ismakualaterengganu

Malaysia umum resolusi pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis

PUTRAJAYA, 1 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu Bai...

PUTRAJAYA, 1 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu Baitulmuqaddis pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini, Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia juga akan berbincang dengan negara-negara lain untuk membawa isu Baitulmuqaddis ke Perhimpunan Agung Tergempar Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan Wisma Putra khususnya Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman),” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Malaysia akan menghantar tenteranya ke Palestin, Ahmad Zahid berkata: “Sebagaimana kenyataan yang diberikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, tidak ada pasukan tentera akan dihantar ke Palestin.

“Tetapi, sekiranya memerlukan maka, langkah-langkah yang sepatutnya akan dilakukan untuk melihat kesesuaian,” kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebanyak 250 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti-parti politik akan menyertai himpunan itu, yang akan dimulakan dengan forum khas terdiri daripada enam panel jemputan yang mewakili pertubuhan politik dan NGO yang akan berbincang mengenai solidariti menyelamatkan Palestin.

Mereka terdiri daripada Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Kamaruddin Mohd Noor dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid akan bertindak sebagai moderator.

Ahmad Zahid berkata, sempena himpunan berkenaan, khutbah solat Jumaat akan dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selain diadakan solat hajat khas bagi memohon keselamatan Baitulmuqaddis selepas solat Jumaat.

“Himpunan itu kemudian akan mendengar ucapan yang disampaikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan Najib,” katanya.

Beliau berkata, pada himpunan itu nanti, kutipan Tabung Palestin akan dilancarkan sebelum ia diserahkan kepada Wisma Putra.

“Wisma Putra akan menyelaraskan semua kutipan Tabung Palestin sebelum diserah kepada kerajaan Palestin,” katanya.

Ahmad Zahid juga memberitahu bahawa acara menandatangani kain rentang bantahan juga diadakan dengan ia akan dimulakan oleh Najib dan Hadi.

Selain itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut memberi sokongan kepada himpunan berkenaan atas dasar kesejagatan dan kemanusiaan. -Bernama

The post Malaysia umum resolusi pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 2222468601231644563

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item