Dua lelaki mengaku tidak bersalah sertai Abu Sayyaf, sembunyikan maklumat

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulawal 1439H, Isnin – Seorang lelaki dan adik iparnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan masing-masing menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas berkenaan.

Warga tempatan Hajar Abdul Mubin, 25, dan adik iparnya Abdul Syamir Dabilin, 25, rakyat Filipina, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu dipercayai antara 19 suspek yang ditahan sebelum ini dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama serangan itu didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengikut seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017.

Abdul Syamir pula didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berhubung kumpulan itu yang mana mereka terikat di sisi undang- undang untuk memberi maklumat tersebut di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Sofian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi.

Media sebelum ini melaporkan polis mematahkan rancangan kumpulan pengganas di negara ini yang dipercayai penyokong Daesh dalam cubaan melakukan serangan ketika upacara penutup KL2017 dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka. -Bernama

The post Dua lelaki mengaku tidak bersalah sertai Abu Sayyaf, sembunyikan maklumat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian