Kem Huffaz Cilik Anjuran NAZIM K.Terengganu Dapat Sambutan Luar Biasa

KUALA TERENGGANU, 16 Dis 17 – Kelab Anak-Anak Hebat cawangan Kuala Terengganu (NAZIM KT) telah menganjurkan satu program yang diberi nama ‘Kem Huffaz Cilik 2017′. Program yang bertemakan “Membina Generasi Celik Al-Quran” ini telah diadakan dengan kerjasama Surau Al-Muttaqin, Taman Adis Indah. Program ini telah mendapat sambutan hangat oleh masyarakat setempat dengan mendapat penyertaan seramai 75 orang kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 12 tahun.

“Kem yang menekankan hafazan Al-Quran, motivasi, serta pembinaan akhlak ini bermatlamat untuk memupuk dan membentuk ciri-ciri mukmin sejati dikalangan peserta”. Berkata Ustazah Hidayatul Sakinah binti Mohd Zulkifli, pengerusi NAZIM KT.

Banyak aktiviti menarik yang telah dilaksanakan, antaranya adalah melakukan eksperimen dan pengisian mengenai akhlak baik yang disampaikan melalui tayangan video islamik.

Peserta turut didedahkan dengan ilmu tajwid dalam slot Al-Quran dan Tajwid Interaktif yang telah dikendalikan oleh Ustaz Ramadhan Awang, yang merupakan tenaga pengajar di Maahad Al-Tahfiz Wa Al-Dirasaat Al-Islamiyyah, Kampung Padang Air, Kuala Terengganu.

Selain itu, para peserta juga turut diisi dengan ceramah khas tentang “Bahaya Gadget”. Ceramah ini telah disampaikan oleh Dr. Nor Aniza Zaharuddun, yang merupakan Pegawai Perubatan Bahagian Kanak-kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah . Menurut beliau “gajet berinternet ibarat lautan tanpa sempadan yang mampu memberi masyarakat pelbagai ilmu, namun bagi golongan kanak-kanak dan remaja, yang dipenuhi perasaan ingin tahu ini, penerokaan laman sesawang tanpa kawalan pastinya mengundang impak yang negatif”

“Menurut Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadhil Che Din, senario kini menyaksikan banyak kes-kes rangsangan seksual yang ditonton dan dipelajari golongan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung melalui media sosial dan persekitaran. Justeru, untuk membendung kes seumpama itu, ibu bapa dan masyarakat perlu mengambil perhatian serius kerana ia melibatkan pembentukan sahsiah diri generasi masa hadapan.”Tambah beliau lagi.

Kem Huffaz Cilik 2017 diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta dan anugerah peserta lelaki dan perempuan terbaik. Peserta turut diingatkan supaya sentiasa mengulang ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafaz supaya budaya cintakan Al-Quran ini akan terus berakar umbi dalam diri.

Peserta turut berharap agar kem ini akan dilaksanakan lagi pada masa hadapan. Semoga kem ini dapat mendidik para peserta supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran dan  melakukan kebaikan walau di mana sahaja mereka berada.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian