ismakualaterengganu

Lans Koperal dipenjara 12 tahun terlibat kegiatan pengganas

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Ti...

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulawal 1439H, Isnin — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan memberi sokongan terhadap aktiviti pengganas, tahun lalu.

Hakim Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mustaza Abdul Rahman, 30, bapa kepada seorang anak itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman, anggota keluarga tertuduh dilihat menangis manakala isterinya meraung sambil memeluk tertuduh manakala Mustaza kelihatan tenang semasa dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim Nordin dalam penghakimannya berkata, tertuduh menafikan ketiga-tiga pertuduhan dengan mengatakan dia telah kehilangan dua buah telefon bimbitnya dan mendakwa kad sim telefon itu diceroboh oleh individu lain yang menggunakan identitinya dan menyertai kumpulan pengganas.

“Tiada keterangan yang menunjukkan bahawa fakta penting ini (kehilangan telefon bimbit) ada dimaklumkan pada pegawai penyiasat kes. Kegagalan tertuduh (memaklumkan fakta penting itu) membolehkan kenyataan (pembelaannya) diketepikan.

“Tiada laporan polis dibuat (berhubung kehilangan telefon). Isteri (tertuduh) juga tidak menyatakan tertuduh kehilangan telefonnya dan tidak ditanya peguam (ketika perbicaraan),” katanya sambil menambah tertuduh merupakan seorang anggota polis yang sewajarnya menjaga keamanan negara namun telah mengetepikan amanah itu.

Hakim Nordin menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun bagi pertuduhan pertama dan ketiga manakala penjara tujuh tahun bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan tertuduh menjalani kesemua hukuman itu secara serentak bermula 29 Jun 2016.

Sebanyak 13 saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 18 April 2017.

Peguam Farida Mohammad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan mengambil kira tertuduh telah ditahan di penjara selama setahun setengah sehingga perbicaraan selesai manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Bagi pertuduhan pertama, Mustaza yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah, didakwa telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘amanah’ dalam telefon bimbitnya.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan kedua, Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan-kesalahan berkaitan pengganas mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda.

Dia juga didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara melakukan sumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ dalam telefon bimbitnya (tertuduh) mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di G7-1-1, Blok Iksora, Perumahan Polis IPD Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah antara 30 Mac dan 29 Julai 2016.— Bernama

The post Lans Koperal dipenjara 12 tahun terlibat kegiatan pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 7307083527481221617

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item