Bahaya pemikiran rimba dan mangkok hayun

BEGITU jelek sekali mendengar aktivis liberal berkata pengaruh budaya Arab yang menular (Arabisation) telah menghakis budaya dan identiti Melayu di Malaysia.

Tetapi, ratusan tahun kita dijajah dan proses westernisasi (westernisation) pembaratan dan sekularisasi, iaitu pengaruh Barat yang amat mendominasi, tidak seorang pun ambil peduli. Malah, kita terima ia menjadikan norma dan cara hidup.

Seorang yang berjubah dan berkopiah dilihat sebagai kuno atau terlalu keAraban, sedangkan mereka yang seumur hidup memakai blues jaket, blazer, bertali leher, skirt pendek, baju nampak ketiak, bikini dan pakaian separuh telanjang, malah ada yang berbogel pun, ia diterima sebagai norma dan gaya hidup yang dimegahkan.

Pendek kata, pemakaian yang menutup aurat atau bersopan, begitu dirisaukan. Manakala, mereka yang mendedahkan badan sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat serta urat-urat, diterima sebagai norma dan mengikut arus pemodenan. Pemikiran rimba dan ‘mangkok hayun’ apakah ini?

Lebih hina lagi, kumpulan ini sanggup menyalahkan negara Arab kerana penularan budaya ini sehingga menyebabkan budaya dan jati diri Melayu terhakis. Salah apa dengan negara Arab? Siapa meniru siapa? Sama juga apabila kita meniru budaya Barat, salah Barat atau salah kita? Memang kerja Barat untuk menyesatkan kita semua dengan budaya liar, seks, seksi dan hedonism.

Berbanding dengan budaya Timur seperti budaya Melayu, boleh dikatakan dalam semua aspek kehidupan Melayu yang penuh kelembutan dan indah sudah terhakis, disebabkan oleh proses pembaratan dan pemodenan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak lagi dirasakan sebagai penting. Malah, ada segelintir yang mahukan kita kembali semula kepada sistem pendidikan berasaskan bahasa Inggeris. Kemunculan sekolah antarabangsa sudah tidak lagi terkawal.

Begitu juga dengan cara berpakaian. Kenapa perlu meniru pakaian Arab atau orang putih? Peliknya lagi, tiru orang putih boleh, tiru Arab tidak boleh. Hanya kerana meniru Arab lebih menutupi badan, berbanding orang putih yang membuka badan. Maka, yang membuka badan itu diterima, manakala yang menutupi badan penuh dengan prasangka dan prejudis.

Inilah akibat apabila terlalu memandang ke Barat dan terlalu sekular, kawin cerai dengan orang putih, solat entah ke mana dan tidak tentu hala. Tidak mustahil kumpulan ini langsung tidak percaya kepada agama yang anuti dan diwarisi daripada ibu bapanya.

Maka, tidak menghairankan juga kenapa boleh terjadi kepada seorang pelajar yang dahulunya mendapat 17A dalam SPM, kemudian melanjutkan pelajaran di Barat, asalnya bertudung, hari ini bukan sahaja membuka tudung, malah menjadi begitu seksi, sekalipun wajahnya tidaklah secantik yang difikirkan. Katanya mengikut trend terkini.

 
Akhbar ultra kiasu bahasa Inggeris begitu mensensasikan berita anak muda SPM 17A yang membuka tudung ini. Saya mengikuti perkembangannya dan sedang mencari jawapan kenapa gadis Melayu boleh berubah 360 darjah. Dahulunya menutup aurat, hari ini menjadi sangat seksi. Sudah hilangkah nilai ketimuran? Apakah ibu bapa tidak lagi berperanan menegurkan anak-anaknya?

Akhbar ultra kiasu tidak habis-habis menyorot perkembangan beliau. Ultra kiasu ini amat seronok melihat orang Melayu menjadi liberal dan berpakaian seksi, berbanding dengan berjubah dan bertudung labuh.

Justeru, kepada kumpulan yang terlalu elergi dengan Arabisasi ini, jadilah Melayu yang tulen. Kawinlah dengan orang Melayu, pakai baju Melayu, makan guna tangan cara Melayu. Tidak perlulah terlebih orang putih. Kawin cerai orang putih.

Oleh kerana mereka ini dalam kalangan orang Melayu beragama Islam, maka fahamilah agama itu dengan mendalam. Kalau masih gagap mengaji, pergilah belajar. Kalau tidak faham makna al-Quran, rujuklah kepada yang pakar. Jangan ikut tafsiran sendiri.

Hari ini Arab Saudi mula pro-Amerika. Jika ditakdirkan, orang Arab Saudi mengikut cara hidup Barat, apakah selepas ini si mangkok hayun ini akan mempertahankan Arab Saudi dengan berkata pengaruh Amerika atau Barat telah menyebabkan budaya Arab terhakis. Apakah dia akan menyalahkan Amerika?

Sudah tentu tidak, kerana mereka ini sangat pro-Barat, cita rasa Barat, dan bersuamikan orang Barat sehingga tidak ketahuan suaminya yang dikahwini beramal dengan Islam atau tidak.

Apakah golongan liberal ini lebih suka jika nama-nama Melayu menjadi Robert, Ronnie, Jason, Gary, Marina, Joseph, Anthony, Teresa, Hannah, walaupun tidak sepatutnya mereka dinamakan sedemikian disebabkan kesepetan matanya.

Mereka akan berduka dengan nama daripada Muhammad, Umar, Khajidah, Fatimah, Hasmah, Aminah, Amin dan sebagainya, hanya kerana ia berbau Arab, maka ianya dibenci.

Maka, sudah sampai masanya kita mencermin diri sendiri. Sebenarnya, kita bangsa apa? Jika Melayu, jadilah Melayu. Begitu juga dengan bangsa lain. Kenapa perlu meniru orang, lebih-lebih lagi Barat. Bila condong ke Barat, semua okay dan diterima. Namun, bila condong sedikit ke Timur terutama, negara Arab, semuanya Taliban. Ini tidak adil.

Tidak semua budaya Barat itu baik, begitu juga Arab. Jadi, berpada-padalah jika mahu mengambilnya. Tetapi jangan jadi buta, buta hati. Yang jelas, proses pembaratan telah merosakkan jati diri dan terlalu menghakis budaya Melayu.

Anak-anak kita sudah tidak mengenal keroncong, zapin dan lain-lain irama Melayu. Mereka sudah terlebih rock, hip hop dan RnB. Begitu juga dalam cara berpakaian, tidak segan silu berpakaian seperti bertelanjang.

Ini tidak termasuk pengaruh, gay dan lesbian atau LGBT. Berapa ramai anak-anak Melayu yang sudah terjebak, sedangkan ia amat jauh sekali daripada tatacara, jati diri dan budaya Melayu. Kenapa serangan seperti ini tidak dikatakan menghakis budaya Melayu?

Tetapi apabila sekali orang Melayu memakai pakaian berjubah, maka terus dijatuhkan hukum, bahawa jati diri Melayu sudah terhakis dan orang Melayu sudah terpengaruh dengan Arabisasi. Bertaubatlah! Sementara Allah masih lagi membuka pintu dan ruang taubat untuk kita.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Bahaya pemikiran rimba dan mangkok hayun appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian