Mulianya guru dikenang sepanjang zaman: Timbalan Mufti Perak

Guru adalah insan yang sangat dimuliakan di dalam Islam dan diberi kedudukan yang tinggi sesuai dengan peranannya yang sangat memberi kesan kepada masa hadapan anak murid juga umat keseluruhannya. Rasulullah SAW adalah guru utama kepada umat manusia.
Secara khusus tugas utama seorang guru ialah seperti yang terkandung di dalam ayat 2 surah al Jumuah : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak).
Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. Di dalam hadith pula Nabi SAW menjelaskan bahawa Baginda diutuskan untuk mengajar kesempurnaan akhlak kepada manusia. Jasa guru-guru ini tidak sekadar dikenang semasa sambutan Hari Guru sahaja bahkan ia patut dihargai sepanjang masa. Semua tokoh hebat di dunia ini adalah hasil dari didikan golongan yang mulia ini.
Oleh kerana kedudukan guru yang mulia ini para ulama telah menyenaraikan cara-cara menyantuni para guru ini yang dipanggil sebagai adab antara anak murid dan guru khususnya di dalam majlis-majlis pengajian ilmu dan secara umumnya di dalam kehidupan seharian. Banyak kitab diawali dengan adab-adab ini sebelum perbincangan lebih jauh tajuk-tajuk lain.
Sabda Nabi SAW : “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti hak ulama” (HR. Ahmad).
Para salafussoleh telah menunjukkan teladan kepada kita bagaimana mereka menyantuni guru-guru mereka sehingga mereka mendapat ilmu dari guru-guru mereka dan disertai dengan keberkatan ilmu itu sendiri. Abu Sa’id Al-Khudri RA berkata,
“Saat kami sedang duduk-duduk di masjid, maka keluarlah Rasulullah SAW kemudian duduk di hadapan kami. Maka seakan-akan di atas kepala kami terdapat burung. Tak satu pun dari kami yang berbicara” (HR. Bukhari).
Ibnu Abbas seorang sahabat yang ‘alim, pakar tafsir al Quran umat ini, seorang dari keluarga Nabi SAW pernah memegang tali kenderaan Zaid bin Tsabit al-Anshari RA dan berkata: “Seperti inilah kami diperintahkan untuk memperlakukan para guru kami”.
Berkata Abdurahman bin Harmalah Al Aslami, “Tidaklah seseorang berani bertanya kepada Said bin Musayyib, sampai dia meminta izin, layaknya meminta izin kepada seorang raja”.
Ar-Rabi’ bin Sulaiman berkata, “Demi Allah, aku tidak berani meminum air dalam keadaan Asy-Syafi’i melihatku karena segan kepadanya”.
Diriwayatkan oleh Al–Imam Baihaqi, Umar bin Khattab mengatakan, “ Tawadhulah kalian terhadap orang yang mengajari kalian”.

Al Imam As Syafi’i berkata, “Dulu aku membolak balikkan kertas di hadapan Imam Malik dengan sangat lembut karena segan padanya dan supaya dia tak mendengarnya”. Sungguh mulia akhlak mereka para suri tauladan kaum muslimin, tidaklah hairan mengapa mereka menjadi ulama besar di umat ini, sungguh keberkatan ilmu mereka hasil dari akhlak mulia terhadap para gurunya.

Guru di zaman ini mempunyai cabaran yang sangat getir berhadapan dengan bukan sahaja kerenah anak-anak murid tetapi juga dengan ibu bapa mereka. Kalau dahulu , sudah menjadi cerita rakyat “ibubapa menyerahkan anak kepada sang guru berbekalkan sebatang rotan, namun hari ini tidak sedikit ibubapa yang menyediakan peguam untuk menyaman guru-guru anak mereka.”

Kenakalan anak-anak sekarang sangat membingungkan para semua pihak lebih-lebih lagi para guru. Menghidu gam, menghisap rokok bahkan menagih dadah, memeras ugut, membuli dan lain-lain adalah fenomena yang terpaksa dihadapi oleh para pendidik zaman sekarang. Amatlah malang bagi ibubapa yang masih menyalahkan guru –guru yang berusaha mengekang gejala-gejala ini bahkan mengheret guru-guru anaknya ke mahkamah. Ini belum lagi kes-kes kebiadapan di hadapan guru dengan kata-kata kesat dan tidak sopan dan sebagainya. Pendidikan yang kontang dengan makna akhlak dan keberkatan hanya akan melahirkan manusia-manusia yang berwatak robot dan mesin sahaja.

Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufri Perak

The post Mulianya guru dikenang sepanjang zaman: Timbalan Mufti Perak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian