Datuk Seri Abdul Hadi semarakkan kembali obor perjuangan PAS

BANYAK juga kata-kata negatif, khususnya daripada para pemimpin AMANAH, yang dilemparkan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ekoran kenyataan beliau bahawa “kali ini insya Allah kita akan bertanding seboleh-bolehnya lebih daripada 130 kerusi Parlimen”.

Kenyataan spesifik yang dibuat oleh beliau di dalam majlis Countdown 100 Hari PRU 14 di Rusila, Marang, Terengganu, pada 16 Disember 2017 ini adalah menyusuli kenyataan umum beliau bahawa “insya Allah, pilihan raya kali ini PAS akan bertanding sebanyak-banyak kerusi”.

Bagi saya, selaku pengkaji PAS, kenyataan ini sebenarnya langsung tidak mengejutkan, malah ia sekadar menyemarakkan kembali ingatan saya terhadap beberapa kenyataan sama yang dibuat oleh pimpinan PAS terdahulu semenjak PAS ditubuhkan pada tahun 1951.

PRU 1959

Penyertaan PAS di dalam PRU 1 pada tahun 1959 adalah didasarkan kepada satu ketetapan yang dikemukakan oleh Dewan Ulama’ PAS Pusat di dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-7 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 25, 26 dan 27 Disember 1958.

Mengikut ketetapan Dewan Ulama’ PAS Pusat ini, yang pada asalnya merupakan satu kertas kerja yang disediakan oleh Dewan Ulama’ PAS Kelantan, sesiapa yang tidak menegakkan negara Islam adalah termasuk di dalam golongan orang-orang yang fasiq, zalim atau kafir.

Berpandukan ketetapan ini, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Februari 1959, yang dipengerusikan sendiri oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, telah memutuskan bahawa PAS akan “menandingi tidak kurang daripada dua per tiga kerusi” di dalam PRU 1.

Keputusan ini adalah didorong oleh pertimbangan para pemimpin PAS pada waktu itu bahawa penegakan negara Islam (dan pengembalian kedaulatan Melayu) memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan pula dua per tiga kerusi ini.

Bagaimanapun, kekalahan 158 daripada 200 calonnya di dalam Pilihan Raya Dewan-Dewan Undangan Negeri yang dilangsungkan lebih awal menyebabkan PAS menukar sasaran ke satu tahap yang lebih rendah, iaitu “menandingi tidak kurang daripada satu per dua kerusi”.

Perkiraan PAS di dalam PRU 1 ini ialah, berdasarkan kemenangan calon-calon Dewan Undangan Negerinya di Terengganu dan Kelantan pada bulan Jun, maka calon-calon Parlimennya di Terengganu dan Kelantan juga dijangkakan akan menang pada bulan Ogos.

Sebab itu strategi lain PAS ialah meletakkan tujuh tokoh terkemukanya yang bukan merupakan anak Terengganu dan Kelantan menandingi kerusi-kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan bagi membolehkan PAS bersuara dengan lebih berkesan di dalam Parlimen.

Empat tokoh terkemuka PAS yang diletakkan bertanding, dan menang, di Kelantan ini ialah Othman Abdullah (Tanah Merah), Zulkiflee Muhammad (Bachok), Datuk Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) dan Ahmad Abdullah (Kota Bharu Hilir).

Tiga tokoh terkemuka PAS yang diletakkan bertanding, dan menang, di Terengganu ialah Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Hasan Adli Arshad (Kuala Terengganu Utara) dan Khadijah Mohd Sidek (Dungun) (kerusi Kuala Terengganu Selatan pula diberi kepada Datuk Onn Jaafar).

Kemenangan hanya 13 daripada 58 calon PAS (berbanding jumlah 104 kerusi keseluruhan) di dalam PRU 1, diikuti oleh penyatuan dengan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963, mengendurkan sedikit hasrat PAS untuk memerintah.

PRU 1986

Hasrat PAS untuk memerintah ini kembali bernyala sesudah PAS dikuasai oleh kepimpinan ulama’ bila Mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat pada 21 Januari 1986 memutuskan PAS akan “menandingi lebih daripada dua per tiga kerusi” di dalam PRU 7 pada tahun 1986.

Keputusan untuk “menandingi lebih daripada dua per tiga kerusi” yang dibuat pada 21 Januari 1986 ini bagaimanapun diubah menjadi hanya “menandingi lebih daripada satu per dua kerusi” oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 22 Januari 1986.

Penyertaan PAS di dalam PRU 7 ini pula adalah didasarkan kepada satu ketetapan yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 30 April dan 1 Mei 1983.

Ketetapan Dewan Pemuda PAS Pusat ini adalah berbunyi “bahawa Muktamar Tahunan PAS yang bersidang pada hari ini bersetuju supaya PAS mengambil langkah mengadakan program mendekatkan perjuangan PAS kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia”.

Dijuarai oleh Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, PAS menubuhkan Majlis Perunding Hal Ehwal Orang-Orang Cina atau “Chinese Consultative Council” (CCC) bagi mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam kepadanya melalui pelbagai simposium, dialog dan ceramah.

Usaha bagi mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam ini dipergiatkan lagi setelah Haji Yusof Rawa dan Datuk Fadzil Mohd Noor tertipu oleh ajakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertemu secara sulit di Seri Perdana pada 9 April 1986.

Dijuarai oleh Datuk Mohd Nakhaei Ahmad, PAS turut memeteraikan perisytiharan persefahaman bagi menubuhkan satu barisan pembangkang baru yang dikenali dengan nama Harakah Keadilan Rakyat bersama-sama NASMA, PSRM dan SDP pada 14 Julai 1986.

Dengan meletakkan kerusi yang jumlah pengundi Melayunya melebihi 30% sebagai sasaran, PAS pun meletakkan calon di 98 daripada 177 kerusi yang dipertandingkan di dalam PRU 7, berbanding 19 SDP, 4 NASMA dan 4 PSRM (bertembung sesama sendiri di lapan kerusi).

Malangnya, kemenangan hanya seorang calon PAS di dalam PRU 7 ini menyebabkan PAS mengkaji semula pendekatan politiknya dengan menurunkan bilangan kerusi yang ditandingi olehnya di dalam PRU-PRU seterusnya walaupun masih menyertai pakatan politik.

Setelah bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif, di dalam PRU 13 pada tahun 2013, PAS, yang bekerjasama dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, bertanding di 73 daripada 222 kerusi dan memenangi 21 daripada 73 kerusi ini.

PRU 2018

Kini, PAS tidak lagi di dalam Pakatan Harapan kerana, seperti ditegaskan oleh Datuk Seri Abdul Hadi pada 25 Mac 2017, “di dalam Pakatan Harapan ada parti dan pemimpin yang terus-menerus menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau opportunis”.

Penegasan sama juga dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Haji Hashim Jasin, pada 19 Januari 2017, bahawa PAS tidak boleh bersekongkol dengan Pakatan Harapan kerana “perbuatan menolak syariat dan menentang agama Allah juga suatu kemuncak dalam tindak kezaliman”.

Masa sama, Datuk Seri Abdul Hadi menegaskan betapa “PAS tidak boleh menyertai Barisan Nasional kerana pernah menyertainya dan terkini memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS”.

Begitu juga dengan Haji Hashim yang turut menyebut mengenai wujudnya “golongan pemerintah yang zalim, korup dan menindas rakyat” dan mengenai betapa “kita tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kezaliman, korupsi dan penindasan” di dalam negara ini.

Lalu, bila sudah sangat jelas pendirian PAS terhadap Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, yang diibaratkan seperti “biawak hidup” dan “biawak hidup yang lebih besar”, maka apakah perlu lagi dibuat tohmahan terhadap PAS sebagai pemakan dedak Barisan Nasional?

Sesungguhnya pengumuman Datuk Seri Abdul Hadi bahawa PAS “akan bertanding seboleh-bolehnya lebih daripada 130 kerusi Parlimen” adalah sangat selari dengan tuntutan masa, malah menyemarakkan kembali obor perjuangan PAS yang tidak pernah terpadam.

Keputusan “menandingi tidak kurang daripada satu per dua kerusi” bersama-sama pihak-pihak lain yang boleh menerima dasar perjuangan PAS di dalam Gagasan Sejahtera adalah satu langkah konkrit bagi membolehkan tuntutan perjuangan PAS akhirnya terlaksana.

Pimpinan PAS terdahulu mungkin telah gagal mencapai matlamat mereka di dalam PRU 1 dan PRU 7, tetapi sekali gagal tidak bermakna selamanya gagal, mungkin pendekatan berbeza, yang lebih sederhana, matang dan sejahtera, akan lebih membuahkan kejayaan.

Paling tidak, pimpinan PAS sentiasa mencuba dan berusaha, malah, seperti dinyatakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi pada 22 Disember 2017, “PAS boleh terus menjadi pembangkang yang menasihat dan berta’awun dengan ketua negara yang boleh menerima Islam”.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM)

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Dr Kamarul Yusoff.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Datuk Seri Abdul Hadi semarakkan kembali obor perjuangan PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian