Felda sahkan hilang tanah RM250 juta di Jalan Semarak

BANGI, 2 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengakui agensi tanah Persekutuan itu ‘hilang’ tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur apabila ia dipindah milik tanpa pengetahuan Felda, lapor Berita Harian.

“Saya tidak faham bagaimana tanah milik Felda boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (Felda),” katanya yang dilantik sebagai Pengerusi Felda, 6 Januari lalu menggantikan Tan Sri Isa Samad yang ditangkap dan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang mengakui agensi itu ‘kehilangan’ tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak Felda yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Akhbar itu melaporkan Shahrir sebagai berkata, keseluruhan kawasan milik Felda itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama Felda, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 yang keseluruhannya bernilai lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.

“Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama akhbar itu.


BERITA AWAL: Tanah Felda Di Jalan Semarak Dipindah Milik Secara Rahsia, Lapor Akhbar


Beliau mengesahkan tanah Felda bertukar tangan apabila akhbar itu menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.

Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi Felda.

Menurut akhbar itu, Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan Felda tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

“Lembaga Pengarah Felda terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu,” katanya.

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Terdahulu akhbar itu melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata:

“Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi.”

The post Felda sahkan hilang tanah RM250 juta di Jalan Semarak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian