Cubaan sebar ajaran sesat di UniSZA berjaya dipatahkan

KUALA NERUS, 14 Rabiulawal 1439H, Ahad – Tiada ajaran sesat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) setakat ini, malah pihak universiti berjaya mematahkan usaha gerakan itu untuk menyebarkan ajaran sesat hasil kerjasama pengurusan UniSZA, pelajar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif berkata, gerakan ini berjaya dikesan apabila anggota gerakan itu masuk ke UniSZA dan bertemu dengan seorang pelajar kaum Cina pada pertengahan bulan lalu.

“Pelajar tersebut, Chan Kai Sheng yang merupakan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Cina (PKKC) telah membuat hebahan melalui Facebook dan WhatsApp agar semua pelajar UniSZA berhati-hati dengan tindakan anggota gerakan ajaran sesat itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Susulan itu, Kai Sheng memaklumkan perkara itu kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA malah perkara itu turut mendapat perhatian MPP Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memandangkan UMT terletak berdekatan UniSZA.

Ahmad Zubaidi berkata modus operandi gerakan tersebut ialah menemubual pelajar kononnya bagi pengumpulan data untuk projek kajian akhir tahun.

“Mereka hanya menyasarkan pelajar bukan Islam untuk menyebarkan ajaran ‘World Mission Society Church of God,” katanya.

Ketika ini terdapat 568 pelajar bukan Islam di UniSZA dan daripada jumlah itu, pelajar India adalah paling ramai iaitu 381 orang diikuti pelajar kau Cina (161) dan pelajar antarabangsa lain (26).

Ketika ditanya mengenai kawalan keselamatan untuk memasuki UniSZA ketika ini, Ahmad Zubaidi berkata pihak pengurusan universiti tidak bercadang untuk mengetatkan kawalan seperti meninggalkan kad pengenalan di pos keselamatan, namun pemantauan dibuat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi strategik di sekitar universiti.

“Cubaan untuk menyebar ajaran sesat ini jelas bertujuan untuk menghancurkan keharmonian antara penganut Kristian dan Buddha, namun kita berjaya menggagalkan cubaan ini hasil kematangan pelajar serta kerjasama erat di antara MPP UnisZA, MPP UMT, masyarakat dan pihak polis,” katanya.
– Bernama

The post Cubaan sebar ajaran sesat di UniSZA berjaya dipatahkan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian