Jangan nafikan peranan guru dalam pembentukan moral anak-anak

Kes guru disiplin Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di Nilai, Cikgu Azizan yang didakwa oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 31 Oktober 2017, di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas pertuduhan mencederakan seorang murid Tahun Lima dengan sengaja di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu amat menghibakan kita dalam falsafah pendidikan dan dalam hubungan antara guru dan ibu bapa dalam membentuk syakhsiyah anak bangsa.

Menurut dakwaan, Cikgu Azizan menampar murid berusia 11 tahun itu yang dikatakan melakukan kesalahan disiplin berat berulang termasuk menghidu gam, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah. Hari ini, beliau dilepaskan tanpa dibebaskan.

Sebelum kita berasa selesa menuding jari kepada mana-mana pihak, adalah baik kita melihat fenomena yang lebih besar, iaitu masalah penagihan dadah dikalangan anak-anak kita.

Dalam statistik terbaru tentang penyalahgunaan dadah di Malaysia, dianggarkan bilangan penagih dadah di Malaysia akan meningkat kepada 3 juta menjelang tahun 2020.

Tambah membimbangkan, kes-kes yang dilaporkan media dari tahun 2015 ke atas turut membabitkan remaja berusia 13 tahun ke bawah.

Pada 19 Ogos lalu, kita dikejutkan dengan kejadian 2 remaja yang terjatuh dari bangunan setinggi 8 tingkat, selepas mereka dipercayai khayal kerana menghidu gam, di Kompleks Api Api, Kota Kinabalu, Sabah. Seorang daripada mereka meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala.

Menghidu gam adalah satu bentuk penyalahgunaan dadah yang melibatkan kanak – kanak yang lebih muda, kerana gam mudah diperolehi. Persatuan Kebajikan Pendidikan Kanak-Kanak Miskin, Lahad Datu dan Semporna, Sabah (PKPKM) misalnya melaporkan ada kanak-kanak semuda 3 atau 4 tahun di kalangan Bajau Laut yang terlibat dalam menghidu gam. Sebelum itu, tindakan sekumpulan remaja dan kanak-kanak menghidu gam di atas bumbung rumah kedai juga menjadi viral dikalangan netizens.

Apa yang lebih merisaukan ialah kajian penyelidik dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA tentang persepsi remaja terhadap dadah mendapati lebih 30% pelajar merasakan bahawa ibubapa mereka tidak menganggap menghidu gam, minum arak atau merokok sebagai satu kesalahan.

Ibubapa harus memainkan peranan penting dalam memantau anak – anak dalam hal penyalahgunaan dadah. Lebih daripada itu, ibubapa harus menyediakan persekitaran yang baik untuk anak-anak, kerana penyalahgunaan dadah juga berpunca daripada anak-anak yang tertekan dengan keadaan keluarga.

Latar belakang ini membawa kita kepada persoalan adakah wajar guru dipersalahkan atas tindakan mendisiplinkan pelajar dalam masalah serius melibatkan penyalahgunaan dadah? Lebih-lebih lagi kes ini melibatkan pendakwaan di mahkamah, sedangkan ada cara yang lebih harmoni menyelesaikan isu ini di luar mahkamah.

Cendekiawan telah merumuskan, rumah adalah sekolah pertama anak – anak, dan ibubapa merupakan guru pertama. Sekolah rasmi yang dihadiri oleh anak-anak, adalah sekolah kedua mereka dan guru – guru yang mengajar mereka, adalah guru kehidupan kedua. Masyarakat adalah sekolah ketiga mereka, dan seluruh masyarakat adalah guru anak anak kita.

Kes cikgu Azizan, jika diteruskan pendakwaan di mahkamah, dikhuatiri menjadi suatu petanda aras baru betapa kita telah menghilangkan fungsi guru dalam pembentukan moral anak – anak. Adakah masyarakat kita cukup ampuh untuk membentuk anak – anak, tanpa figura ibubapa, dan kini guru dalam mendidik mereka?

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden
The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)
WAFIQ adalah ahli gabungan The Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA)

The post Jangan nafikan peranan guru dalam pembentukan moral anak-anak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian