Kata Pedang: Pemimpin negara OIC pengecut

PERTUBUHAN Kerjasama Islam (OIC) telah membuat keputusan semalam – mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin – tindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS) yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Pada masa sama, pertubuhan kedua terbesar dianggotai negara-negara dunia selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga, turut menggesa anggotanya mengenakan sekatan ekonomi dan politik ke atas negara, kakitangannya, Parlimen, syarikat dan individu yang mengiktiraf pencerobohan Israel ke atas Baitulmaqdis, atau terbabit dalam apa juga bentuk serta langkah yang bertujuan mengekalkan penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah-wilayah Palestin.

Mereka turut menggesa mana-mana negara yang belum mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara supaya segera berbuat demikian, supaya konflik Palestin-Israel dapat diselesaikan dengan pembentukan dua negara.

Malaysia turut menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke sidang kemuncak luar biasa itu yang khusus membincangkan mengenai pengiktirafan Amerika Syarikat menjadikan al-Quds atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Memang benar keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak semalam, mengangkat nama OIC sebagai pembela bumi yang menempatkan masjid suci ketiga umat Islam – Masjid Al-Aqsa – serta mempertahankan Palestin.

Benar juga, tragedi bagi rakyat Palestin ialah apabila negara dan tanah tumpah darah mereka diberikan oleh kuasa asing kepada orang lain untuk diwujudkan negara baharu. Dan, ia berulang apabila satu kuasa lain ‘menghadiahkan’ Baitulmaqdis kepada satu kuasa lain.

Akibatnya, ratusan ribu manusia tidak bersalah menjadi gelandangan dan sehari demi sehari, akibat konflik berterusan, jumlah mereka semakin bertambah. Berapa lama lagi dunia sanggup bertahan dengan kekejaman ini?

Sesetengah pihak melihat keputusan OIC pada sidang kemuncak luar biasa semalam, dengan mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan mengajak dikenakan sekatan ekonomi serta politik, adalah tindakan sangat hebat.

Tapi Pedang melihatnya sebagai kegagalan di kalangan 57 pemimpin dunia Islam untuk mengambil satu tindakan drastik, bukan saja mengenakan sekatan ekonomi dan politik, malah menggantung sementara hubungan dengan AS dan Israel, jika tidak memutuskannya sekali pun.

Ketika mengulas perisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, pemimpin dunia Islam yang hadir pada sidang kemuncak itu hanya mengulangi kecaman yang dibuat sebaik Donald Trump mengumumkan langkah Washington.

Mengecam dan mengutuk hanya dengan perbezaan perkataan tidak membawa makna apa-apa kepada sidang kemuncak luar biasa tajaan Turki.

Malah, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap pembela kuat Palestin ketika berucap pada perhimpunan itu, hanya mengulangi kecaman dan menyifatkan tindakan AS sebagai provokasi terhadap umat Islam, manakala Israel dikatakannya sebagai negara keganasan dan penceroboh.

Sedangkan, ketika desas-desus Trump akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, Erdogan telah memberi amaran awal akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel jika Trump berbuat demikian. Di mana amaran itu sekarang?

Demikian juga pemimpin lain yang hadir pada sidang kemuncak itu. Mereka hanya mampu membuat kecaman, retorik terhadap AS dan Israel. Mereka menggesa dikenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap semua pihak yang menyokong langkah AS dan Israel.

Ya! Kita menyahut juga seruan mereka, malah sebelum mereka membuat gesaan itu pun sudah ada di kalangan umat Islam, seperti di Malaysia yang menularkan pelbagai barang, jenama dan syarikat yang dikatakan milik Amerika serta Yahudi, untuk diboikot.

Namun, mampukah segala tindakan itu menghalang kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin. Sejak, Khamis lalu sudah enam warga Palestin terbunuh, kira-kira 1,500 lagi cedera dan lebih 500 ditangkap apabila askar rejim itu bertindak terhadap penunjuk perasaan.

Sebab itu Pedang kata, pemimpin-pemimpin negara Islam yang hadir pada sidang kemuncak OIC semalam gagal mencapai keputusan drastik sebagai tindak balas terhadap AS dan Israel. Mereka hanya berani bercakap, tetapi takut bertindak tegas.

Sama ada pemimpin Malaysia juga hanya berani bercakap, sama-sama kita lihat adakah Najib akan membatalkan janji yang dibuatnya ketika bertemu Trump di White House, September lalu, sebagaimana yang diminta oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

GPS baru-baru ini menggesa Perdana Menteri membatalkan tiga janji Malaysia, sebagai membantah tindakan AS mengisytiharkan Baitulmaqdis ibu negara Israel.

Dalam lawatan ke AS pada 11 hingga 13 September lalu, rakyat dikejutkan dengan tiga janji Najib, kononnya untuk membantu mengukuhkan ekonomi negara penyokong kuat rejim Zionis Israel itu.

Tiga janji Najib ialah:

1) Pembelian pesawat Boeing bagi kegunaan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu membeli 25 pesawat 737 MAX 10, dan lapan 787 Dreamliners. Serta kemungkinan untuk menambah 25 lagi 737 MAX 10 pada masa hadapan yang keseluruhannya dijangka bernilai AS$10 bilion (RM40.8 bilion);

2) Meningkatkan pelaburan melalui pegangan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sehingga kini sudah pun melabur sebanyak AS$7 billion (RM28.56 bilion) dalam pegangan ekuiti, serta berhasrat untuk menambah AS$3 bilion (RM12.24 bilion) hingga AS$4 bilion (RM16.32 bilion) lagi bagi tujuan pembangunan semula infrastruktur AS; dan

3) Khazanah Nasional Berhad, yang memiliki pejabat di Lembah Silikon dan telah melabur sebanyak AS$400 juta (RM1.632 bilion) dalam syarikat teknologi tinggi, akan menambah lagi pelaburannya di AS.

Adakah Najib berani membatalkan janjinya dengan Trump? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Kata Pedang: Beritahu saudara-saudara kita di Palestin – bersabarlah dan teruskan perjuangan kerana kami tidak akan melupai anda. Perjuangan anda dan kami adalah sama.


Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana

The post Kata Pedang: Pemimpin negara OIC pengecut appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian