IMEC 2017: Fitrah wanita, feminisme, kesamarataan gender, aurat pramugari

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

Berikut adalah transkrip sidang media International Muslimah Empowerment Conference (IMEC) 2017 yang diadakan pada 16 Disember lepas di Bandar Baru Bangi. Sidang ini dihadiri Ketua Wanita Isma, Dr Norsaleha Mohd Salleh, Penaung Jawatankuasa Penganjur IMEC 2017, Dr Norzila Baharin dan Pengarah IMEC 2017, Norhidayah Ismail.

Ucapan aluan Dr Norsaleha:

Pada hari ini kita telah menganjurkan satu program utama bagi Wanita Isma iaitu International Muslimah Empowerment Conference (IMEC) yang kali ini penganjuran kali kedua. Penganjuran pertama adalah pada tahun 2015 yang mana jemputannya dari aktivis wanita luar negara, iaitu Zara Faris, dan juga beberapa aktivis Malaysia, bergabung dengan beberapa aktivis Wanita Isma sendiri, untuk memberikan penjelasan berkaitan hak-hak wanita dan juga apa sebenarnya kebebasan yang telah diberikan Islam kepada kaum wanita.

IMEC kedua ini kita menetapkan tema yang sedikit berbeza daripada IMEC pertama. IMEC 2.0 mengenengahkan kepelbagaian peranan wanita yang ada di dalam Islam yang kadang-kadang disalah faham oleh golongan yang sengaja mencari silap dan juga golongan yang sengaja nak menolak kebenaran yang ada di dalam Islam itu sendiri.

Kita cuba mengemukakan kepada masyarakat Malaysia khasnya dan dunia amnya mengenai sebenarnya Islam itu tidak pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan peranan-peranannya di dalam kehidupan. Kita sedia maklum Islam itu merangkumi aspek-aspek kehidupan, ada politik, pemerintahan, akhlak, ekonomi dan sebagainya. Di situlah juga sebenarnya penglibatan-penglibatan yang boleh dimainkan oleh kaum wanita.

Ketua Wanita Isma, Dr Norsaleha Mohd Salleh

Walaubagaimanapun kita tetap mengakui bahawa wanita ini ada fitrahnya yang tersendiri yang perlu kita hormat, yang perlu kita akur, yang perlu kita patuh kepada fitrah itu. Sebab apabila kita keluar daripada fitrah yang sebenarnya yang ada pada kaum wanita seperti mengandungkan anak, menjaga dan mengasuh anak, mengurus rumah tangga, ini semua fitrah yang sudah sedia ada dalam diri kita.

Apabila terkeluar daripada fitrah itulah, maka berlakulah kemungkinan perkara yang tidak kita suka, stress, tekanan dan sebagainya. Dalam kita melaksanakan tugas dan peranan yang pelbagai dalam kehidupan, dan kemampuan yang sedia ada pada diri kita, kita tidak lupa pada fitrah asal kita. Jadi barulah kita boleh mendapat kebahagiaan yang sebenar dan kita boleh mencapai apa yang dicapai dalam kehidupan.

Itulah yang sebenarnya yang saya cuba sampaikan kepada wanita-wanita di dalam persidangan dan juga mereka yang mengikuti siaran langsung persidangan.

Soalan wartawan: Bagaimana wanita Islam boleh mengekalkan identiti dalam kehidupan bersama masyarakat majmuk di Malaysia, bergaul dengan orang bukan Islam dan sebagainya?

Jawapan Dr Norsaleha: Ajaran yang terdapat dalam Islam sudah ‘well known’, semua orang tahu wanita Islam kena tutup aurat, jaga pergaulan, ada sifat malu, penyayang dan apabila sifat-sifat itu ada, wanita bukan Islam lebih tahu menjaga batas-batas pergaulan dengan wanita Islam. Contohnya, anak saya belajar di Jepun, satu-satunya anak Islam yang belajar dalam lingkungan orang bukan Islam, tapi rakan-rakan bukan Islam boleh hormat, tak bersalaman lelaki perempuan, tak bercampur dalam majlis, mereka menghormati. Jadi apatah lagi kita hidup di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk, selagi kita menghormati budaya dan juga pegangan agama lain, Buddha, Hindu dan sebagainya, saya percaya orang Cina, India, Buddha, Kristian juga menghormati dan perlu menghormati sama apa yang sepatutnya.

Apa yang berlaku dalam kes wanita Islam bekerja dan tidak dibenarkan memakai tudung berada di hadapan hotel, itu bukan kes yang boleh dijadikan kayu ukur, kita tak boleh kata wanita Islam kena ikut peraturan yang ditetapkan oleh majikan itu. Sebab, Malaysia adalah negara berperlembagaan, dan Perlembagaan Malaysia termaktub dalamnya bahawa Islam adalah agama persekutuan. Apabila ada klausa itu, mahu tidak mahu, majikan atau mana-mana badan yang berada dalam Malaysia perlu menghormati Perlembagaan tersebut, sebagaimana kita pergi negara orang, kita menghormati undang-undang negara itu. Jadi isu bagaimana kita nak menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk itu tidak timbul sebenarnya. Apabila wujud sifat menghormati budaya dan pegangan agama masing-masing.

Soalan wartawan: Dalam isu pramugari, ada pihak utarakan pandangan supaya aurat pramugari Islam perlu ditutup. Ertinya selama ini wanita Islam yang kerja pramugari setuju. Tak ada bantahan.

Jawapan Dr Norsaleha: Mana awak tahu? Apabila tak ada bantahan, maknanya setuju? Isu pramugari, sebenarnya bukan isu pramugari sahaja, di mana-mana sahaja, saya melihat dah berlaku anjakan. Kalau dulu jururawat, dulu pun tak pakai tudung. Jururawat dulu nak perjuangkan dapat pakai tudung itu satu perkara yang panjang. Bukan tidak ada suara yang melaungkan seruan bertudung bagi jururawat. Banyak bantahan, tapi sampai satu tahap, pihak pembuat polisi tak membenarkan. Akhirnya, mereka berjaya memperjuangkan hak untuk memakai tudung. Sebab nak bagi faham rakyat Malaysia terutamanya yang membuat polisi bahawa tudung itu adalah agama, nak bagi faham perkara ini, seolah sebelum ini mereka anggap tudung itu budaya. Mereka tak nampak tudung itu agama, sedangkan kita melihat tudung itu agama kita, identiti agama, syiar.

Begitulah juga kita nak bagi faham pengusaha syarikat penerbangan dan majikan lain yang telah membuat polisi pemakaian. Kalau nak kata tidak akan bantahan, ia tidak benar.

Dalam kes MH370, ketika saya ditemuramah oleh MobTV dalam isu ini, saya tekankan perkara sama. Syarikat penerbangan perlu mengubah polisi dari sudut pemakaian, jualan arak dan sebagainya, sebab kita hidup dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Pengarah IMEC 2017, Norhidayah Ismail

Jawapan Puan Norhidayah: Sekiranya kita melihat satu kajian yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat perundingan berkenaan pemasaran, marketing strategy, JWT (J Walter Thompson), mereka mengkaji wanita-wanita muslim di Asia Tenggara, dapatan mereka adalah 90 peratus daripada populasi yang mereka kaji, lebih memberi tumpuan kepada kepentingan Islam. Ertinya they are more religious as compared to their previous generation. Mereka ini lebih berpegang kuat kepada agama berbanding generasi ibu bapa atau nenek moyang mereka. Ini dapat dilihat dengan sikap lebih suka untuk memilih busana yang patuh syariah.

Dalam kajian mereka, sembilan daripada sepuluh wanita memilih perkara halal dalam aspek makanan, transaksi perbankan dan sebagainya. Kita dapat lihat generasi hari ini, yang lahir dari tahun 1980an hingga tahun 2000, mereka memilih untuk lebih taat kepada agama, jadi seharusnya mana-mana pengusaha, dia kena lebih peka dengan trend ini, yang mana pengguna lebih cenderung untuk pilihan yang lebih Islamik. Dalam isu syarikat penerbangan atau mana-mana syarikat yang tidak mengikuti perkembangan ini, bagi saya mereka sendiri yang akan rugi lambat laun. Adalah satu perkara yang baik sekiranya syarikat-syarikat ini mengikut kajian yang dilakukan supaya mereka sentiasa maklum mengenai pilihan muslimah secara keseluruhan.

Jawapan Dr Norzila: Masa kami bekerja di hospital, ketika itu tidak boleh tutup aurat dalam dewan bedah. Kami antara yang terawal cuba untuk mengadakan pakaian menutup aurat dalam dewan bedah. Asalnya pihak atasan berkata, menutup aurat mengganggu pekerjaan untuk membuat pembedahan. Akan tetapi, ternyata kami berjaya untuk memakai pakaian menutup aurat dalam dewan bedah dan mereka nampak kita boleh buat pembedahan itu, maka mereka mengatakan bahawa oh, tidak ada masalah.

Pada saya, mengekalkan identiti muslimah itu sendiri adalah suatu yang amat penting, sebab kita menjaga diri kita, menjaga pergaulan dan sebagainya, dan apabila kita berjumpa dengan orang luar negara, mereka sangat suka kalau kita mengekalkan tradisi kita ini. Pada dia, kita nampak sopan, nampak beradab dan berkahlak dan mereka suka wanita yang macam itu. Sebab di luar negara, jelas gejala sosial dan adab sopan hilang begitu sahaja. Apabila dia nampak kita macam itu, dia sangat suka dan menghormati kita.

Dari segi pemakaian tudung, saya dulu pernah menulis satu artikel mengenai pemakaian tudung oleh pramugari. Memang MAS, AirAsia dan penerbangan lain, memang ada pekerja mereka yang hendak memakai tudung, tetapi tidak dibenarkan sebab dikatakan bahawa undang-undang itu tidak terpakai pada syarikat-syarikat persendirian. Hanya terpakai pada jabatan kerajaan sahaja. Sebab itu, mereka masih lagi berjuang untuk mendapatkan pemakaian menutup aurat dalam penerbangan tapi setakat ini belum ada lagi tindakan. Kami sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang mengangkat isu ini dan berharap perkara ini akan berlaku.

Penaung Jawatankuasa Penganjur IMEC 2017, Dr Norzila Baharin

Soalan wartawan: Ada kebimbangan bahawa ideologi feminisme menular di kalangan pelajar luar negara, contohnya di UK, ada pertubuhan Malaysian Progressive Council yang dianggotai pelajar Malaysia, Melayu bertudung yang mengangkat feminisme. Soalan saya, bagaimana Isma cuba menangani masalah ini di kalangan pelajar luar negara?

Jawapan Dr Norsaleha: Isma sendiri mempunyai cawangan di luar negara yang bertujuan memelihara identiti dan jati diri anak-anak kita di luar negara. Mana-mana pelajar luar negara boleh attach dengan Isma dan kita boleh membantu mana-mana pelajar untuk mengekalkan identiti. Cabaran di luar negara adalah kelompok, atau persekitaran. Jika pelajar memilih persekitaran yang baik, ada kawan-kawan yang boleh membantu mereka, memberi sokongan, jadi apabila berhadapan cabaran-cabaran seumpama ini, diajak kawan-kawan masuk ke majlis bercampur lelaki perempuan, minum arak dan sebagainya, apabila berada dalam kelompok yang baik, kelompok itulah yang akan memberi sokongan, memberi kekuatan untuk mendepani cabaran. Sebab itu penting sebenarnya kita berada di luar negara ke, dalam negara ke, kita hidup dalam kelompok baik yang boleh saling membantu, menegur dan memberi nasihat kepada kita.

Soalan wartawan: Sejauh mana kesamarataan hak antara wanita dan lelaki dalam Islam?

Jawapan Dr Norsaleha: Kesamarataan ini kita boleh bahaskan dalam Islam, dalam aspek keadilan. Apabila disebut keadilan, adil itu maksudnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Allah SWT telah menciptakan lelaki dan perempuan, dua jantina berbeza. Jantina dah tak sama, nak sama rata macam mana. Sama rata sepatutnya dalam konteks ini bererti keadilan. Letakkan wanita pada tempatnya. Lelaki dengan biologinya, lelaki ada jenisnya, perempuan lain, tak sama dah. Apabila dah tak sama, apa nak disebutkan kesamarataan di sini.

Kesamarataan kalau nak dibahaskan sekalipun, dari sudut keadilan. Letakkan wanita dan lelaki pada tempatnya. Kalau biologi daripada awal sudah dicipta tak sama, orang lelaki mana boleh beranak. Orang lelaki tak ada rahim. Kejadian kita tak sama. Apabila kejadian tak sama, ia memberi kesan pada fungsi, peranan, tingkah laku, sikap, emosi, cara bercakap, memandang pun berbeza.

Dalam Islam, kesamarataan itu pada keadilan. Saya berpandukan satu ayat al-Quran, “Jangan kita saling berdengki dengan kelebihan yang Allah beri pada setiap daripada kita. Orang lelaki ada kerja dia dan ada habuan dia, perempuan ada fungsinya dan ada habuannya.” Nak dengki buat apa? Yang penting masuk syurga. Orang perempuan, ada rahim, nak tak nak dia kena mengandung, bersalin. Adakah itu kita kata sebagai hak asasi?

Dalam isu hak asasi, saya geram sungguh sebab apa? Apabila melibatkan agama, kita terlalu menekankan hak asasi. Saya nak kata, di jalan raya, cuba kita lawan arus jalan. Ikut suka saya, hak asasi saya. Tapi pandai pula kita patuh undang-undang jalan raya. Kita kata, kalau kita langgar, kita bahaya. Kemalangan, kena saman. Kita patuh, sebab risau disaman dan mahu menjaga keselamatan diri kita. Cuba kita fikir dalam agama, saman memang tak sampai terus, Allah tangguh di Akhirat. Cuba saman tu berlaku seperti umat terdahulu. Buat mungkar seperti kaum Luth, terus Allah terbalikkan bumi. Kerana ditangguh, kita tak nampak.

Kita hanya mahu melaksanakan tuntutan agama.

Jawapan Puan Norhidayah: Apa yang diperjuangkan feminisme adalah kesamarataan jantina, gender equality. Apabila disebut kesamarataan jantina, kayu ukur kepada kesamarataan itu adalah lelaki. Sedangkan dalam Islam, kayu ukur kesamarataan itu bukan lelaki. Standardnya ialah apa yang ada di sisi Tuhan. Macam apa yang berlaku, Amina Wadud, dia nak sama rata, jadi perempuan juga boleh jadi imam untuk solat, dan perempuan boleh duduk satu saf dengan lelaki. Bagi dia, kalau duduk sama tempat dengan lelaki, itulah kesamarataan. Itu satu falasi yang kita tengok, di mana dia menyatakan bahawa kesamarataan itu kedudukannya di sisi lelaki, sedangkan dalam islam kesamarataan itu di sisi Tuhan.

Dari awal lagi, kita tahu kerangka feminisme adalah menolak Tuhan. Standard bagi mereka adalah lelaki. Bagi kita, penilaian kita berbeza. Kalau kita tengok tahun 2016, ada satu laporan gender gap, sebuah laporan disediakan satu badan antarabangsa yang mengkaji isu kesamarataan jantina. Malaysia berada di tangga ke-106 daripada 144 negara, bahkan kita dikatakan lebih teruk daripada Rwanda, Bolivia dan negara yang kita rasa secara kasar, kita lagi bagus. Empat perkara sahaja yang dinilai. Kesamarataan dari segi politik, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Dalam laporan ini, Malaysia bermasalah dalam dua perkara, penyertaan wanita dalam politik, dan ekonomi. Tapi ada banyak kelompongan dalam laporan ini yang tidak diambil kira. Contohnya, tidak ada bilangan sama rata bilangan penyertaan wanita dalam politik. Adakah dengan penyertaan lebih ramai wanita di Parlimen, ia akan menterjemahkan kepada politik yang sihat? Tidak. Contohnya Bolivia dan Rwanda, dua negara yang mempunyai penyertaan wanita lebih 50 peratus, tetapi pengeluaran kasar negara (GDP) lebih rendah berbanding Malaysia.

Bahkan Pakistan yang mempunyai perdana menteri wanita, adakah ia lebih baik daripada Malaysia? Tidak. Jadi laporan ini ada kelompongan dan kekurangan. Begitu juga penyertaan wanita dalam ekonomi, dia kata nak 50 peratus wanita bekerja, Kalau work force itu, 100 peratus, mereka nak 50 peratus adalah perempuan. Adakah dia menginginkan 50 peratus lagi berada di rumah? Jadi kesamarataan bagaimanakah yang mereka mahukan. Adakah sampai begitu sekali?

Berkenaan ekonomi, ada beberapa negara lain seperti Laos dan Cambodia yang lebih ramai wanita dalam pasaran pekerja, lebih ramai wanita bekerja berbanding lelaki. Jadi apabila kita tengok Laos dan Cambodia, adakah ekonomi mereka lebih baik daripada Malaysia? Tidak juga. Jadi itulah kelompongan yang laporan ini tidak fokus. Mereka melihat dari segi kuantiti, tapi gagal melihat dari segi apakah hasil kesamarataan yang mereka inginkan.

Bagi kita, perjuangan feminisme tidak valid bagi orang yang memahami Islam seperti kita.

Jawapan Dr Norsaleha: Feminisme ini mengurangkan kredibiliti kaum lelaki. Secara tidak langsung, sama ada agenda mereka tersusun dari atas turun ke bawah menyebabkan berlaku isu pengurangan kredibiliti, sama ada di sekolah, universiti, di tempat kerja dan sebagainya. Mungkin ada perkara menyebabkan kaum lelaki tak boleh nak masuk, sedangkan lelaki mempunyai kekuatan, psikomotor yang kuat tapi kalau sistem pendidikan sendiri seolah-olah, banyak memberikan ruang dan peluang yang lebih kepada penonjolan kaum perempuan.

Bukan bererti kaum lelaki tak boleh sebenarnya, tetapi tidak sesuai dengan fitrah dan fungsi dan biologi yang ada, maka mereka tidak boleh nak menyesuaikan diri dengan sistem tersebut. Jadi kemungkinan itu juga sebahagian daripada cabaran bagi kita nak mengembalikan balik kaum lelaki kepada qawwam, sebab Allah kata lelaki itu qawwam, lelaki itu tonggak, tapi seolah-olah tonggak yang kita harapkan itu semakin longgar, jadi sistem yang ada sebenarnya tidak menyokong untuk membentuk lelaki mempunyai ciri-ciri qawwam.

The post IMEC 2017: Fitrah wanita, feminisme, kesamarataan gender, aurat pramugari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian