Mengapa tindakan terhadap Datuk Dr Shad sangat wajar disokong

BERSUNGGUH-sungguh sekali pihak-pihak seperti SIS, LFL, DAP, PKR dan G25 membela Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya (UM) yang sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), berkaitan rencana tulisan beliau bertajuk ‘Religious Radicalism On The Rise’ yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 23 November 2017.

Terbaru, adalah kenyataan G25 semalam yang mencadangkan bahawa satu cara yang lebih baik dan lebih demokratik untuk menangani kenyataan Datuk Dr Shad adalah dengan menghadapkan beliau kepada satu panel di dalam satu forum terbuka, di mana pakar-pakar lain boleh mencabar beliau secara intelektual dan bahawa forum ini hendaklah disiarkan secara langsung melalui televisyen supaya seluruh negara boleh membuat penghakiman mereka ke atas beliau.

Pandangan saya adalah, G25 terlalu memandang tinggi terhadap Datuk Dr Shad sedangkan tanpa pakar-pakar dan tanpa forum terbuka yang disiarkan secara langsung melalui televisyen sekalipun tulisan Datuk Dr Shad bertajuk ‘Religious Radicalism On The Rise’ ini boleh dibuktikan sangat mencemarkan kedudukan beliau sebagai seorang Profesor Emeritus selain berpotensi untuk memecahbelahkan keamanan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Seperti yang telah disebut oleh rakan-rakan saya dari IKSIM, termasuk oleh Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Prof Dato’ Mahamad Naser Disa, Datuk Dr Shad terang-terang memfitnah IKSIM bila menyebut Islam yang dibawa oleh IKSIM adalah Islam yang zalim dan tidak toleran (despotic and intolerant) semata-mata kerana IKSIM didakwa menganggap kepelbagaian budaya (cultural diversity) sebagai satu ancaman terhadap Islam.

Tindakan Datuk Dr Shad mengada-adakan istilah kepelbagaian budaya (cultural diversity) dan mengatributkannya kepada IKSIM adalah salah kerana istilah sebenar yang digunakan oleh IKSIM adalah ‘pluralisme’, iaitu satu fahaman yang telah diisytiharkan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor di dalam fatwa yang dibuat dan diwartakan, atas perintah Sultan Selangor, pada 17 Julai 2014.

Malah, bagi saya, jauh lebih teruk lagi dari fitnah yang dibuat terhadap IKSIM ini ialah tindakan Datuk Dr Shad yang seolah-olah mahu melaga-lagakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan pihak-pihak berkuasa agama mereka dengan semata-mata bersandarkan kepada satu kenyataan tidak bertarikh dan tidak bersumber yang kononnya dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Dakwa Datuk Dr Shad secara semberono tanpa sebarang penjelasan pun di dalam tulisan beliau bertajuk ‘Religious Radicalism On The Rise’ ini: The reported statement by JAKIM Director-General that JAKIM was the only entity capable of ensuring that Islam remains the religion of the federation”, is both sensationalist as well as highly disrespectful of the Yang di-Pertuan Agong, the Malay Rulers and their respective religious authorities”.

Setelah dibuat semakan ke atas dakwaan Datuk Dr Shad ini maka didapati bahawa hanya ada satu petikan Ketua Pengarah JAKIM berbunyi ‘JAKIM was the only entity capable of ensuring that Islam remains the religion of the federation’ sahaja yang pernah dilaporkan, iaitu di dalam laporan bertajuk ‘JAKIM: Who Will Keep Islam As Malaysia’s Religion If Not Us?’ yang disiarkan oleh portal berita The Malay Mail Online pada 18 November 2015.

Bagaimanapun, petikan kenyataan Tan Sri Dato’ Haji Othman Mustapha di dalam portal berita The Malay Mail Online itu hanyalah berbunyi: ‘If we take for example in the Constitution, Islam is the religion of Federation. So, who else would carry out and ensure that Islam stays as the religion of Federation? And the oath to defend Islam, who is going to do it? This duty definitely refers to the Prime Minister’s Department, PM and to JAKIM’.

Kenyataan Tan Sri Dato’ Haji Othman ini pula dibuat oleh beliau di dalam konteks menjawab saranan salah seorang ahli G25, iaitu Tawfik Tun Dr Ismail, yang, di dalam laporan portal berita The Malaysian Insider bertajuk “Tun Dr Ismail’s Son Wants JAKIM Abolished” pada 9 November 2015, mahu JAKIM dimansuhkan kerana, dakwa beliau, ‘Constitutionally JAKIM really has no role” dan “Islam is the province of the Sultan of the State’.

Ayat ‘JAKIM was the only entity capable of ensuring that Islam remains the religion of the federation’, yang seolah-olah menunjukkan JAKIM mahu mencabar kuasa Raja-Raja Melayu, ini juga tidak terdapat di dalam laporan sama mengenai kenyataan Tan Sri Dato’ Haji Othman yang dibuat oleh portal berita The Malaysian Insider bertajuk “Kalau Bukan JAKIM, Siapa Boleh Pertahan Islam, Soal Ketua Pengarah” pada 18 November 2015.

Apa yang disebut oleh Tan Sri Dato’ Haji Othman ialah: “Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan. Jadi siapa yang akan memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan? Dan sumpah untuk mempertahankan Islam di negara ini, siapa yang akan melaksanakannya? Ia sudah pasti merujuk kepada JPM dan tugas itu diberikan kepada JAKIM. Itu bermakna selaras dengan Perlembagaan.”

Malah, Tan Sri Dato’ Haji Othman, di dalam satu kenyataan rasmi beliau pada 8 Jun 2017, menyebutkan secara jelas “JAKIM sebenarnya ditubuhkan bagi melaksanakan mandat Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam Agama Bagi Persekutuan” dan “JAKIM telah berjaya melaksanakan banyak perkara dalam penyelarasan dan penyeragaman dalam urusan hal ehwal Islam yang dilaksanakan oleh negeri-negeri”.

Malangnya, individu seperti Datuk Dr Shad tidak melihat kepada kenyataan rasmi Tan Sri Dato’ Haji Othman ini tetapi lebih suka memetik kenyataan tidak bertarikh dan tidak bersumber Tan Sri Dato’ Haji Othman yang diambil dari laporan portal berita tertentu tanpa terlebih dahulu menyemak ketepatan laporan portal berita tersebut dengan mana-mana pihak sedangkan implikasi tuduhan yang dibuat oleh Datuk Dr Shad ini sangat besar sekali.

Kelakarnya ialah, sama seperti intipati sebenar kenyataan Tan Sri Dato’ Haji Othman yang cuba disensasikan oleh Datuk Dr Shad ini, Datuk Dr Shad di dalam tulisan beliau bertajuk ‘Religious Radicalism On The Rise’, malah di dalam beberapa tulisan beliau yang lain juga, sebenarnya menyatakan bahawa penubuhan JAKIM, tidak seperti yang didakwa oleh individu seperti Tawfik, adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di sebalik membuktikan bahawa Tan Sri Dato’ Haji Othman dan JAKIM mahu mencabar kuasa Raja-Raja Melayu seperti yang didakwa oleh Datuk Dr Shad, Datuk Dr Shadlah yang sebenarnya mencabar kuasa Raja-Raja Melayu dengan umpamanya mempersoalkan fatwa ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’ adalah fahaman sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sedangkan ia dibuat dan diwartakan, atas perintah Sultan Selangor, pada 17 Julai 2014.

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM)

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Dr Kamarul Yusoff.

The post Mengapa tindakan terhadap Datuk Dr Shad sangat wajar disokong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian