KPDNKK lupus pelbagai barang rampasan bernilai RM300,000
KUALA TERENGGANU, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu hari ini melupuskan pelbagai barangan rampasan bernilai RM300,000 membabitkan 118 kes sepanjang tahun ini.
Pengarah KPDNKK negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata antara barang yang dilupuskan ialah peralatan komputer, baju, seluar dan kasut jenama tiruan, cakera padat (CD) dan DVD cetak rompak.
“Barangan yang dirampas kerana kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 adalah antara kes terbanyak dilupuskan hari ini
manakala nilai rampasan di bawah kesalahan Akta Hak Cipta (AHC) 1987 antara nilai tertinggi dilupuskan sepanjang tahun ini.
“Barangan rampasan berkenaan adalah hasil penguatkuasaan Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Terengganu dengan kerjasama pemilik hak cipta seperti Adidas, Nike dan lain-lain pemilik berdaftar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semua barang rampasan yang dilupuskan itu adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh jabatan setelah mendapat arahan daripada pihak mahkamah dan pengawal.
Saharuddin berkata sepanjang tahun ini, pelbagai aktiviti penguatkuasaan dan operasi dijalankan bagi melindungi kepentingan pengguna membabitkan 116 pegawai penguat kuasa dan 60 lagi pegawai pemantau harga di seluruh negeri.
“Jumlah pemeriksaan adalah 24,171 tahun ini yang meningkat sebanyak 38.6 peratus berbanding 14,841 pemeriksaan tahun lalu.
“Bagaimanapun, berlaku penurunan sebanyak 8.55 peratus membabitkan 503 tindakan kes berbanding 546 tindakan kes pada tahun lalu,” katanya sambil meminta orang awam memberi kerjasama demi menjaga kebajikan pengguna dengan lebih berkesan. -Bernama
The post KPDNKK lupus pelbagai barang rampasan bernilai RM300,000 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan