ismakualaterengganu

Dekati pengundi muda dengan sentuhan peribadi alam maya

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Dekati golongan muda, yang akan menjadi kumpulan penentu dalam pilihan raya umum akan datang, b...

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Dekati golongan muda, yang akan menjadi kumpulan penentu dalam pilihan raya umum akan datang, bukan sahaja melalui sentuhan peribadi secara fizikal, bahkan juga di media sosial.

Itu pandangan mahasiswa nasional yang turut berpendapat sentuhan kerajaan mengenai isu atau dasar masih belum mencukupi khususnya di media sosial, sekali gus menyebabkan segelintir daripada golongan itu memilih untuk mempercayai dakyah dan propaganda pembangkang.

Siti Nor Azliza Ali, 20, berkata golongan muda hari ini lebih mudah tertarik kepada isu-isu yang disensasikan berbanding fakta sebenar dan sentuhan secara peribadi di media sosial dilihat satu daripada mekanisme yang mampu meraih semula sokongan kumpulan itu.

“Contohnya kerajaan beri Kad Siswa 1Malaysia…mereka tidak mahu mendengar bagaimana usaha kerajaan menghasilkan kad siswa itu tetapi mereka lebih suka mendengar bahawa kerajaan memberi kad ini semata-mata nak menawan hati pelajar.

“Inilah yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan untuk menjawab segala tohmahan yang berlegar di media sosial dengan segera secara sentuhan peribadi kerana golongan muda ini lebih mudah mempercayai maklumat pertama yang mereka terima,” katanya kepada Bernama di sini semalam. 

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengelak daripada melakukan kesilapan dan kelalaian yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas apabila parti menjadi mangsa politik persepsi dan pembohongan pembangkang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata pada PRU itu, pembangkang telah memainkan pelbagai berita palsu bagi memburukkan imej BN dan kerajaan di mata rakyat melalui apa yang dinamakannya sebagai ‘perang persepsi’.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan Universiti Malaya (UM) itu berkata meskipun hakikatnya kerajaan banyak memberikan insentif dan peluang kepada golongan muda untuk terlibat sama melakar hala tuju negara, namun kelewatan menjawab sesuatu isu akhirnya akan menenggelamkan usaha baik yang dilakukan.

Muhammad Haziq Shafe’ee, 21, berkata UMNO sebagai tunjang kepada kerajaan BN perlu bekerja keras memberikan penerangan sama ada melalui kaedah konvensional iaitu ceramah atau bersemuka, mahupun di alam maya seperti Twitter, Instagram, Facebook dan Tumblr, bagi menarik sokongan kumpulan muda khususnya atas pagar.

“Bagi meyakinkan golongan muda, kerajaan perlu memberi penerangan dengan lebih mendalam contohnya program untuk belia iaitu You Can Duit…program ini kalau ikutkan memang dah meluas…tapi apa yang saya lihat anak muda tak sambut bukan sebab anak muda tak mahu sebaliknya mereka tak tahu pun.
 
“Penting untuk kerajaan khusus kepimpinan sekarang turun padang dan berjumpa dengan anak-anak muda dan terangkan,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Muhammad Amaluddin Mahmood, 24, pula berkata dalam meraikan kecanggihan teknologi hari ini, belia juga perlulah bijak menilai kesahihan sesuatu informasi yang diterima dan tidak menerimanya secara bulat-bulat.

“Kita mestilah mengkaji dan menimbang tara kerana sesuatu maklumat yang kita dapat tak semestinya betul…jadi periksalah kesahihannya dahulu. Jangan kita dipengaruhi emosi yang akhirnya merugikan kita.

“Belia sebagai pemimpin masa hadapan haruslah lebih matang dalam menerima ledakan maklumat yang agak menggerunkan pada masa ini,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) Universiti Kuala Lumpur itu. – Bernama

 

The post Dekati pengundi muda dengan sentuhan peribadi alam maya appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 2450328837603872720

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item