Bekas ‘jutawan’ fail tuntutan nafkah terhadap anak

MELAKA, 23 Rabiulawal 1439H, Selasa – Seorang bapa memfailkan tuntutan nafkah terhadap tiga anaknya berjumlah RM3,925 sebulan setiap seorang sehingga akhir hayatnya, setelah mendakwa mereka tidak mempedulikannya lagi selepas hartanya dipindahkan kepada mereka.

Daut @ Kassim Jali, 84, memiliki tujuh anak tampil mengadu di Pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) negeri di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, semalam.

“Saya kesal kerana anak-anak mengabaikan saya sehingga nafkah sara hidup saya pun mereka tak beri. Bagaimana saya hendak menyara kehidupan saya sedangkan saya amat memerlukan kos untuk rawatan kesihatan saya kini.

“Saya tidak mahu mempersoalkan apa yang telah diberikan kepada anak-anak, cuma melahirkan perasaan kecewa, macam ini balasan mereka kepada saya,” katanya.

Difahamkan, beliau sebelum ini berstatus jutawan apabila dikatakan memiliki tiga stesen minyak, ladang sawit, pusat ternakan ayam serta beberapa aset lain yang semuanya bernilai lebih RM4 juta.

Namun, katanya, setelah semua aset diagihkan kepada tujuh anaknya yang berusia 41 hingga 58 tahun, anak-anaknya mengabaikan dirinya sehingga terpaksa meminta belas kasihan daripada anak-anak tiri serta isteri kedua untuk meneruskan hidup.

Memetik laporan Sinar Harian, Daut berkata, sudah dua tahun anak-anaknya tidak menjenguk beliau, bahkan ketika hendak mengerjakan umrah sebelum ini pun tidak datang berjumpa.

“Ingat lagi satu ketika sewaktu kereta habis minyak, saya ke stesen minyak yang diusahakan anak tetapi tidak diendahkan. Anak saya tak bagi saya isi minyak. Dua jam saya tunggu, dimakinya pula. Padahal stesen itu saya yang usahakan dulu,” katanya

Sementara itu, peguamnya, Mohd Adli Ithnin berkata, Daut pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya itu di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka tiga tahun lalu dan berjaya memperolehi hak untuk menguruskan ladang ternakan ayam di atas dua lot tanah.

“Namun, pada September lalu, anak-anaknya telah mengambil kembali kedua-dua lot tanah tersebut dan juga perniagaan ayam menyebabkan beliau kini tiada lagi sumber kewangan.

“Sedangkan pada masa kini beliau terpaksa membeli keperluan makanan, ubat-ubatan, lampin pakai buang serta perbelanjaan lain yang kesemuanya berjumlah hampir RM4,000,” katanya.

Mohd Adli berkata, selama ini Daut telah berkorban untuk meningkatkan ekonomi anak-anak, tanpa usaha anak itu sendiri.

“Hari ini dengan berlandas usaha ayah, anak-anak ini berjaya di dalam bidang perniagaan masing-masing. Apa salahnya memberi sedikit sumbangan bulanan pada ayah?,” katanya.

The post Bekas ‘jutawan’ fail tuntutan nafkah terhadap anak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian