangan sains.
Malangnya, realiti yang secara khusus berlaku di dunia Barat ingin di”perkenalkan” ke Dunia Islam ketika itu, yang meskipun berada di fasa nazak dan kemunduran dari segi kewujudan dan dominasi politik mahupun sosial mereka, TIDAK PERNAH memisahkan urusan “agama” dengan sains atau ilmu pengetahuan.
Ketikamana Barat mendapati bahawa terdapat penentangan terhadap produk-produk kufur ini di kalangan umat Islam, maka mereka menggunakan strategi lain, yang tidak kurang berbisa dan beracun kesannya. Iaitu melalui pendidikan.
Dengan jatuhnya mata rantai terakhir dari silsilah dan sistem Khilafah, iaitu tumbangnya Khilafah Turki Uthmaniyah pada tahun 1924, maka jalan telah terbuka luas untuk memperkenalkan kembali ideologi-ideologi kufur ini ke seluruh dunia Islam yang telah difaraidkan kepada Empayar British khususnya, bersekali dengan kebangkitan gerakan nasionalis yang menceraikan diri dari tubuh Khilafah Islami terakhir yang berpusat di Turki.
Sistem pendidikan Barat/Inggeris telah berjaya melahirkan graduan-graduan yang terdiri dari golongan bangsawan, elit, kerabat istana dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang sangat tebal ruh Barat/Inggerisnya.
Ketika itu, Gereja dan pengaruhnya sudah dilumpuhkan dan ilmu pengetahuan, sains dan industri adalah milik mereka yang telah berlepas diri dari monopoli Gereja ke atas minda mereka. Perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi yang pesat di satu pihak dan pembentukan kumpulan elit/bangsawan pro-Barat/Inggeris di pihak lain telah bersebati menghasilkan satu barisan pewaris Barat/Inggeris tempatan.
Mereka inilah yang akan meneruskan (atau memperkenalkan) sistem perundangan, pendidikan dan budaya berfikir yang merupakan satu replika terbaik bagi perjuangan Kufur untuk menguasai batang tubuh umat Islam dan kekayaan sumber aslinya.
Maka tidak hairanlah fahaman-fahaman liberalisma, humanism dan ateisme mendapat tempat di kalangan “pewaris” Empayar British/Barat ini yang peranan tersebut telah diambil oleh Amerika pada kadar yang lebih agresif sejak beberapa dekad yang lalu.
Kesannya kita dapat lihat di hampir kesemua negara Islam, termasuk di tanahair kita sendiri.
Terdapat satu kerjasama tersembunyi di antara gerakan nasionalis, sekular, liberal, ateisme, humanisma dan sosialisma di dalam konteks yang lebih besar ini:
- Penolakan terhadap nilai ugama/wahyu.
- Pemberatan yang keterlaluan terhadap kebebasan peribadi dan kemerdekaan dari kekangan tradisi, budaya, nilai dan pandangan hidup bangsa/umat yang dijajah.
- Kaitan rapat dengan kepentingan perniagaan atau ekonomi penjajah.
- Pemisahan ugama (Islam) dari urusan pemerintahan dan pentadbiran negara.
- Perkongsian agenda perjuangan dengan gerakan sivil, liberal dan hak asasi manusia.
- Penularan gerakan evangelisma yang tersusun dan agresif untuk mengKristiankan umat atau memurtadkan mereka.
Satu realiti yang menyedihkan apabila kita dapati terdapat segelintir umat Islam yang tidak segan silu atau rasa bersalah turut berbaris bersama pejuang-pejuang kufur ini. Apatah lagi mereka yang mendakwa membawa perjuangan Islam yang tulen dan suci!
Sudah tentu terdapat satu hikmah dan rahsia besar mengapa setiap Muslim membaca Surah Al Fatihah dalam solat mereka. Surah ini mengandungi peringatan abadi sekaligus permohonan tulus ikhlas supaya umat islam sentiasa berada di atas jalan yang lurus, bukannya jalan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang satunya dimurkai Allah manakala yang satu lagi berada di dalam kesesatan.
Peranan dan akujanji Iblis untuk membujuk dan menyesatkan manusia sudah termaklum. Yang perlu dibongkarkan supaya umat kembali sedar dan berwaspada ialah agenda Yahudi/Zionis/Evangelis ke atas umat Islam yang tidak pernah terpadam dari dada mereka.
Ateisme ataupun yang senada dengannya bukanlah satu rahmat yang perlu dipertahankan, tetapi satu malapetaka dan muslihat Kufr yang perlu dibongkarkan.
Sedarkah umat Islam hari ini?
Muhammad Luttfi Bin Abdul Khalid
Pengerusi
Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
[iPeguam]
__
Rujukan:
http://ift.tt/2C7kDX5
http://ift.tt/2zIAqpb
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan