I-Medik bantu mangsa banjir di Rantau Panjang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Pasukan sukarelawan diketuai Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) hari ini menjalankan Misi Banjir Kelantan 2017 bagi menyampaikan bantuan berbentuk makanan dan kesihatan kepada lebih 100 keluarga di jajahan Rantau Panjang.

Pasukan yang disertai 25 sukarelawan turut melibatkan kerjasama daripada Yayasan Ikhlas, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kelantan, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) dan Isma cawangan Kota Bharu.

Pengerusi I-Medik Kelantan merangkap ketua misi berkenaan, Dr Khairil Afif Mahmud berkata, bantuan yang disampaikan hari ini hanya tertumpu di beberapa buah kampung di Rantau Panjang.

“Hari ini kita di fasa membuat tinjauan keadaan banjir kerana dimaklumkan bahawa keadaan ini akan berlarutan sehingga akhir bulan ini.

“Ia ada lima gelombang banjir akan datang, dan ini adalah yang kedua. Misi ini juga mendapat kerjasam dengan pihak bomba negeri Kelantan dan Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain menyampaikan bantuan berbentuk makanan, Dr Khairil Afif berkata, lebih 100 keluarga terjejas banjir juga boleh mendapat pemeriksaan kesihatan menerusi klinik bergerak I-Medik.

Beliau berkata, lanjutan misi bantuan berkenaan akan diteruskan selepas melihat hasil tinjauan hari ini, dan bergantung dengan gelombang yang dijangka berlaku sepanjang bulan Disember.

“Kita juga merancang untuk meneruskan misi pasca banjir selepas gelombang berakhir untuk membantu mangsa membersih kediaman mereka. Namun setakat ini kita belum boleh melakukannya memandangkan gelombang seterusnya bakal berulang,” katanya.

Ditanya keadaan banjir di sana, Dr Khairil Afif berkata, setakat ini keadaan banjir di negeri itu khususnya jajahan Rantau Panjang masih terkawal.

“Tetapi ada beberapa jalan yang terpaksa ditutup kerana air naik sehingga ke paras lutut, dan ianya bahaya.

“Terkini juga sudah dua kes kematian disebabkan lemas. Apabila air surut, jalan raya juga berlubang. Infrastruktur di kawasan ini teruk selepas banjir.

“Sementara keadaan cuaca juga masih hujan setakat pagi ini, dan malam tadi juga hujan lebat dan angin kencang,” katanya.

The post I-Medik bantu mangsa banjir di Rantau Panjang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian