Kewujudan sekolah pelbagai aliran punca dasar pendidikan tak tercapai

Oleh Che Siti Rekembang Hasbi

BANGI, 2 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Kewujudan sekolah pelbagai aliran atau vernakular menyebabkan matlamat dasar dan falsafah pendidikan negara belum lagi tercapai.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Haji Abdul Raof Husin berkata, matlamat itu tidak akan tercapai selagi sekolah pelbagai aliran terus diwujudkan, yang menyebabkan perpecahan di kalangan pelajar.

Katanya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) bermula pada 1956 apabila kerajaan menerima Penyata Razak yang sepatutnya berterusan sehingga kini dengan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan pengantar utama.

“Dan penyata itu juga menyebut dasar pendidikan adalah meletakkan semua pengajar di bawah satu bumbung yang sama.

“Berdasarkan apa yang berlaku sekarang, matlamat dasar tersebut tidak mungkin tercapai oleh kerana adanya sekolah berlainan aliran, semestinya bahasa Melayu tidak digunakan dan sistem kurikulumnya juga berbeza antara satu sama lain,” katanya pada Forum Sudut Pandang siri ke-17, malam tadi.

Forum berkenaan dianjurkan Portal Islam dan Melayu, www.ismaweb.net dan Arus Baru membincangkan isu Halatuju Pendidikan Negara: Falsafah dan Isu-isu Semasa.

“Hari ini sekolah satu aliran tidak wujud, namun timbul sekolah yang dulunya khas hanya untuk anak orang kenamaan, tetapi kini turut dibuka untuk rakyat tempatan.

“Jika ada sekolah antarabangsa sebegini, semestinya Bahasa Melayu tidak digunakan dan mempunyai kurikulum yang berbeza. Oleh itu, bagaimana nak mencapai dasar falsafah pendidikan negara,” katanya.

Abdul Raof berkata, tidak mungkin rakyat biasa, terutama petani mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah elit menyebabkan ianya menjadi titik permulaan kewujudan pembentukan pelajar dua hala.

Katanya, pengubahsuaian boleh dilakukan, tetapi jangan sehingga bercanggah dengan dasar negara dan Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sudah sekian lama.

“Tetapi malangnya, hari ini kita dapat saksikan sistem pendidikan negara tidak mengikut landasan yang diamanah dan diwasiatkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Jika adanya pelbagai sekolah aliran yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, maka ianya amat bercanggah dengan Perlembagaan, menyebabkan pembinaan jati diri tidak terjadi,” katanya.

The post Kewujudan sekolah pelbagai aliran punca dasar pendidikan tak tercapai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian