Isu Ateis: Jangan kerana taksub, kita diperbodohkan

SAYA dah lama perhatikan YB Khalid Samad (Shah Alam) dan YB Hanipa (Sepang) dan mula rasa terlalu meluat sejak perbahasan RUU355 dulu, seterusnya semasa perbahasan Bajet 2018 dan kemuncaknya pada Sidang Parlimen baru-baru ini.

Sampailah baru-baru ini, apabila timbulnya isu ateisme ini, memang membuatkan saya menepuk kepala dan menggelegak darah.

Perbincangan berkaitan isu ateis ini sudah menyimpang terlalu jauh. Tidak hairan juga kerana duo sejati YB Sepang dan YB Shah Alam ini memang suka mengalihkan, mempolitikkan, memperbesarkan sesuatu isu dan berpusing-pusing yang akhirnya tidak membuahkan apa-apa kebaikan langsung kepada umat, malah mengundang pergaduhan dan ketegangan yang tidak patut berlaku. Malulah sebab mereka dakwa yang mereka ini anggota sebuah ‘parti Islam yang progresif’. Bukan sahaja jauh daripada konsep politik Islam malah jauh sekali daripada progresif kerana mereka selalu berjalan mengundur ke belakang.

Perbincangan berkenaan ateisme ini bermula apabila YB Kota Raja, Dr Mariah Mahmud meminta supaya dinyatakan sejauh manakah gejala ateis ini berkembang dalam negara ini.

Beliau juga menyatakan kerisauannya kerana kebanyakan muka-muka yang terlibat dalam gerakan ateis adalah anak-anak Melayu dan orang muda. Beliau mengakui bahawa kehadiran mereka sebagai ancaman kepada masyarakat apabila golongan ini semakin agresif menyerang di media-media sosial. Oleh itu, beliau meminta timbalan menteri menyatakan tindakan-tindakan khusus yang dilakukan oleh kerajaan untuk membendung gejala ini.

Alhamdulillah, syukur kerana persoalan yang diajukan bersifat ikhlas dan sangat prihatin akan keadaan umat yang parah. Persoalan tersebut dijawab oleh Dr Asyraf Wajdi dengan komprehensif dan jelas. Beliau menekankan bahawa tidak beragama adalah ‘unconstitutional‘ seperti apa yang termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Malaysia dan ia juga bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang pertama.

Tatkala isu ini dengan aman dan tenang dibincangkan, bangun pula YB Shah Alam untuk mencelah memberi pendapat.

Beliau menyatakan, “punca kepada pemikiran ateis itu ialah apabila mereka melihat Islam bagi orang yang beragama Islam tidak mendatangkan keadilan. Hanya cakap ‘lip service‘ tetapi dari segi amalan dan tindakan jauh bercanggah. Ini menyebabkan mereka memikirkan bahawa agama adalah alat pemerintah.”

Memang seperti dijangka, apa jua yang diperkatakan oleh beliau hanyalah merapu dan berniat untuk mencetuskan provokasi. Ya, Dewan Rakyat menjadi gamat dan riuh.

“… lalu kalau kita hendak lawan ateism, fahaman Ateis ini orang Islam kena ikhlas dalam agama mereka. Bersuara menentang yang zalim, menolak rasuah, menolak penyelewengan, tuntut pemerintah telus dalam kes 1MDB barulah orang nampak…. Wah! Agama ini power.”

Saya sudah menjangkakan juga, apa sahaja perbahasan isu yang beliau turut serta, mesti akan mengaitkan dengan 1MDB. Inilah yang saya katakan tadi sebagai golongan yang jalan ke belakang. Manakah bukti atau ‘correlation‘ walaupun kecil sekalipun yang menghubungkan 1MDB dan Ateisme? Ya, beliau ada cakap yang beliau ‘cakap umum’ sahaja tetapi masih, apa kaitannya dengan isu ini? Saya bukanlah penyokong 1MDB, tetapi tidaklah pula bebal sangat.

Dewan pun menjadi gamat dan kecoh semula. Perbahasan atas persoalan asal pun tidak dapat berlaku dengan baik. Maka, penyelesaian kepada isu tidak juga dapat dibuahkan. Ini isu umat Islam, berkaitan dengan akidah. Kenapa ingin kacau apabila ada hati-hati yang murni ingin duduk secara aman untuk menyelesaikannya?

Kemudian, tidak cukup membuat kacau pada hari itu, pada Sidang Parlimen yang lainnya pula, ketika Parlimen sedang membahaskan isu berkaitan dengan FINAS, YB Sepang pula bangun. Entah bagaimana boleh masuk semula isu ateis ini. Saya kagum sangat kerana beliau bijak mencari peluang dan otaknya sangat bergeliga.

Dari situlah isu ateisme yang tidak habis dibahaskan sebelum ini bersambung. Tetapi kali ini YB Sepang pula yang ingin menjadi hero. Beliau mempertikaikan apa yang diperkatakan oleh Dr Asyraf Wajdi berkenaan ateisme ialah ‘unconstitional‘. Beliau mengatakan hak untuk menganut ateisme ini terjamin oleh Perlembagaan atas prinsip ‘freedom of religion‘.

Kemudian duo sejatinya, YB Shah Alam pula mencelah dengan angkuhnya seraya berkata:

“Ini persoalan kepercayaan lah kan. Kalau orang tidak percaya, kita tidak boleh paksa dia percaya. Kalau orang tidak percaya Islam itu adalah agama yang sebenar, kita tidak boleh paksa dia percaya Islam itu agama sebenar. Dia percaya kepada Kristian kah, dia percaya kepada Hindu kah, dia percaya kepada Buddha kah. Itu kepercayaan, keyakinan.”

Memang terkejut saya mendengar apabila beliau menyebut “Kalau orang tidak percaya Islam itu adalah agama yang sebenar, kita tidak boleh paksa dia percaya Islam itu agama sebenar”. Persoalan yang bermain dalam fikiran saya, adakah beliau menghalalkan murtad? Kalau beliau merujuk kepada penganut agama lain yang tidak mempercayai agama Islam pun tidak logik juga kerana isu asal yang telah dibincangkan ialah penularan gejala ateisme dalam kalangan anak-anak muda Melayu Islam.

YB Sepang pula menyambung untuk membuktikan kenyataan Dr Asyraf Wajdi tempoh hari ialah salah sehinggalah beliau menegaskan, “saya rasa ateisme ini is duly protected by Article 11 of Federal Constitution” dan akhirnya sidang berhenti untuk berehat. Sekali lagi, perbahasan isu asal terencat.

Kenyataan YB Sepang itu telah viral di media sosial dan mendapat respon yang sangat negatif oleh netizens. Rentetan itu, page rasmi Parti Amanah Negara mengeluarkan kenyataan sebagai respon dan untuk ‘membersihkan’ segala tohmahan.

“Jika ateisme tidak ditafsirkan menurut undang-undang sebagai agama, maka golongan ateis boleh bebas menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam kerana tidak tertakluk dengan halangan Perlembagaan yang menghalang penganut agama lain menyebarkan fahaman mereka kepada orang Islam,” merujuk kepada Artikel 11.

Sebaik sahaja saya membaca frasa ini, saya terus membuka Perkara 11 Perlembagaan Malaysia dan membacanya untuk tabayyun. Apa yang menarik dalam artikel ini ialah pada fasal 4 iaitu:

“Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa DOKTRIN atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Bukankah ATEISME itu satu DOKTRIN? Tidak cukup jelas lagikah fasal 4 ini untuk membendung ateisme?

Menggunakan logik mereka, kalau ateisme perlu dilindungi sedemikian rupa, apa bezanya dengan Syiah dan seumpama dengannya?

Apabila difikir-fikirkan, memang benarlah mereka sudah mati akal untuk mencari justifikasi kepada kenyataan-kenyataan mengarut Ahli Parlimen mereka itu sehingga terlondeh segala kebebalan yang ada.

Akhir sekali, jangan dilupa bahawa yang mengajukan persoalan berkenaan isu ateisme ini ialah YB Kota Raja. Kenapa beliau mendiamkan diri apabila rakan-rakan separtinya sendiri yang telah menganggu dan menghalang beliau daripada mendapatkan jawapan terhadap persoalan beliau? Tidakkah beliau rasa sakit hati? Fikir-fikirkanlah.

IMRAN HARITH BIN AZMY

The post Isu Ateis: Jangan kerana taksub, kita diperbodohkan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian