Enam individu ditahan menyamar jadi polis

SHAH ALAM, 18 Rabiulawal 1439H, Khamis – Polis Selangor menahan enam lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang memegang status penduduk tetap dalam beberapa serbuan bermula semalam hingga awal pagi ini, berhubung kes menyamar sebagai anggota polis dan menyamun sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata hasil risikan pihaknya, seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun diberkas di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

Katanya, soal siasat terhadap suspek itu membawa kepada penahanan empat lagi lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia di sekitar Sungai Buloh dan Segambut, Kuala Lumpur bermula malam tadi hingga pukul 4 pagi ini.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek pertama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau antaranya melibatkan jenayah kekerasan, dadah dan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 2015 manakala warga Indonesia itu pula dikehendaki polis bersabit kes dadah.

“Kesemua suspek berumur 20 hingga 30 tahun. Hubungan sama ada mereka rakan atau sebaliknya dan siapa yang mengepalai kegiatan samun itu masih disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidul Rasul di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya,kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu dua lagi individu yang turut disyaki terlibat dalam kes samun berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.50 pagi Isnin lepas, empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila digari dan rumah mereka digeledah oleh tiga penjenayah yang menyamar sebagai polis tetapi menyamun beberapa barangan antaranya telefon bimbit, komputer riba dan sebuah kereta Honda Insight. -Bernama

The post Enam individu ditahan menyamar jadi polis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian