Individu sihat tak perlu ambil suplemen kesihatan

ALOR SETAR, 5 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Individu yang sihat tubuh badan dan tiada sebarang masalah kesihatan tidak perlu mengambil makanan tambahan kesihatan (suplemen), kata Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Khairul Nizam Mat Nayan berkata, individu yang sihat jangan sesekali mengambil makanan tambahan itu untuk penjagaan kesihatan berdasarkan diagnosis sendiri semata-mata tanpa mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar terlebih dahulu.

Beliau menarik perhatian bahawa pengambilan makanan tambahan itu yang berlebihan sememangnya tidak memudaratkan kesihatan dalam tempoh jangka pendek, namun dikhuatiri boleh merosakkan organ dalaman bagi jangka panjang.

“Contohnya pengambilan vitamin larut lemak seperti A, D, E, K yang berlebihan akan memberikan kesan kepada hati. Sungguh pun vitamin-vitamin ini diperlukan oleh tubuh badan, tetapi ia sebenarnya boleh didapati dengan mudah dan mencukupi daripada makanan semula jadi yang dimakan.

“Sekiranya kita terlalu berlebihan mengambil vitamin tambahan ini, ia akan terkumpul di hati yang lama-kelamaan akan menjadi toksin sehingga menjejaskan fungsi hati,” katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya di HSB baru-baru ini.

Khairul Nizam berkata demikian bagi mengulas kesan lambakan produk makanan tambahan untuk kesihatan dan kecantikan yang dijual secara dalam talian dengan keberkesanan produk itu kebanyakannya hanya berdasarkan testimoni pembeli semata-mata yang mengatakan produk tersebut bagus tanpa bukti saintifik kukuh.

Bernama memetik status dalam Facebook milik Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Dr Rafidah Abdullah berkata: “Berlambak di wad yang buah pinggangnya lagi cepat rosak sebab produk macam-macam. Pesakit kronik mohon JANGAN SENTUH produk apa pun!”.

Berkongsi pendapat sama, Khairul Nizam berkata pengambilan makanan tambahan itu secara berlebihan juga boleh membebankan fungsi buah pinggang sekali gus boleh menyebabkan kerosakan organ berkenaan.

“Kebiasaannya suplemen larut air seperti vitamin C dan B yang berlebihan tidak memberikan kesan kerana ia akan dibuang melalui air kencing, tetapi dalam jangka panjang tetap akan terdapat kesan sampingan kerana membebankan buah pinggang dalam memproses vitamin ini untuk dibuang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pesakit buah pinggang tidak boleh sama sekali mengambil sebarang makanan tambahan yang dijual di pasaran sesuka hati selepas terpengaruh dengan testimoni orang lain melainkan hanya memakan ubat daripada hospital yang dipantau pakar perubatan.

“Jangan mudah percaya dengan testimoni orang lain terhadap keberkesanan sesuatu produk. Bagi pesakit buah pinggang lagilah kena titikberatkan tentang kesan buruk mengamalkan suplemen kerana untuk mengelak daripada keadaan mereka bertambah teruk. Buah pinggang telah pun rosak, jangan bebankan lagi buah pinggang kita dengan bahan luar yang bukan-bukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Pegawai Dietetik itu berkata Kementerian Kesihatan menyarankan pengambilan makanan sihat menerusi ‘Malaysian Dietary Guidelines 2010’ yang menggariskan 14 mesej penting dengan salah satu mesej ditekankan adalah mengambil pelbagai jenis makanan mengikut piramid makanan.

Khairul Nizam berkata, individu yang sihat tubuh badan sudah memadai mengamalkan pemakanan seimbang daripada makanan semula jadi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta ikan untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

Beliau berkata, makanan tambahan kesihatan tidak boleh mengambil alih peranan dan fungsi kepelbagaian makanan yang penting bagi tubuh badan manusia kerana ia tidak membekalkan zat dan komponen penting yang lengkap seperti yang terdapat dalam makanan semula jadi.

Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa golongan tertentu sahaja yang memerlukan makanan tambahan itu dengan pemantauan daripada pakar perubatan seperti ibu mengandung, warga emas, kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran dan pesakit terlantar dalam jangka masa lama.

“Jika tubuh benar-benar memerlukan makanan tambahan, lebih digalakkan untuk memilih suplemen yang terhasil daripada bahan organik dan semula jadi yang tiada tambahan bahan kimia selain halal.

“Selagi suplemen tersebut tidak melebihi dos dan mengikut kepada keperluan nutrisi harian kita, ia tidak menjadi masalah. Sebaliknya jika diambil melebihi dos ditetapkan, kemungkinan ia menyebabkan keracunan pada tubuh.

“Jadi, pastikan mendapat nasihat daripada pakar sebelum mengambil sesuatu makanan tambahan, dan paling penting pastikan suplemen
tersebut diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. Jangan terlalu obses dengan sesuatu produk yang kita tidak ketahui kandungan nutrisi
produk itu,” katanya. -Bernama

The post Individu sihat tak perlu ambil suplemen kesihatan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian