Jabatan Kesihatan Kelantan rampas produk kesihatan tidak berdaftar

KOTA BHARU, 17 Rabiulawal 1439H, Rabu – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas 6,864 botol produk kesihatan untuk pesakit kencing manis bernilai RM1,235,532 selepas dikenal pasti tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dalam serbuan di sebuah kilang di sini pada 20 November lepas.

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata rampasan dilakukan menerusi ‘Ops Ghost’ oleh Cawangan Penguat Kuasa Farmasi hasil maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan sejak awal tahun ini.

“Hasil serbuan mendapati premis terbabit melakukan aktiviti pengilangan sejenis produk kesihatan untuk pesakit kencing manis yang dijual pada harga RM180 sebotol. Selain tidak berdaftar dengan kementerian, hologram produk yang didakwa menggunakan ekstrak epal itu juga mempunyai logo MeSTI palsu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Dr Ahmad Razin berkata, kesemua produk itu dirampas dan disimpan di cawangan tersebut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana kesalahan mengilang produk tidak berdaftar.

Katanya pemilik kilang boleh didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
​​​​​​​
Sementara itu, Dr Ahmad Razin berkata produk kesihatan yang dihasilkan di kilang yang tidak mempunyai pensijilan Amalan Perkilangan Baik (APB) adalah diragui keselamatan dan kualitinya selain berisiko memudaratkan pengguna.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kewujudan produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan di pasaran kerana dibimbangi akan memudaratkan kesihatan pengguna.

“Dalam kes ini misalnya, pesakit mungkin tidak meneruskan rawatan pengambilan ubat kencing manis yang dibekalkan hospital kerajaan dan ini akan memungkinkan pelbagai risiko lain berlaku dalam satu tempoh tertentu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan ubat di pasaran dan memastikan membeli produk kesihatan yang lulus kementerian itu bagi mengelak pelbagai risiko dan kesan sampingan lain. -Bernama

The post Jabatan Kesihatan Kelantan rampas produk kesihatan tidak berdaftar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian