IMAMS: Kementerian cuai, tak buat kajian hanya fikir untung

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin – Tindakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memperkenal Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS), kemudiannya dibatalkan kerajaan, menunjukkan kementerian terbabit tidak membuat kajian terperinci sebelum melaksana sesuatu dasar. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, sepatutnya sebelum IMAMS diluluskan, kementerian perlu membuat kajian lengkap dengan mengkaji setiap sudut kebaikan dan keburukan. 

Ini kerana, ia melibatkan urusan ibadah haji dan umrah yang perlu dikendalikan dengan begitu cermat, sambil mengambil kira kepentingan umat Islam seluruhnya.

Malah, katanya, lebih menjengkelkan lagi apabila Timbalan Menteri Pelancongan, Mas Ermieyati Samsudin menyatakan tidak mengetahui bahawa IMAMS dikendalikan oleh syarikat bukan Islam. 

“Bagaimana seorang pemimpin bertaraf timbalan menteri tidak mengetahui latar belakang dan kenal pengendali sistem di bawah kementeriannya. 

“Ini menunjukkan bahawa beliau hanya seperti boneka yang dipergunakan oleh segelintir pihak bagi kepentingan mereka.

“Isu ini juga membuktikan IMAMS adalah produk kementerian yang dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga akhirnya terpaksa dibatalkan. 

“Mungkin juga kerana kecuaian kementerian pelancongan ataupun sandiwara menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan watak aksi ‘hero penyelamat negara’ muncul kembali di sebalik isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

IMAMS yang dikendalikan syarikat bukan Islam turut menjadi bantahan umat Islam kerana mengumumkan akan mengenakan kos tambahan RM90.10 termasuk RM5.10 dikenakan bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Mengulas perkara itu, Dr Riduan berkata, kerajaan begitu terdesak hendak mendapatkan duit sehinggakan dalam urusan ibadah pun kerajaan mengenakan caj kepada rakyat. 

“Dalam serba serbi keperluan rakyat akan dikenakan pelbagai kos tambahan yang membebankan. 

“Bagi kerajaan, alasan paling ampuh adalah kesemua caj yang dikenakan tidak membebankan rakyat, malah akan menguntungkan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan tidak perlu lagi menubuhkan banyak agensi, jawatankuasa, sistem dan dasar yang akhirnya tugas dan tanggungjawab saling bertindih antara satu sama lain.

“Kewujudan sistem Lesen Khas Umrah (LKU) yang dilancarkan Kementerian Pelancongan serta Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sudah mencukupi dalam usaha membendung penipuan pakej umrah. 

“Penubuhan MKSU pada Ogos 2014 sendiri begitu menyeluruh dengan merangkumi 13 agensi utama termasuklah TH, KPDNKK, PDRM, Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA, JAWHAR dan sebagainya. 

“Dengan banyaknya pihak yang terlibat dalam MKSU secara automatik ia berfungsi dalam memastikan pengendali urusan umrah benar-benar dibuat secara telus. 

“LKU yang ditubuhkan pada bulan Oktober 2017 pula memperkukuh peranan bagi mengelakkan peningkatan kes penipuan umrah ini,” katanya.

The post IMAMS: Kementerian cuai, tak buat kajian hanya fikir untung appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian