I-Medik dan Yayasan Pahang sasar banteras gejala rokok dan vape tahun depan

Oleh Shuhaimi Shaedon

Kuantan, 10 Dis. – Satu pertemuan telah diadakan di antara Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Pahang serta Yayasan Pahang baru-baru ini bagi membincangkan usahasama aktiviti pembangunan masyarakat yang lebih memfokuskan isu rokok dan vape di kalangan pelajar sekolah pada tahun hadapan.

Pengurus Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Airulamri Amran berkata, buat masa ini Yayasan Pahang ingin memberikan fokus kepada usaha membanteras gejala merokok di kalangan pelajar sekolah di sekitar Negeri Pahang.

“Sekiranya pelan tindakan tersebut berjaya dilaksanakan, ia boleh dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah di seluruh Negeri Pahang.

“Selain itu juga, terdapat empat lagi bidang yang diberi tumpuan oleh pihaknya kepada masyarakat iaitu bidang pendidikan, kebajikan, agama dan sukan,” tambah beliau.

Demikian menurut beliau ketika sesi pertemuan tersebut dijalankan di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, Unit Capaian Komuniti yang diketuai oleh Khairul Anuwar Abu Bakar selaku Pengurus Operasi Yayasan Pahang juga telah diberi mandat untuk merancang dan melaksanakan program-program di kalangan masyarakat Pahang sekitar empat keutamaan tersebut.

“Antara program yang berjaya dilaksanakan sebelum ini adalah Program Tafaqquh fiddin, iaitu kelas-kelas agama yang tersusun untuk seluruh ahli masyarakat yang berminat mempelajari agama tidak kira latar belakang sosial, ekonomi mahupun status secara sambilan.

“Sebelum ini Bahagian Operasi Yayasan Pahang juga berjaya bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dalam program mengurangkan kadar buta Al-Quran di kalangan pelajar sekolah melalui program khas.

“Daripada lebih 9000 pelajar yang tidak pandai membaca Al-Quran, ketika ini telah menurun kepada bilangan 3000 orang dalam masa hanya enam bulan,” ujar beliau lagi.

I-Medik yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif dalam memberi ceramah kesihatan tentang bahaya rokok dan vape di beberapa sekolah sebelum ini juga dijemput untuk bekerjasama dengan pihak Yayasan untuk melakukan Interventional Program agar perubahan yang lebih menyeluruh pada diri pelajar dapat dilakukan.

Menurut Setiausaha I-Medik Pahang, Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim, I-Medik Pahang sangat bersetuju dan berbesar hati di atas saranan kerjasama ini.

“Pihak kami tidak menafikan peranan ceramah bagi membina kesedaran dalam diri pelajar, namun usaha pemantauan dan pelaksanaan satu modul yang tersusun serta berterusan patut diadakan.

“Hal ini adalah supaya, para pelajar yang terbabit dengan gejala rokok tersebut dapat dikurangkan dan seterusnya mereka akan berhenti dari gejala negatif ini,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya yang terdiri daripada kalangan pengamal perubatan dan sains kesihatan melalui jaringan kerjasama bersama beberapa agensi di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuantan yang lain seperti Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) sebagai sukarelawan dan fasilatator mahasiswa, Kelab Remaja Isma (KRIM) sebagai capaian sekolah fokus serta Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia  (i-Guru) sebagai badan bertindak memperkasakan peranan guru akan bersama dalam merancang modul yang boleh diaplikasikan secara pilot study ini.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Nor Sundari, Naib Presiden I-Medik berkata, pihak I-Medik ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Bahagian Operasi Yayasan Pahang yang sudi mengadakan pertemuan ini.

“Semoga ia menjadi satu permulaan untuk usaha kerjasama yang bermanfaat kepada masyarakat pada ketika ini dan masa akan datang,” ujar beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Isma cawangan Kuantan.

Pertemuan dua mata bersama Yayasan Pahang ini telah diwakili oleh Dr Mohamad Nor Sundari, Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim dan Dr Zulhelmi Azmi selaku Ahli Jawatankuasa I-Medik Pahang, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh, Ketua Wanita Isma Kuantan dan wakil i-Guru, Muhammad Salman Kashfi, Pengerusi PEMBINA Pahang serta Mohamad Hafizuddin Che Muhammad, Ketua Pemuda Isma Kuantan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian