IMEC 2017 jawab salah faham kedudukan wanita dalam Islam, tamadun dunia
Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin
BANGI, 27 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Buat kali kedua, Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menganjurkan persidangan antarabangsa membincangkan isu-isu berkaitan wanita hari ini.
Bertempat di sebuah hotel di sini, International Muslimah Empowerment Conference (IMEC) yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, menampilkan beberapa tokoh wanita yang akan mengupas tema ‘Meraikan kepelbagaian peranan wanita dalam Islam’ (Celebrating dimensions of womanhood in Islam).
Ketua Wanita Isma, Dr Norsalehah Mohd Salleh dalam ucapan aluan di buku program berkata, IMEC 2017 akan mengupas sejarah wanita dalam pelbagai tamadun dunia dan menjawab persoalan bagaimanakah kedatangan Islam membawa nafas baru yang dapat membaiki keadaan wanita secara keseluruhan.
“IMEC 2017 juga akan mengupas persoalan adakah feminisme sebuah gerakan yang membantu wanita atau sebenarnya sekadar satu alat menguntungkan kapitalisme,” katanya.
Katanya lagi, menerusi persidangan yang dihadiri kira-kira 250 peserta ini, Wanita Isma akan mempamerkan betapa Islam sangat memuliakan wanita dan wanita turut mempunyai ruang dan peluang untuk berbakti kepada masyarakat, agama dan negara.
Pengarah program, Norhidayah Ismail pula berkata, IMEC 2017 akan menjelaskan kekeliruan dan persepsi negatif yang sengaja ditimbulkan oleh media Barat.
“Saya berharap persidangan ini akan membantu menjelaskan salah faham terhadap Islam, wanita Islam dan hak mereka,” katanya.
Antara tokoh wanita yang akan berucap adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Elmira Akhmetova, Ketua Wanita Isma Dungun, Dr Nur Fatiha Kamarzaman, aktivis Institut Kepimpinan Zaaba (ZIL), Rasyidah Arshad dan graduan Sarjana Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustazah Nur Fatin Halil.
The post IMEC 2017 jawab salah faham kedudukan wanita dalam Islam, tamadun dunia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan